Sunday, August 19, 2007

Setelah Usai Majlis Diskusi MPR


Diskusi MPR 2007...mantan yang ceria belaka!

Usai sudah satu majlis yang sekian lama ditangguh-tangguh; Majlis Diskusi Karya Mantan MPR 2007. Majlis yang seakan dipandang sepi oleh pihak berwajib ini, sedikit sebanyak telah mengumpulkan graduan-graduan MPR yang selama ini hanya tahu nama, tahu karya...tak pernah bersua muka. Saya pasti yang paling bersyukur mestilah mereka yang telah berusaha keras tidak mahu acara ini dibatalkan sama sekali iaitu Saudari Ummu Hani, Ghafirah, Nasriah, Faisal Tehrani (sekadar menyebut beberapa nama), setelah pihak berwajib itu dengan banyak alasan dan kebanyakannya saya dengar, tidak logik sama sekali.


Mantan sedang mendaftar

Saya & Ummu yang "berdebar" menanti peserta diskusi

Maaf juga dari pihak urusetia dan ahli jawatankuasa (yang tidak pernah berjawatan ini) sekiranya banyak sekali kekurangan dalam majlis ini. Secara jujurnya, saya dan rakan-rakan yang lain diberi tugas last minute oleh Saudari Ummu Hani ahad lepas. Jadi banyaklah juga benda yang kecil-kecil kami terlepas pandang. Harap dimaafkan dan diberi tunjuk ajar yang sepatutnya rakan-rakan graduan senior juga sesiapa sahaja yang sudi hadir semalam.

Firdaus & Hidayah (MPR 2006)...ramai mantan 2006 datang berpasang-pasang ...tak lama lagi alumni MPR akan makan nasi minyak!

Pagi sebelum acara dimulakan, saya dan rakan-rakan yang lain sangat takut jika tidak ramai peserta yang akan ikut serta dalam acara diskusi ini. "Ketakutan" kami ini semakin beransur kurang bila melihat rakan-rakan graduan manaiki escalator, tersenyum melihat kami di meja pendaftaran. Yang pasti kredit perlu diberikan pada mantan paling meletopp…Kak Rai yang telah menjadi mantan senior pertama yang hadir. Selepas itu pula satu demi satu graduan senior mendekati meja pendaftaran. Yang paling mencuit hati bila melihat Kak Nisah Haron turun naik menghantar anak-anaknya ke meja pendaftaran. Betul kata orang, sudah berkahwin, punya anak bukan alasan tidak boleh aktif dalam penulisan dan acara-acara sebegini. Sekali lagi saya dilanda perasaan bersalah kerana sudah lama tidak aktif menulis. Selepas ini, insyallah semacam aura baru masuk menjengah diri untuk kembali aktif semula.

Adik-adik Ummu dari AMN Publication sibuk menyusun buku untuk jualan

Kulit hadapan antologi 9! (Boleh didapati di Ujanailmu)

Fahd Razy dan para pembentang...sempat lagi nak tunjuk muka di kamera si Fahd Razy ni...hehe

Selain diskusi novel, cerpen dan puisi adik-adik mantan MPR, pastinya jualan buku oleh Ujana Ilmu, AMN Publications dan rakan-rakan mantan yang lain menjadi acara sampingan. Yang paling mendapat sambutan hangat pastilah antologi 9! edisi 1. Karya 9! mantan MPR ini hanya mengambil masa beberapa hari sahaja untuk diterbitkan. Saya kira ini satu usaha yang baik untuk membuka mata pihak berwajib. Kepada mantan yang lain sekiranya berminat dengan antologi ini bolehlah mendapatkan naskah anda. Boleh kunjungi Ujana Ilmu untuk berbuat demikian. Duit anda itu bukan sekadar membeli antologi malah turut menyumbang kepada tabung MPR dalam usaha untuk menyatu padukan kembali warga MPR.

Hafezin: Apala yang dia baca tu erk?

Rosie: Aku pun dok pikir ni

Rai: Cover cun...ada orang ambik gambar aku nih...

Sepanjang acara berlangsung, saya tidak dapat begitu fokus sangat. Jadi acara yang saya beri fokus yang banyak adalah ketika acara mengenang Hizairi Othman. Ada diantara adik-adik mantan MPR edisi baru tidak mengenali Hizairi. Ada yang tertanya pada saya siapa tu kak…siapa tu kak?. Terpaksa pula saya menerang satu-satu agar mereka kenal dengan Hizairi. Naskah yang dibaca oleh Kak Rai, Kak Rosie, Abang Hafezin dan Abang Khairul (eh…betul ke nama dia ni?) mencuit rasa. Sejujurnya saya suka karya berkenaan. Mungkin gaya penceritanya yang baik barangkali dan sememangnya naskah itu juga sangat baik saya kira, maka, semuanya nampak baik-baik sahaja.

Juruacara yang "ada apa-apa"...hehe!

Saya teruja. Teruja kerana hampir semua pembimbing saya di MPR 2001 (Genting) semuanya ada. Daripada Abang Faisal, Kak Rai, Kak Rosie, Abang Saharil, Kak Salina, Kak Ade Irma, Abang Ridzuan, Abang Hafezin semuanya ada. Melihat mereka semua (walau sudah banyak berubah bentuk dan saiz...hehe!) membuatkan kenangan MPR di Genting menerobos ingatan pula.

