Saya ter’jatuh’ cinta sekali lagi. Cinta ini walau bagaimanapun, bukan pada spesies homo sapiens yang diberi gelar lelaki. Itu belum lagi saya ketemu penyudahnya. Haha.
Baiklah berbalik pada cerita.
Geng saya di MPR
Setelah seminggu dua berpenat lelah diantara kuliah disebelah malam di UKM dan persediaan untuk diskusi Minggu Penulis Remaja (bersama Nasriah), dengan capek yang masih ada sisa-sisanya disana sini, saya gagahkan juga untuk ke MASKARA X.
Apa itu MASKARA? Pasti ramai yang tertanya-tanya. MASKARA adalah baca naskah yang dianjurkan oleh pihak Sindiket Sol-Jah. Untuk pengetahuan lanjut, sila ke blog mereka disini.
Mulanya saya mampir hanya untuk menyokong teman mantan MPR (yang baca naskah), teman-teman dari Republic Theatre (yang bermonolog malam itu), dan bertemu teman-teman sealiran jalan fikiran, minat dan kesukaan (wah!).
Namun, kecapekan dan kantuk yang ada bagai dimagis dengan persembahan malam itu.
Saya sukakan semua persembahan. Baik dari kumpulan DEP, sajak berduet Jonos & Alfie (yang buat saya gelak tak sudah), persembahan MTV tanpa plug (Reez & Ajami), Art (yang menyentuh), Salman Sulaiman yang memulakan persembahan deklamasi puisi dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran malah Azree Ariffin yang berpantun sebelum bersajak juga mencuit rasa.
Puncak kemagisan itu datang apabila menyaksikan persembahan kumpulan Dewangga Sakti. Memang sah mereka ini ada “sakti” dalam persembahan. Asal jangan diasapkan gendang, akordion, biola, shaker dan gambus untuk itu sudahlah ya! Haha…
Sebelum ini saya hanya mengetahui mengenai Dewangga Sakti lewat penulisan di blog-blog tertentu dan terbaharu di akhbar. Tidak sangka muzik mereka memang muzik untuk golongan gila klasik macam saya. Kak Rai, anda juga diminta melayan muzik mereka. Haha.
Pertama kali mendengar lagu Mabok Kepayang sahaja sudah buat saya tertarik. Teringat akan lagu “Opening Titles” OST The Kite Runner. Saya ini kalau dengar muzik yang menjentik hati dan fikiran, mulalah idea gila-gila menerjah setiap inci minda. Haha…
Tapi, agak mengecewakan kerana lagu berkenaan tiada dalam mini EP mereka yang dijual pada malam itu. Namun, walau bagaimanapun tidak dapat saya nafikan saya jatuh cinta berkali-kali pada muzik yang dimainkan mereka malam itu.
Andai mereka ini diberi peluang untuk merakamkan album semacam Alberto Iglesies dalam Kite Runner…aduhai kan seronok bunyi muzik produksi album mereka!