Wednesday, March 26, 2008

Salahkah Saya Memandu Kereta Buatan Tanjung Malim?


"Bapaku pulang dari kota...bapaku belikan kereta...kereta kecil warna merah...lalalalalala"

Pagi isnin lalu dengan tenaga yang waja dan semangat nan berkobar-kobar, saya dengan tenang memandu kereta kecil warna merah saya keluar dari rumah. Tiada apa yang menganggu jiwa saya ini (cuma perlu lari masuk ke rumah semula setelah sudah berada dalam kereta gara-gara terlupa membawa telefon bimbit). Selain itu, sungguh tiada apa yang perlu saya risaukan!.

Cuma bila tiba dipersimpangan untuk masuk ke lebuharaya SILK, mungkin kerana mata fikir yang terlayang sebentar, saya di hon sebuah MPV dari belakang kerana mahu masuk ke jalan yang sedang dilaluinya (walaupun hakikatnya saya sudah beri isyarat). Menyedari kesilapan sendiri (sebenarnya lebih kepada mengalah), saya masuk semula jalan yang sedang saya lalui. Kemudian mencari peluang untuk masuk semula ke jalan sebentar tadi.

Alhamdulilah dengan keadaan jalan yang agak sibuk dengan kenderaan, saya berjaya juga untuk masuk dihadapan MPV berkenaan. Namun apa yang saya pelik, MPV buatan negara asing itu semacam tidak berpuas hati dengan tindakan saya, lalu mula melajukan kenderaan dan semakin menghimpit-himpit kereta comel merah saya. Bila saya cuba lagi untuk menukar lorong, si pemandu tersebut turut ikut menukar lorong. Beberapa kali sehingga kedua-dua kami berhenti di hadapan sebuah lampu isyarat.

Saya semakin hairan dengan sikap pemandu MPV berkenaan apabila lampu isyarat bertukar hijau. Si pemandu yang nampak sahaja bijak, terpelajar dengan pakaian ala-ala seorang eksekutif kanan sebuah syarikat terkemuka di Lembah Kelang itu, sengaja berjalan di atas garisan putus-putus pemisah dua laluan jalan. Niatnya ingin kembali menghimpit-himpit kenderaan saya. Bukan setakat itu...dia memandu MPVnya yang konon GAH itu di atas garis putus-putus berkenaan sehingga ke Plaza Tol Kajang! Masyallah...apa kena dengan manusia seorang ini?

Oh...tidak!. Masih wujud ya manusia sebegini di dalam masyarakat yang kononnya sudah terlalu pandai untuk diajar itu ini. Yang menyedihkan hanya kerana kesilapan saya yang kecil, kerana tidak perasaan akan kenderaannya dari belakang ketika hendak masuk ke jalan yang dilaluinya, saya dihukum sehebat itu. Ataupun kerana saya seorang perempuan? Ataukah kerana saya ini memandu sebuah kereta kecil berwarna merah buatan Malaysia? Salahkah kalau saya memandu kereta buatan Tanjung Malim? Kalau memandu kereta tersebut jadinya saya dikira tidak class ke?

Sebagai wanita dalam konteks ini saya bukan mahu amarah melulu ataupun sengaja ingin menunjuk pandai mengenai konteks female stereotype dalam kes ini (meski saya dan teman rapat, Kak Yan, sudah seakan mahu muntah mengkaji mengenai topik stereotype untuk subjek etika media!). Namun kerana orang yang memang "terlebih" beretika inilah yang menyebabkan stesen janakuasa dalam tubuh saya bergerak lebih pantas dan meluap-luap terlebih daripada biasa.

Maaflah kalau saya sebutkan bahawasanya pemandu yang menghimpit-himpit saya itu adalah seorang lelaki. Saya bukan hendak menggolongkan semua pemandu lelaki sebegitu. Saya bukan hendak tuding jari lalu men"stereotype"kan golongan pemandu lelaki semuanya begitu. Bagi saya, penggolongan sebegitu, sungguh tidak adil. Betul atau tidak pernyataan saya ini wahai pemandu lelaki sekian? Tidak semua daripada anda sebegitukan? Ya, saya akui masih ada yang masih beretika sepenuhnya di jalan raya!.

Namun, apa yang ingin benar saya tanya sangat kepada anda tercabar sangatkah ego kelakian anda jika seorang perempuan memotong dihadapan kenderaan anda? Berdosa sangatkah kami pemandu wanita jika ingin cepat tiba ke destinasi di tujui dengan memotong kenderaan anda?
Maaf ya saya unjurkan sekali lagi. Maaf banyak-banyak!. Tolonglah jangan pula golongan anda mengolongkan atau mengumpulkan serta melabelkan kami yang pemandu wanita semacam ini, semacam itu. Itu juga tidak adil.