Penulis buku motivasi PTS (Hidup Zero Alasan) Rehan dan saya waktu makan tengahari. Terima kasih yer Rehan ikut serta diskusi ni. Tahun ni masuk la MPR yer...

Selepas diskusi, ada sedikit meeting dengan semua mantan. Tak sangka saya pun sudah dikategorikan orang tua oleh Abang Faisal Tehrani (Hehehe). Mana tidaknya, kebanyakan mereka dalam dewan berkenaan masih lagi pangkat adik-adik dengan saya. Malu juga diperkenalkan sebagai penulis lirik kerana saya pun masih cuba-cuba lagi. Pendapat abang saya (Mohariz) pun, lirik saya masih teruk. Hehehe.

Firdaus , Azree Ariffin, Saya, Yana, Hidayah dan adik MPR 2006...(maaf nama tak ingat)

Azizul Ikhwan (Ode), Azree Ariffin dan Saya. Dua mantan MPR yang mula saya kenali di internet. Sekarang dah jadi "adik-adik" saya di alam nyata!

Jumpa lagi! ;)

Sunday, August 12, 2007

Diskusi Karya Alumni MPR 2007


Urusetia Diskusi Karya Alumni MPR sedang berbincang

DISKUSI KARYA ALUMNI MPR NOVEL, CERPEN DAN PUISI 2007


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Pihak Alumni Minggu Penulis Remaja (MPR) dengan sukacitanya menjemput para penggiat dan peminat sastera ke program DISKUSI KARYA ALUMNI MPR 2007 (NOVEL, CERPEN DAN PUISI) yang akan diadakan pada 18 Ogos 2007 (Sabtu) bertempat di DBP. Maklumat lanjut berkenaan diskusi tersebut adalah seperti berikut:


TENTATIF DISKUSI KARYA ALUMNI MPR NOVEL, CERPEN DAN PUISI 2007


TARIKH : 18 OGOS 2007

TEMPAT: DEWAN BAHASA DAN PUSTAKA, KL

MASA: 9.00 PAGI HINGGA 4.00 PETANG



9.00 PAGI - PENDAFTARAN

9.20 PAGI - UCAPAN PENGERUSI MAJLIS DAN BACAAN DOA

9.30 PAGI- DISKUSI NOVEL



NOVEL 1- JUSTERU IMPIAN DI JARING KARYA ZAID AKHTAR

PEMBENTANG : DR KAMARIAH KAMARUDDIN (UPM)


NOVEL 2- LADANG HATI MUSTIKA KARYA UMMU HANI ABU HASSAN

PEMBENTANG ; PROF MADYA AMIDA ABDUL HAMID


NOVEL 3 - MISI PIRAMID KARYA IDA MUNIRA ABU BAKAR

PEMBENTANG : DR MISRAN LOKIMIN



11.30 PAGI - BERKONGSI PENGALAMAN DENGAN PENULIS NOVEL

PEMBENTANG : ZAID AKHTAR

UMMU HANI ABU HASSAN

IDA MUNIRA ABU BAKAR



12.30 PETANG - REHAT DAN MAKAN TENGAH HARI


2.00 PETANG - DISKUSI CERPEN DAN PUISI



SESI SATU (CERPEN)

PEMBENTANG : SAUDARA SM ZAKIR


CERPEN :

1.
J e Zu Be (Ummu Hani Abu Hassan) Dewan Siswa 2007

2. Surat Buat Kristina (Ghafirah Idris) Dewan Kosmik 2007

3. Selembar Sejadah di Lantai Madrasah ( Salman Sulaiman)

4. Mencari Qudwah (Ainunl Muaiyanah Muhd Sulaiman) Dewan Siswa 2006

5. Mati Pasti Menang ( Abdul Rauf Baharuddin) Tunas Cipta 2005

6. Sayang Si Mamat (Nur Afiqah Abu Samah) Tunas Cipta 2006

7. Ustazah Es (Amir Muhkriz) Antologi Kudeta

8. Warkah Perang Melaka (Khairul Nizam Raub)

SESI DUA (PUISI)

PEBENTANG : SAUDARA RAHIMIDIN ZAHARI


PUISI:

1. Menyembelih Haiwan (Fahd Razy) Dewan Sastera 2006

2. Mantera Ababil ( Azizul Ikhwan) Tunas Cipta 2005

3. Kasih Siapa (Nurul Iman Dashuki) Dewan Siswa 2006

4. Segugus Kunci ( Nissa Yusuf) Utusan Melayu 2007

5. Nyanyian Seorang Teman (Azree Arifin) Dewan Siswa 2007

6. Tangisan Luka (Farahana Hussain) Tunas Cipta 2006

7. Kisah Kasih II (Mohd Hafiz Abdul Latiff) Remaja 2005

8. Azam Baru (Nimoiz TY) Dewan Sastera, 2007

9.Salam Buat Nablus II (Khairun Nasriah Abdul Salam)

10. Bukan Remang Sangka (Ida Munira Abu Bakar) Tunas Cipta 2006


4.00 PETANG- MINUM PETANG DAN BERSURAI

***Kepada yang berminat untuk menjual buku pada hari diskusi berkenaann bolehlah berhubung dengan Saudari Ummu Hani Abu Hassan. Harap Maklum.

