Saturday, April 12, 2008

Kisah Sufiah Yusof & Sesuatu Yang Menduga

Kronologi kisah Sufiah Yusof, pelajar yang pada usia mudanya sudah lolos mendaftar sebagai pelajar di Universiti Cambridge, bermula apabila dia mengiklan dan mempromosikan perkhidmatannya sebagai pekerja seks lewat internet. Kemudian kisah ini disusuli dengan pengakuan tuan punya badan. Katanya, dia berasa seperti puteri dan berjumpa dengan ramai manusia yang menghormatinya sebagai wanita sekaligus manusia. Tambahnya lagi, dia berasa gembira dengan hidupnya kini.

Ini hanya cebisan kisah Sufiah Yusof. Anak bijak yang sepatutnya kini sudah menjawat jawatan yang lebih baik dan lebih sesuai dengan kemampuan mindanya. Namun, inilah hakikat. Dia tidak menjadi manusia yang sepatutnya dibanggakan. Dengan ilmu yang dimilikinya. Aduh, sayang...sayang...sayang!

Maaf. Saya tidak menyokong tindakan Sufiah. Malah, sebagai perempuan atau lebih manis saya gelar wanita, saya membantah keras tindakannya itu. Agama pun melarang kita memperdagangkan tubuh dengan cara sebegitu. Itu yang diajar pada saya. Walaupun saya bukan agamawan tapi, apa yang salah tetap salah. Tiada tolak ansur dalam akidah dan halal haram.

Namun, sebagai seorang individu bebas dan tidak pernah ditegah keluarga (terutama emak dan ayah) mengenai keputusan sepatutnya saya ambil dalam hidup, saya kasihan dengan sejarah hidup Sufiah. Desakan demi desakan untuk maju dan berjaya dalam pengajian, membuatkan Sufiah ditindas kebebasannya sebagai remaja yang sepatutnya bergaul dan berteman. Inilah masalah utama ramai daripada kita dalam keluarga.

Remaja (saya sudah mahu masuk remaja senja suam-suam kuku) sepatutnya dibimbing bukan diberi desakan. Berteman dengan kami bukan bertelagah dengan kami untuk mencapai satu keputusan akhir. Saya faham dengan prinsip dan pegangan ibu bapa masa kini. Ya, ibu bapa bekerja keras untuk beri yang terbaik kepada anak-anaknya. Pada pendapat saya, tiada ibu bapa mahukan anaknya gagal.

Oleh kerana itu, maka timbul satu isu mengenai ibu bapa menentukan apa dan siapa anak mereka bakal jadi. Mereka harus jadi begini begitu. Perlu ada diploma ini, ijazah itu. Mahu anak jadi peguam, doktor atau jurutera. Agrh, sangat mengasak minda remaja seperti kami! Saya fikirkan isu sebegini wujud dalam era filem hitam putih tahun 50an, 60an. Wah, zaman yang dikatakan penuh dengan kecanggihan ini pun masih timbul kes sebegini. Teruja sekejap saya! Sepatutnya apa yang mereka mahu jadi dalam hidup mereka, biar sahaja mereka tentukan sendiri tetapi, dengan bimbingan ibu bapa.

Berkait mengenai masalah diatas, baru-baru ini saya dilaporkan pada pihak polis oleh seorang remaja yang mengalami masalah hati dan perasaan seperti yang saya ceritakan sebelum ini. Pada mulanya saya terkejut dengan laporannya pada polis mengenai saya. Almaklum, sepanjang hampir 25 tahun hidup saya ini, belum pernah saya dilaporkan sebegini. Tetapi, bila menimbangkan kisah hidup Sufiah dan diri manusia seorang ini, saya ketawa besar selepas itu. Kisah hidupnya sama seperti Sufiah cuma bezanya manusia ini sangat menjengkelkan!

Laporan tersebut dibuat kerana tuduhan manusia ini saya telah mematahkan kaca matanya dengan niat. Tuduhan yang lebih padu adalah saya dikatakan menumbuk manusia ini dengan sengaja!. Wah, ganasnya sayakan? Hahahaha. Tolong baca sehingga tamat sebelum terjun kepada konklusinya.

Pertamanya, saya ucapkan tahniah kepada manusia ini kerana anda ada potensi untuk bekerja dengan media barat sebagai agen propaganda ataupun ambil bahagian sebagai paparazi. Khabarnya, jawatan itu masih terbuka kepada anda yang sukakan sensasi...haha!

Kedua, ini bahagian saya bersuara. Sebenarnya tiada adegan tumbuk-menumbuk, kepung-mengepung atau rancang-merancang dalam hal ini. Pada mulanya sebagai teman yang baik dan sangat mengambil berat dengan masalah teman-teman, dua orang sahabat saya berjumpa dengan baik dengan manusia ini. Niat mereka ingin meleraikan yang tersimpul, sambil menarik benang dalam tepung. Rambut tidak putus, tepung tidak berserak. Bermesyuarah menurut apa yang dituntut agama kita dalam menyelesaikan masalah.


