Tuesday, January 15, 2008

Aduhai Sharlinie!


Sharlinie oh Sharlinie!

Beberapa kali menonton iklan rayuan supaya penculik memulangkan Sharlinie di kaca tivi, benar membuat hati wanita saya dilanda rasa pilu. Itu perasaan saya. Laungan hati keluarga Sharlinie lebih-lebih lagi ibunya, mungkin jauh lebih parah daripada saya. Ditambah pula kenyataan keluarga yang memberitahu adik ini menghidap penyakit yang perlu diberi rawatan yang kerap, aduh kasihannya adik ini.

Hati semakin bimbang dengan kes-kes penculikan kanak-kanak yang nampaknya semakin menjadi-jadi kini. Belum pun setengah tahun kes penculikan Allahyarhamah Nurin Jazlin Jazimin yang berakhir dengan pembunuhan kejam, tiba lagi masalah penculikan yang hampir sama. Malaysia sudah tidak selamat lagikah untuk membawa kanak-kanak kesana kemari?

Kedua-dua kes ini berlaku ketika kanak-kanak berkenaan bersendirian atau berada di tempat awam. Semacam kes Allahyarhamah Nurin di dapati hilang tatkala ke pasar malam. Manakala Sharlinie hilang semasa sedang bermain dengan kakaknya di sebuah taman permainan di Taman Medan, Petaling Jaya. Aduh, sungguh merisaukan saya sebagai seorang dewasa. Mana tidaknya. Saya juga mempunyai anak-anak saudara (yang semuanya perempuan) sebaya dengan umur kedua-dua mereka.

Apalah nasib kami kanak-kanak Malaysia ni?
(Anak-anak saudara saya yang termenung panjang dengan nasib rakan-rakan seusia mereka. Dari atas, Nurain Iman, Nur Khamilia, Nurin Farhanah dan Nur Khaleeda)

Kini kalau saya berjalan-jalan kemana-mana sahaja dengan anak-anak saudara saya ini, saya akan memastikan mereka memegang tangan saya erat. Cukup erat. Anak saudara saya pun pandai complain sakit tangan mereka diperlakukan sebegitu. Kadang-kadang mereka pula dimarahi saya. Ini untuk keselamatan. Yang lebih kecil saya rasa lebih mudah kerana saya akan masukkan dalam troli dan tolak. Jadi anak itu senantiasa ada dihadapan mata, dihadapan muka.

Teringat saya dengan anak kakak yang sulung, Nurin Farhanah. Hari pertama ke tadika tahun ini tiada siapa yang menghantarnya pulang. Guru tadika pula tidak memaklumkan awal pada ibu dan ayahnya tiada pengangkutan pulang hari berkenaan. Nasib baiklah saya ada dirumah ketika itu. Pantas saya memandu kereta. Takut benar dengan keselamatan anak saudara yang satu itu.

Namun satu tindakan yang bijak telah dilakukan oleh pihak media massa dan masyarakat Malaysia dalam usaha mencari Sharlinie. Masyarakat kita kini nampak lebih perihatin dan lebih bersikap ambil peduli dengan kes penculikan kanak-kanak. Alhamdulillah mungkin pengalaman Nurin banyak mengajar kita lebih "buka mata" dalam kes sebegini. Pengedaran poster Sharlinie, iklan dan hebahan yang berterusan di media massa, banyak membantu usaha ini.

Tetapi, penyakit masyarakat kita yang suka menjadikan isu serius ini sebagai bahan jenaka amat menjengkelkan. Saya menyokong usaha pihak pengusaha yang menahan seorang amah kerana memberi maklumat palsu dan menjadikan kes penculikan Sharlinie sebagai bahan jenaka. Jika boleh beri sedikit pengajaran pada orang sebegini.

Kepada anda yang mungkin pernah memberi atau menghantar SMS kepada ibu bapa mangsa (tidak kiralah adik Yin ke, Allahyarhamah Nurin ke atau adik Sharlinie ke) mintalah untuk menghentikan tindakan anda itu. Cuba bayangkan jika yang hilang itu anak anda atau saudara terdekat anda, bagaimanakah perasaan anda bila anda tertipu dengan maklumat palsu sebegini?
Fikir-fikirkanlah.

Sebagai salah seorang ahli masyarakat, saya hanya mampu berdoa dan berharap agar Sharlinie akan dipulangkan dengan selamat kepada kedua ibu bapanya serta keluarga. Semoga dengan kembalinya Sharlinie akan menceriakan semula permulaan tahun 2008 ini.

4 comments:

ktk said...

DUNIA HARI INI SEMAKIN MENCABAR,SEMAKIN KITA BERJAGA2,SEMAKIN MENJADI2 PULAK,MASALAH ADIK LINIE DAH JADI MASALAH BERSAMA SEBAGAI INSAN YANG WARAS DALAM PERTIMBANGAN PASTINYA KITA TERKILAN DEK KERANA ADA PIHAK YANG MENJADIKANNYA SEBAGAI GURAUAN SINIS.

hani salwah yaakup said...

Selain amah yang ditangkap, seorang lagi remaja berusia 15 tahun ditangkap kerana mengugut kelaurga mangsa. Ewah ewah!.

Baru umur 15 tahun sudah mahu jadi samseng. Oh masyarakat Malaysia...tolonglah hentikan perbuatan sebegini...

Mohd Kharil said...

Sis,

Aku mahu gambar ini utk collection. Pls. forward to me ok.

hani salwah yaakup said...

ok...akan kukirimkan pada incik Moharil dengan segera...huhu!