***Diharap anda semua penggemar dan penggiat sastera bukan sahaja alumni MPR boleh turut serta dalam acara ini.

Tuesday, July 17, 2007

Memandu, Dipandu atau...


Saya akui walaupun sudah banyak tahun memiliki lesen memandu cuma tahun ini benar-benar pegang "stereng". Apa hendak dikata kerana sebelum ini keluarga malah diri sendiri tidak mampu menyediakan "kenderaan" untuk saya pandu. Jadi sekian lama ini saya hanya "dipandu" kemana-mana sahaja saya ingin tuju. Bertuah juga badan namun, selalunya merana diri.

Oleh kerana sudah lama benar tidak memandu, perasaan kekok dan takut-takut itu mestilah bersarang juga dihati saya ini (Biasalah...tak biasa memandu pula katanya kan!). Seperti pernah saya katakan dalam sebuah entri (disebuah lagi blog saya), emak adalah orang yang paling takut mula-mula lihat saya memandu. Hehe. Namun bila sudah lihat saya sudah "biasa" memandu mengharung kesesakan di Jalan Tun Razak (ketika saya berkhidmat disalah sebuah bank di Jalan Raja Chulan), dia sudah semakin berani melepaskan saya memandu seorang diri ke mana sahaja destinasi yang mahu saya pergi. Kata ayah pula, saya sudah pandai membawa kereta lebih laju daripada biasa (sekali lagi ini bukan promo stesen radio swasta). Waktu ayah dan emak sudah beri "lampu hijau" saya senyum puas.

Namun entri kali ini bukanlah hendak bercerita mengenai kepuasan saya memandu tetapi mengenai gelagat pemandu-pemandu di Malaysia. Jom kita lihat situasi-situasi dibawah...

Situasi 1

Sekiranya anda pemandu seperti saya(atau biasa jadi "Co-pilot"), saya rasa anda sangat biasa melihat gelagat pemandu yang tidak pernah pandai hendak menggunakan "signal" ketika mahu menukar lorong. Kemungkinan ini adalah penyakit epidemik yang sedang menular di Malaysia dan menjangkiti semua pemandu negara ini.

Saya tidak kisah sekiranya anda enggan beri signal atas alasan kereta di lorong yang anda hendak tukar lorong tersebut berada jauh (walaupun sebenarnya itu pun tidak selamat), ini tidak. Rata-rata pemandu yang tidak suka atau lebih manis kalau saya catitkan disini kurang gemar memberi "signal" berada sangat rapat dengan kereta di lorong yang hendak dimasuknya itu.

Tidakkah pernah anda dan saya terfikir perbuatan tersebut sangat yang merbahaya dan sekiranya pemandu kereta belakang anda pula memang sedang membawa kereta lebih laju daripada kenderaan anda? Dan jika kesalahan ini dibawa ke pihak polis pun yang akan disaman tetaplah kenderaan dibelakang kerana walaubagaimanapun kes kemalangan itu berlaku, pemandu yang melanggar daripada belakang akan dikenakan saman. Sedang kejadian ini bukan salahnya.


Situasi 2

Saya merasa agak terkilan dengan sikap sebahagian masyarakat Malaysia yang masih lagi ada pembahagian dalam konsep gender pemandu. Dalam bahasa "sekolah"nya stereotaip pada golongan pemandu dari golongan saya. Saya fikir setelah kita bertukar abad, beralih ke zaman ICT dan sekolah "bertingkat-tingkat", label dan stereotaip ini sudah tiada. Namun sebaliknya yang berlaku teman-teman. Pemandu dari golongan satu lagi ini masih ada label dan perasaan gender dalam diri ketika memandu.

Sebelum saya teruskan baik saya kata saya tak "generalize" kan semua pemandu daripada golongan tersebut semuanya begitu tetapi, kebanyakan (fuhh...ayat selamatkan diri je bunyi).
Mereka ini semacam iri melihat kami dari golongan ini memandu. Kalau memandu kereta yang "lebih" sedikit daripada mereka...sah sahlah akan dipotong dengan megahnya. Walhal,kereta kancil mereka naik semput nak mengejar.

Itupun masih baik lagi. Terdapat satu kes saya sedang memandu dan dibelakang saya sebuah lori besar. Saya memandu di laluan tengah dan yang pasti lori memang tidak boleh mengikut jalan tengah kecuali untuk memotong. Apa yang buat saya naik menyampah ialah pemandu lori berkenaan dengan sengaja memandu rapat-rapat dengan kereta saya. Tujuannya untuk menakut-nakutkan saya. Sorry sikit. Saya tidak takut bila diugut sebegitu. Malah saya terus memandu mengikut had laju. Bagi saya, jika pemandu lori tersebut ingin memotong kereta saya, ada jalan lagi disebelah kiri dan disebelah kanan. Hanya beri "signal", pastikan jalan kosong dan tukarlah haluan anda.