Seterusnya, satu lagi sikap masyarakat kita (tidak kira wanita ataupun lelaki) pantang benar jika kereta "kurang mahal" daripada kereta anda memotong. Tambahan pula jika kereta itu sudahlah murah seterusnya kecil pula, semakin ghairah pula pemandu-pemandu kenderaan yang konon mewah kita ini hendak menunjuk "kelebihan" kereta mereka di jalan raya. Sehingga ada pula yang hendak menukar lorong di lebuhraya pun tidak perlu memberi isyarat dan menjadikan alasan ini membuli kenderaan lain. Ohh...tolonglah!

Alasan dengan berpelajaran tinggi mampu menjadikan kita berfikir dengan lebih baik dan lebih beretika bukan lagi alasan yang utuh untuk kita jadikan penyelesaian masalah. Dalam kes saya ini, pemandu itu semestinya berjawatan tinggi dan sekaligus berpendidikan baik pada tanggapan saya. Jika tidak mana mampu dia hendak membeli MPV dari luar negara yang semewah itu.

Walaupun saya rasa sangat jengel dengan sikap pemandu itu, selebihnya saya berasa sangat malu bagi pihaknya. Sikapnya langsung tidak mencerminkan peribadinya. Ohh...memalukan sungguh!. Nasib baik saya tidak bertindak luar batasan dengan mengambil gambar kenderaan lelaki tersebut dengan telefon bimbit lalu tempek disini. Paling teruk mungkin saya ambil video kelakuannya itu lalu, hantarkan ke rancangan tivi seperti rancangan bual bicara pagi di RTM atau TV3. Barulah seantero Malaysia tahu akan perangai anda.

Tetapi, seperti dalam entri yang lepas-lepas pernah saya katakan, saya bukanlah sezalim itu.

8 comments:

Nissa' Yusof said...

salam, kak hani. agaknye driver mpv tu suka kat kak hani kot.hehehe. ataupun kereta merah tu terlalu menarik dia=)

tentangseseorang said...

dia jatuh hati pd kamu mungkin?

hani salwah yaakup said...

Nissa & Ady,

Kalau gelagat begitula orangnya...aduh...mohon saya pada ALLAH SWT dijauhkan...tapi, saya pasti lelaki itu mungkin pagi2 sudah berantam dengan isterinya barangkali...tu yang melampiaskan marahnya kepada memandu...kesian deh orang yang begini...

firdhaus hasraf said...

itu kereta kecil merah buatan malaysia kak hani, yg saya kereta kenit berkuasa rendah lagi la... tapi hati saya cepat panas, mungkin mpv tadi belum jumpa buku dengan ruas.

hani salwah yaakup said...

Firdhaus,

Amboi garangnya...takut akakmu ini mendengarkan.Itula org macam ni belum bertemu buku dan ruas...lagi satu dia berani buat gitu mungkin sebab kak hani ni perempuan kot...

hani salwah yaakup said...

Salam,

Komen yang berani tak perlu guna nama anonymous. Berani kerana benar. Jika ada komen yang tidak disiar disini, itu kerana saya rasa komen awak tidak sesuai untuk pembaca yang lain. Harap maklum.

Wasalam.

theCHOICE said...

theCHOICE..

Agak tertarik dengan pernyataan yg saudari gunakan terhadap anonymous. bagaimana agaknya komen yg dilontarkan oleh anonymous sampai begitu sekali cara saudari membalasnya..dalam tegas namun masih terselit rasa marah? mungkinkah ada komentar yg diberi yg mengguris hati? barangkali ada kebenaran pada komen yg diberi? saya hanya boleh meneka namun jawapannya sudah tentu saja saudari sendiri mengetahuinya. saudari sendiri mengatakan berani kerana benar..justeru mengapa tidak disiarkan sahaja komennya itu dan biarkan pembaca yang lain menilainya sendiri?

sekadar memberi pandangan...

hani salwah yaakup said...

Salam theChoice,

Ada yang benar mengenai apa yang ditulis. Namun, jika kebenaran itu ditegakkan dengan benang emosi dan fikiran yang tidak begitu rasional, saya kira lebih baik agar tidak saya siarkan. Lebih baik saya berteman dengan semua pembaca saya daripada membuahkan bibit-bibit dendam.

Apa yang ditulisnya, biar saya sahaja yang tahu...!


Wasalam.