"Tinggalkan yang gelap itu nun jauh dibelakang...Mendongak kembali dan maju ke hapadan dengan hati juga semangat yang lebih jitu!"

Namun manusia kurang kasih sayang ini membentak-bentak dan sengaja membakar api amarah semua. Sebenarnya manusia inilah yang cuba menyerang saya. Sebagai manusia yang masih punya hak dan dalam misi mempertahankan diri, saya menolaknya. Tangannya secara tidak sengaja menempis kaca mata RM 86 itu dan patah dua.

Jadi kerana kes yang sangat anak-anak pemikirannya ini, saya dan sahabat-sahabat yang kononnya menyerang manusia ini, telah diundang ke balai polis untuk memberi keterangan. Oh, sungguh kau seperti anak-anak yang belum matang fikiran, wahai manusia!

Setibanya di balai, si emak manusia ini pula yang berlebih-lebih. Menyokong anaknya dan mendakwa anaknya baik dan diberi didikan agama yang cukup. Malah emaknya sendiri tidak mahu mendengar penjelasan sebenarnya daripada sahabat-sahabat saya. Belum sempat kami habis bercakap, emaknya menyampuk. Belum habis kami memberi penjelasan, ibunya sudah membentak dan memberi hujahnya yang nyata menunjuk riak kononnya dialah ibu yang sangat beragama, sangat alim.

Tiba-tiba kalimat ini menerjah minda
Orang yang bodoh itu adalah orang yang menjawab sebelum mendengar, berdebat sebelum memahami permasalahan, dan menghukumi sesuatu yang tidak diketahuinya

~Imam Jaafar Sadiq~
Oh, orang alim pada saya tidak pernah mahu memberitahu apa amalannya kepada orang. Pada mereka, lebih baik dibiarkan rahsia kerana takut digelar riak dan bongkak. Allah tidak suka mereka yang riak dan bongkak! Berbeza dengan ibu manusia ini, terang-terang dia memberitahu dia sembahyang hajat, berdoa dan berpuasa dengan niat supaya anaknya berjaya dalam pengajian. Yang paling saya mahu gelak, emaknya sempat menekan butang tasbih elektronik apabila mendengar percakapan sahabat-sahabat saya. Beristighfar agaknya. Baguslah itu. Bila anaknya menghentak-hentak kaki gaya geram, disuruh pula anaknya beristighfar sambil menyebut Allah ada. Allah Tahu apa yang terjadi. Aduhai!!!

Manusia ini jelas nampak benar takut dengan ibunya. Semuanya baik dan apa semua yang kami katakan, dia kata dia tidak pernah lakukan. Sebenarnya dalam marah dan geli hati saya terhadap manusia ini, saya sangat mengasihaninya. Kasihan kerana dia perlu hidup dalam situasi sebegitu. Kasihan kerana dia tidak diberi pilihan untuk menentukan jalan hidupnya sendiri.

Maka, tidak hairanlah jika dia sangat vokal terhadap kami dan sahabat-sahabat saya yang lain. Setelah bertemu dengan ibunya, memikirkan semula segala tindakannya dan kelakuannya yang menjengkelkan, kini saya tidak hairan lagi. Sikap sebegitu timbul daripada sikap emak dan ayahnya yang mungkin sendiri sangat vokal dan tidak memikirkan perasaan anak ini. Jadi, dia terbawa-bawa sikap itu bila berjumpa dengan orang lain. Manusia ini terhimpit dan terjerat perasaannya. Kasihan dia...

Bagi saya, banyak sekali pengajaran saya peroleh melalui kisah ini walaupun, hakikatnya luka di jiwa yang satu ini tiada ubatnya. Dugaan seperti ini seringkali buat saya terfikir dan muhasabah diri sendiri. Terkadang mengaduh juga saya. Namun, bila teringat Sang Maha Pencipta ada nun diatas sana melihat semua, saya menyerahkan hidup saya padanya. Ya Allah, berikan aku kesabaran yang ampuh! Amin.

2 comments:

Wan Nor Azriq said...

Saya sendiri tidak menyokong perbuatan Sufiah walauapapun alasan yang dia beri.Peribadi kita memang sedikit sebanyak dipengaruhi oleh persekitaran, tetapi sejuah mana kita membiarkannya menguasai diri, banyak bergantung kepada jati-diri dan keimanan. Sufiah boleh sahaja kembali ke pangkal jalan, tetapi kebahagiaan itu tidak lagi datang dari dalam dirinya, tetapi ia datang dari luar, iaitu kehidupan yang penuh dengan dosa.

hani salwah yaakup said...

Salam Azriq,

Saya berharap jika Sufiah berubah, berubahlah ia kepada kemuliaan Islam itu sendiri...Insyallah!