Situasi 3

Pemandu kenderaan berat kini semakin merasakan kenderaan mereka "ringan". Seperti kes diatas...mereka sudah tidak hirau lorong mana yang harus kenderaan mereka berada. Habis semua lorong kini disapu bersih mereka.

Yang bestnya, diantara kenderaan berat dengan kenderaan berat yang lain pun sudah pandai berlawan-lawan dan bersaing antara satu sama lain di atas jalanan. Apa nak jadi ni? Alih-alih nanti...Gajah dengan gajah bergaduh, pelanduk mati ditengah-tengah...


Situasi 4

Keluarga dan kawan-kawan sering mengadu pada saya banyak pemandu kini memandu dengan perlahan pada lorong laju. Apa kena ye? Mungkin pemandu kini fikir semua lorong sama kot...

Permintaan saya hanya satu kepada anda yang membaca entri ini (nak dikhabar pada semua rakyat...tak mampulah saya), cubalah pandu pada lorong yang betul dengan kelajuan kenderaan anda. Sekiranya anda ingin memandu dengan kadar lebih perlahan...ke kiri. Memandu dengan lebih laju ataupun hendak memotong...ke kanan. Tidak susah kan?

Selain mengelakkan kesesakan di jalan raya, anda juga menyumbang mengurangkan kadar kemalangan yang semakin meningkat setiap tahun di negara kesayangan kita ini.


Kesimpulannya,

Memandu di bandar-bandar besar ini kata salah seorang teman saya, kalau kita tidak melanggar orang, kita pula akan dilanggar. Kemalangan jalan raya ini memang tidak berbau (kalau berbau kita bolehla mengelakkannya). Apa yang terbau hanya bau minyak dan darah, kenderaan dan mangsa yang terkorban.

Jika masyarkat kita masih lagi mengamalkan konsep pemanduan seperti yang saya katakan tadi, tidak ada gunanya kempen-kempen keselamatan jalan raya yang sering diwar-war kerajaan kita. Tidak ada gunanya juga saman berlori-lori yang dikeluarkan kepada pesalah jalan raya...jika kadar kemalangan dan kehilangan jiwa sama juga banyaknya.

Malah, saya juga tercuit rasa dengan salah seorang teman saya diseberang tambak sana yang berkata, "Jika anda boleh memandu di Kuala Lumpur, bermakna anda boleh memandu dimana-mana sahaja,". Gambaran yang diberi teman saya itu menunjukkan betapa teruknya sistem pemanduan di Malaysia ini.

Jadi teman-teman semua, entri ini bukan nadanya menyindir atau mengherdik pemandu di Malaysia. Cuma saya berharap dengan entri kali ini, kita lebih berfikir tentang keselamatan orang lain dan keselamatan diri sendiri ketika memandu...

Fikir-fikirkanlah...

Tuesday, June 26, 2007

Hari Yang Menggembirakan!

Konvokesyen Diploma Mei 2005

Sejak beberapa ketika ini, saya sering tercari-cari masa untuk menulis. Almaklum, walau hakikat tugas saya sekarang hanya "membebel" di ruang udara radio namun, jangan fikir saya punya banyak masa. Tugas saya bermula seawal jam 8 setiap hari dan berakhir pada 12 malam. "Membebel" saya ini lebih dari 6 jam sehari sehingga kadang-kadang masa untuk iseng-isengan juga tidak punya. Lebih mengharukan, sewaktu keudara, idea untuk dikongsikan bersama pendengar pun semakin hari semakin "surut".


Setiap daripada kita punya hari-hari yang mengembirakan. Cuma "peristiwa"nya hanya berbeza-beza. Ada antara kita beranggapan bahawa hari perkahwinan adalah hari yang mengembirakan. Tidak kurang juga yang rasa bahawa mendapat cahaya mata pertama adalah sesuatu yang tidak mampu dilupakan. Emak dan ayah saya pula berkata hari mengembirakan mereka apabila pertama kali dapat menunaikan haji di Baitullah. Semua itu tidak saya rasakan lagi. Barangkali satu hari nanti. Barangkali. Saya masih ternanti-nanti semua itu. Insyallah tidak lama lagi...Amin.

Baiklah, mari kita bercerita mengenai "Hari Yang Mengembirakan" dalam hidup saya ini. Bagi saya setakat ini hari yang sangat dan terlalu mengembirakan dan mengharukan saya adalah "Pesta Konvokesyen". Saya sudah 2 kali menaiki pentas menerima diploma dan baru-baru ini pula, ijazah sarjana muda.Ghafur, Emy dan Saya (Konvokesyen FKPM 27 Mei 2007)

Semacam satu kepuasan apabila menaiki pentas menerima ijazah dan disaksikan ibu dan ayah yang selama ini mengorbankan masa, wang malah berkongsi perasaan suka duka saya ketika menuntut. Lebih mengujakan apabila saya dapat lulus cemerlang sekaligus meraih Anugerah Naib Canselor. Pada saya, belajar,lulus dan menerima ijazah yang penting. Segala anugerah itu untuk ibu dan ayah sebenarnya. Mereka pada saya "deserve" apa yang saya dapat itu.

