Thursday, August 07, 2008

Dalam Usaha Mencari Kado*

(*Kado bermaksud "Hadiah")

Kesulitan yang sering saya alami adalah apabila terpaksa duduk berlama-lama di sesebuah kedai mencari kado atau hadiah untuk teman, keluarga atau sesiapa sahaja yang relevan di hati saya. Sering benar kepayahan ini membuatkan saya bingung. Hadiah apa yang sesuai, paling disukai dan yang paling penerima ingin benar sempena ulang tahun kelahiran sekian-sekian umur, hari perkahwinan malah untuk hari-hari penting dalam hidup mereka.

Saya suka hadiah yang praktikal dan sentiasa digunakan penerimanya. Namun begitu, saya tidak pula menggemari andai membeli hadiah meskipun praktikal tapi, setiap orang yang datang berkunjung akan menghadiahi penerima hadiah yang lebih kurang sama.

Jika penerima itu sememangnya seorang pengila buku (bibliohisme) seperti saya, itu tidak pernah pula mendatangkan permasalahan besar buat saya. Hati saya berbunga ria jika mengetahui penerimanya nanti tidak pernah menolak, akan membaca dan akhirnya menjadikan pemberian buku daripada saya sebagai koleksi simpanannya. Sudah pasti buku itu bukan hanya menjadi pemenuh almari "suci dalam debu" tapi, akan dibaca dihadam sehingga halaman terakhir. Oh bahagianya!


Pernah untuk suatu majlis perkahwinan teman, saya terpaksa mengitar hampir sebuah gedung beli belah di Kuala Lumpur semata-mata untuk membelikan hadiah untuk dia dan pasangannya. Akhirnya yang tercapai dek tangan saya hanya sebuah bingkai gambar yang ringkas benar. Saya tiada idea apa yang sepatutnya saya berikan pada mereka suami isteri. Jika hendak dibelikan pinggan mangkuk, pasti mereka nanti sendiri meluat tengok bila dikoyak sampul hadiah pada malam kenduri, balik-balik pinggan mangkuk...balik-balik pinggan mangkuk. Sebenarnya hadiah bingkai gambar pun macam idea yang basi juga tapi, hanya itulah yang dapat saya beli dan cari dalam masa singkat dengan kos yang efektif. Jangan tiru saya!

Suatu lagi masalah dalam memilih dan mencari hadiah yang sesuai adalah apabila diminta untuk membeli hadiah buat lelaki. Kalau hanya membeli hadiah untuk ayah saya, itu bukan menjadi masalah besar. Dia tidak kisah apa sahaja yang saya dan emak beli. Dia menerimanya dengan senang hati sahaja.

Namun, pada teman, sahabat sepejabat, sekuliah, sepermainan, sealiran dan lain-lain lagi itu agak menyukarkan untuk saya. Kalau dihadiahkan jam tangan (wah klisenya saya) umpamanya, semampu saya pun hanya untuk jam sekitar RM 500 ke bawah. Padahal jam pada tangan penerima lebih mahal dan berjenama daripada apa yang mahu saya berikan. Sudah pastilah nanti jam pemberian saya hanya jadi pemenuh almari koleksi jam tangan penerima atau paling tidak akan diberikan penerima pada orang bawahannya, kawan-kawannya atau adiknya. Ah, susahnya!

Apakah hadiah yang sesuai jika ingin membeli hadiah kepada seseorang? Apa pendapat anda?

(Photo credit to: www.chrysalis-business-systems.com/images/wra...)

*** Tetamu blog ini dan teman-teman yang telah, sedang, bakal menyambut hari lahir dan majlis perkahwinan pada bulan ini...selamat untuk anda semua. Diberikan Allah jalan yang mudah untuk mengusaikan segala cita-cita hendaknya! AMIN...

1 comments:

yana said...

berilah apa sahaja yang kita ras akita mampu. tak kisah bagaimana dia kana gunakannya nanti