Dato' Ibrahim : Tak payah tutup mata...saya tak makan orang

Saya: Tengah malu ni Dato' banyak sangat cameraperson ambil gambar saya

Semasa konvo diploma saya sudah "mengecewakan" mereka kerana tidak menerima anugerah yang sama walaupun hakikatnya saya terlebih layak. Alasan pihak universiti katanya jumlah kredit semester akhir saya kurang 12 jam. Maka dengan itu saya tidak layak. Jadi "konvo" kali kedua saya berjaya mendapatkannya. Syukur, Alhamdulillah. Bagi mereka berdua…senyum sudah tak ada ruang dimuka. Nasib baik sahaja mereka tidak bangun menjerit…. “Anak aku” ketika nama saya disebut naik pentas…(hehe…mak ayah jangan marah yer…anakandamu ini bercanda sahaja!).Tuhan sahaja yang tahu bagaimana perasaan saya ketika nama dipanggil menerima ijazah tempoh hari. Setiap kali sidang fakulti saya di konvokesyen UiTM, tidak kiralah siapa sahaja yang menerima ijazah, jeritan teman-teman akan bergema sekuat-kuatnya. Masakan tidak, sedangkan para pensyarah dan dekan naik pentas sahaja kami dah bersorak dan bertepuk tangan…inikan graduan, lebih meriah la. Ketua istiadat konvokesyen malah Naib Canselor pun sudah tidak mampu berkata apa-apa kerana itu “cara” budak Mass Comm…hehe. Jadi anda boleh bayangkan kalau juruacara sebut “Penerima Anugerah Naib Canselor…” keadaan jadi bagaimana? Itulah pertama kali saya jadi sangat kecut melihat Dato’ Ibrahim. Bukan kerana Dato’ Ibrahim berwajah garang atau sebagainya tapi, kerana kawan-kawan merjerit lebih kuat daripada biasa (ini bukan promo tagline sebuah stesen radio swasta ya…harap maklum). Itulah yang menyebabkan saya berjalan memandang permaidani pentas ketika paparan skrin menunjukkan saya turun dari pentas. Walaubagaimana pun, saya sangat menghargai tepukan dan sorak sorai teman-teman seperjuangan saya tersebut. Bagi saya, itulah penghormatan tak terhingga pernah saya terima daripada mereka semua.

"Lenguh bahu tuhan aja tau...apa-apa pun senyum mesti maintain"

Kalau bercerita mengenai konvokesyen juga tidak boleh lari daripada jubah, hood dan mortar board. Untuk hari yang mengembirakan ini saya terpaksa menambah satu lagi aksesori wajib. Sudahlah panas tangahari itu dan semakin bertambah berat bahu saya hari itu kerana menyandang selempang songket. Nasib baik tidak senget bahu saya. Masakan tidak. Dibahu sudah “berlingkaran” hood merah ungu. Semasa berbaris masuk dewan diberi lagi sehelai selempang yang harus dipakai. Tuhan sahaja yang tahu. Namun bila orang mula pandang “semacam”…hehe…kembang juga la hidung. (Kembang hidung, bukan hidung tinggi tau Ode!).

Budak-budak gila...kata abang saya, Mohariz. Jeles la tu kami pakai selempang...

Dari kiri: Saya, Suffian aka Sopek & Mastika

Saya tidak sempat untuk bergambar lebih banyak dengan teman-teman sekelas pada konvokesyen kali ini. Seusai turun pentas, saya dan dua lagi rakan diasingkan dari kerusi asal kami dengan alasan, penerima anugerah harus bergambar dengan Naib Canselor. Jadi hanya gambar dengan mereka berdua sahaja yang banyak dalam koleksi. Yang menyedihkan lagi, gambar dengan Dato’ Ibrahim pun saya tidak dapat hendak mengambilnya kerana gambar itu diambil jurufoto konvokesyen. Jika berhasrat hendak memilikinya…tunggu hingga pesta konvokesyen berakhir. Sampai sekarang masih belum sempat hendak mencari foto berkenaan di Canselori UiTM.

Geng sekelas yang tetap maintain ayu & hansome, walaupun hakikat muka dah berkilat-kilat macam kertas yang kilat-kilat tu

Keadaan tidak mengizinkan untuk berfoto dengan teman-teman lagi kerana habis sahaja majlis sudah lewat petang. Yang jauh sudah lama pulang. Yang dekat sibuk bergambar dengan ibu, bapa dan famili. Hendak tidak, terpaksalah akur dengan situasi itu. Hendak dicari yang masih tinggal pun, tak dapat dicari lagi dalam himpunan manusia yang memenuhi ruang legar Dewan Sri Budiman yang sememangnya menyesakkan setiap kali pesta konvokesyen UiTM.

Mat Noor: Awat mortar board ni...

Mastika: Wei, aku pendekla. Hani kasik turun sikit mortar ko ni

Zul: Ngantuk...uwaaa

Am: Kontrol handsome

Saya, Emy n Ghafur: Senyum...ceh makan iklan ubat gigi pulak erk?

Walaupun begitu, saya masih ada beberapa gambar dengan teman-teman semasa berbaris masuk dewan. Itu pun hanya wajah teman-teman yang berdiri berhampiran. Yang jauh kebelakang, sedih sekali memang tidak ada dalam simpanan saya. Teman sekelas hampir 43 orang dan yang bergraduat bersama 41 orang jadi, mahu tak panjang barisan jurusan MC 223 (Penyiaran)?.

Mak & Ayah & Anak bongsu yang banyak fiil

Kehadiran insan istimewa dalam hidup saya sudah banyak membawa erti dalam diri ini. Mereka berdua adalah ibu dan ayah saya. Tanpa mereka tidak jadi saya bergraduasi. Berbanding dengan teman-teman lain banyak sekali insan-insan selain ibu ayah hendak melihat mereka bergraduasi. Pakcik, makcik, atuk, nenek, adik beradik dan teman-teman rapat malah sudah ada yang membawa anak bersama,tunang dan suami. Saya tidak berkecil hati pada kakak dan abang serta teman yang tidak dapat menghadiri konvokesyen saya tempohari. Cukuplah dengan ingatan dan ucapan yang diterima dan dikesempatan ini juga, saya ingin menzahirkan perasaan terima kasih atas ucapan anda itu. Sesungguhnya, ucapan-ucapan sebegitulah yang menaikkan semangat untuk saya meneruskan pengajian MA saya pada tahun hadapan.

Saya sudah tidak sabar untuk bergraduasi lagi!

Tuesday, May 22, 2007

Jom Ke Konti Radio...


UFM Crew at Utusan Photoshoot

Maaf. Blog saya layu dan ada juga yang kata, "lalang"nya sudah tinggi...hehe. Setiap hari saya menjenguk ke mari cuma peluang untuk mengemaskini isinya sahaja tiada. (Alasan...hehe).



Keudara di UFM


Seingat saya, saya tidak pernah berkongsi dengan anda mengenai "dunia radio" yang saya ceburi sejak bergelar mahasiswa di UiTM. Saya pun kurang pasti kenapa saya "kedekut" untuk bercerita hal ini. Barangkali setiap kali menulis, cerita "orang" lain lebih menggeletek hati untuk saya tuliskan. Kali ini, jom ikut saya ke konti radio.


Pertama kali mencuba nasib ke ujibakat radio adalah semasa menuntut diploma sekitar tahun 2002. Waktu itu dalam hati hanya untuk suka-suka dan tidak yakin pun akan dapat. Itulah pertama kali juga saya berjumpa dengan Abang Din (Penerbit UFM) dan krew UFM (Radio UiTM). Saya diujibakat semasa pameran akhir pelajar diploma mass comm di Foyer Menara SAAS, UiTM Shah Alam. Saya siap ajak Niza (Raja Nurhasniza) ke ujibakat. Tuhan sahaja yang tahu betapa teruknya saya pertama kali mencuba nasib sebagai DJ radio (Almaklum saya tidak bersedia dari segi mental malahan fizikal sekalipun). Percubaan itu gagal menempatkan saya di UFM dan hanya mengambil Niza yang sememangnya sangat berbakat.

Kegagalan bukan halangan kepada saya untuk mencuba lagi ke ujibakat UFM yang seterusnya. Pada semester berikutnya, saya mencuba nasib sekali lagi ke UFM. Kali ini bukan Abang Din dan krew UFM yang menguji vokal dan kebolehan "bercakap" saya tetapi, mereka dari Radio 4 sekarang dikenali sebagai (Traxx FM) menguji saya. Ketaq (Ikut loghat utara pula!) tidak terkira saya ketika itu. Namun keramahan DJ-DJ Traxx FM "membunuh" ketakutan saya dan yang paling menakjubkan, saya lolos dalam ujibakat dan berjaya menjadi warga kerja UFM (Radio UiTM).

Permulaannya, saya hanya perlu sebut

“Anda sedang mendengar siaran percubaan UFM (Radio UiTM) di Frekunsi 93.6FM”

Ataupun

“Anda sedang mendengar siaran percubaan UFM yang dibawakan secara langusng dari Tingkat 13, Menara Sultan Abdul Aziz Shah, UiTM Shah Alam”

Ataupun

“Anda sedang mendengar siaran percubaan UFM (Radio UiTM) di bawah kelolaan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, UiTM Shah Alam”

Balik-balik itulah dialog yang perlu dituturkan sepanjang 2 minggu keudara. Waktu itu UFM dalam tempoh penutupan sementara atas urusan penyelenggaran dan pembaikpulihan. Jadi tempoh dua minggu selain mahu membiasakan kami dengan sistem dan mixer, sebenarnya adalah jangka masa untuk UFM kembali semula beroperasi.

Pertama kali saya diminta keudara waktu itu siaran pagi. Siaran jam 7 hingga 10 pagi bersama dengan Assistant Producer “kesayangan” ramai di UFM. Bukan main takut lagi saya pagi berkenaan kerana kebetulan saya tiba lewat 5 minit dan AP saya sudah berada dalam konti menantikan kehadiran saya. Itula siaran pertama setelah UFM “berehat” sementara. Berdebar sungguh hati. Almaklumlah siaran pertama saya keudara dan juga merupakan siaran pertama UFM. Namun ramai juga pemanggil yang menyokong saya pagi berkenaan.

Dari Kiri: Jue, Anem & Saya

(Pejabat UFM)

Mulai hari itu, saya keudara hampir setiap pagi dan kadang-kadang waktu petang, mengikut kelapangan jadual belajar saya. Sejak itu saya berkhidmat hampir 3 tahun dengan UFM. Terlalu banyak pengalaman yang saya kumpul dan simpan sepanjang berada disana. Diantara pengalaman yang tidak dapat saya lupakan adalah saya menerima hadiah berupa wang sebanyak RM 100 daripada salah seorang peminat saya. Saya amat terkejut kerana sepanjang keudara di UFM, saya tidak pernah fikir ada orang sudi mendengar celoteh saya dan yang paling lucu, saya tidak pernah fikir saya ada peminat.

Erra Fazira dan Saya

My Bodyguard...hehe...Sahri & Adi Fashla AF 1

Hak Milik Kekal & Krew UFM

Mirwana & Saya

Ali XPDC dan Saya

Juliza Adlizan & Saya

Selain itu, pengalaman menemuramah artis dan berkenalan secara dekat dengan mereka, sukar saya lupakan. Antara artis yang sempat saya temuramah ialah Erra Fazira, Nassier Wahab, Juliza Adlizan, Adi dan Sahri AF1, Kumpulan Mirwana, Rem, dan Ali XPDC (sekadar beberapa nama sahaja).

Gadis-gadis UFM (Karnival Pengguna, Bukit Jalil 2006)

UFM Crew @ Karnival Pengguna

Karnival Pengguna Kebangsaan 2006

Nak nyanyi lagu apa ni yer?

Pengalaman bersiaran luar untuk Karnival Pengguna Kebangsaan 2006, antara pencapaian terbaik saya dan UFM. Pada karnival itu, kami dapat merasakan pengalaman menjadi agen promosi dan publisiti sebuah acara besar diluar UiTM. Sungguh terharu apabila ramai sungguh pendengar setia yang turut sama sudi bertemu muka dengan kami di tapak program.

Tipulah saya jika tiada langsung pengalaman pahit semasa berada disana. Saya pernah dimarah pendengar hanya kerana katanya saya tersilap sebut solat zohor yang sepatutnya solat asar. Waktu itu, saya pasti saya memang menyebut solat asar dan saya mematahkan hujahnya dengan penuh berhemah. Ada juga pendengar yang saja mencabar kesabaran semasa keudara. Namun sebagai seorang juruhebah, saya hanya perlu bersabar dan cuba sehabis baik untuk menyimpan perasaan marah ketika keudara

Krew Muzik FM Semasa Sambutan 60 tahun RTM

Dari Kiri: Faez, Arez, Saya dan Yani

Semasa di semester 5 pengajian dalam jurusan ijazah pula, saya mengutip pengalaman dengan Muzik FM. Kali ini saya dihantar ke Muzik FM atas dasar menyudahkan latihan industri yang wajib ditamatkan untuk memastikan saya mendapat sekeping kertas yang disebut, Ijazah!. Di Muzik FM banyak juga konsert dan program luar yang turut saya sertai. Menerusi kegiatan luar ini, saya diajar bagaimana untuk mengendalikan acara dan kepentingannya Di Muzik FM, walaupun saya tidak diberi peluang keudara dan menjadi DJ, saya merasa liku-liku menjalani kehidupan berkarier dan wajah sebenar dunia penyiaran itu lebih banyak mendewasakan saya dalam arena ini.

Dayang Nurfaizah & Saya, Ramadhan 2006, Suria FM

Dari Kiri: June (Suria FM DJ), Dyan, Zahid AF2, Sheila, Saya

Saya mencuba nasib ke sebuah radio swasta semasa di semester 6. Saya ke Suria FM dan ketika itu, Suria FM masih ada lagi Kay Chuliano dan banyak otai-otai penyiaran radio keudara di sana.

Pucuk dicita, ulam mendatang. Saya diterima untuk menjalani latihan di Suria FM! Maka, saya dan 5 orang lagi rakan diberi latihan bagaimana mengendalikan rancangan dan sistem di Suria FM. Di Suria FM, banyak lagi perkara-perkara baru saya pelajari. Almaklumlah, sebelum ini saya hanya mendapat peluang “bekerja” di radio RTM jadi, pengalaman di stesen swasta amat berbeza.

Keudara di Putra FM 90.7 FM

Apa yang berbeza? Mudah. Boleh dikatakan semuanya berbeza. Cara penyampaian DJ-DJ mereka, sistem, cara kerja, cara promosi, malah persekitaranya juga berbeza. Sebulan juga saya “training” di Suria FM. Setapak lagi langkah hendak untuk menjadi DJ Suria FM namun, bukan rezeki saya lagi disana. Namun yang paling mengejutkan, semua kami tidak dipilih berkhidmat disana. Barangkali, semua kami tidaklah mempunyai rupa paras yang menarik dan seksi.

Dari Kiri: Saya, Epul, Nikki, Putri

Kecewa. Memang kecewa setelah gagal ke Suria FM dan paling mengecewakan ketika itu saya baru tamat belajar dan tiada apa-apa pekerjaan melamar saya. Hingga ke selatan tanahair saya mencari kerja (sila baca blog kedua saya untuk maklumat lanjut). Akhirnya, mungkin agaknya sudah rezeki saya diterima ke Putra FM ( Radio UPM).Kristal bersama Putri & Hani

Disini memanglah tidak sesukar mana kerana saya menggunakan kembali pelbagai pengalaman yang banyak sekali saya kumpul sebelum ini. Walaubagaimanapun, adatlah kalau perlu belajar “suasana” dan “telatah” tempat baru. Jadi doakan saya mampu melalui semua ini seadanya. Namun setakat ini, Putra FM juga memberi banyak pengalaman baru dan berharga. Disini walaupun tugas hakiki saya hanya “bercakap” tetapi, saya juga diberikan tugas untuk menerbitkan rancangan, menyediakan bahan, menyunting siaran (promo,jingle,rancangan, PSA) hingga ke tugas sebagai “amah” juga saya yang perlu usaikan. Macam mana pun, setakat ini saya menyukai kerja ini. Bekalan di radio ini akan saya jadikan pengalaman andai saya bergelar “guru” nanti. Mana tahu, sedikit sebanyak mungkin pengalaman ini boleh membantu.

Sofaz bersama Krew Putra FM

Sasi The Don yang cool & Hunny Hanie

Sampai disini dahulu coretan kali ini, sampai jumpa lagi…

Mixer kat sebelah tu lagi cantik dari DJ yang ni kan?...Hehehe

Friday, March 30, 2007

Jalan Ampas Dahulu dan Kini


Papan tanda ke Jalan Ampas dari Ballestier Road

Lawatan ke Singapura kali ini membawa saya mengamit kembali memori di Jalan Ampas. Alhamdulillah, tuhan memberi kesempatan pada diri saya ke tempat ini setelah berkali-kali tidak berkesempatan menyinggah kawasan berkenaan. Barangkali mungkin kerana hotel yang ditempah abang saya kali ini di Ballestier Road, maka jika tidak mengambil peluang menjenguk kawasan sekitar, alangkah ruginya.

Jalan Ampas adalah salah satu lorong di sebuah jalan besar, Ballestier Road. Jalan Ampas masih lagi digelar jalan (walaupun kebanyakan nama jalan di Singapura ini sudah di inggeris kan). Besar kemungkinan ini terjadi kerana memori yang terpalit pada nama jalan itu sendiri.

Batu Peringatan di Hadapan Studio Jalan Ampas

Sudah tiada apa-apa lagi yang istimewa di Jalan Ampas kini. Jika dahulu jalan ini sangat sibuk dengan kenderaan keluar masuk menghantar pelakon-pelakon, lori berisi peralatan studio atau basikal yang ditunggang pekerja-pekerja Shaw Brothers, kini jalan ini senyap dan sepi. Bangunan di No 8, Jalan Ampas sudah sunyi. Hanya di hadapan bangunan terletak sebuah batu peringatan menceritakan sejarah tempat berkenaan. Kawasan studio pula sudah ditutup dan tidak dibenarkan masuk. Bangunannya sudah usang dan tidak berpenghuni lagi.

Studio Jalan Ampas dari luar

Hati saya digamit kenangan dalam filem Seniman Bujang Lapok. Lewat filem berkenaan kita dapat lihat studio tersebut begitu gah. Namun kini cuba lihat sendiri, seperti sudah hilang taringnya. Malah seperti tiada usaha menjadikan tempat ini salah sebuah muzium untuk kita banggakan kenangan yang dipunyanya. Lalu, tinggallah bangunan yang banyak mengeluarkan filem bermutu, layu dalam ketuaannya sendiri.

Saya (dan abang saya) merasa agak hampa juga apabila melihat kawasan studio yang sudah berpagar dan tidak dapat kami masuk dan merasakan auranya dari dekat. Abang saya bagaimanapun dapat memperoleh gambar kawasan dalam studio. Turut saya sertakan gambar tempat yang serupa sedutan dari Seniman Bujang Lapok.
Studio Jalan Ampas dari dalam dahulu dan kini

Selain dari gambar-gambar studio, saya juga sempat bergambar di beberapa lokasi pengambaran dalam adegan P Ramlee dikejar isteri-isterinya dalam Madu Tiga. Sempat juga duduk mencangkung di tempat Apek (Madu tiga), berlakon ala-ala Sarimah ketika P Ramlee terjun dari jambatan. Selepas bergambar, saya tergelak sendiri kerana begitu asyik dibuai kenangan.
Untuk informasi anda, jambatan inilah jambatan yang digunakan oleh para pelakon di studio Jalan Ampas untuk pulang ke rumah mereka di Boon Teck Road. Boon Teck Road terletak selang dua jalan dari Jalan Ampas.

Jambatan tempat P Ramlee cuba lari daripada isteri-isterinya dalam Madu Tiga dan tempat saya sedang mencangkung, tempat Apek (dalam Madu Tiga) mencangkung menantikan "seksa kubur"


Berlakon ala-ala Sarimah dalam Madu Tiga...



Sampai dicoretan yang lain.