Tuesday, June 26, 2007

Hari Yang Menggembirakan!

Konvokesyen Diploma Mei 2005

Sejak beberapa ketika ini, saya sering tercari-cari masa untuk menulis. Almaklum, walau hakikat tugas saya sekarang hanya "membebel" di ruang udara radio namun, jangan fikir saya punya banyak masa. Tugas saya bermula seawal jam 8 setiap hari dan berakhir pada 12 malam. "Membebel" saya ini lebih dari 6 jam sehari sehingga kadang-kadang masa untuk iseng-isengan juga tidak punya. Lebih mengharukan, sewaktu keudara, idea untuk dikongsikan bersama pendengar pun semakin hari semakin "surut".


Setiap daripada kita punya hari-hari yang mengembirakan. Cuma "peristiwa"nya hanya berbeza-beza. Ada antara kita beranggapan bahawa hari perkahwinan adalah hari yang mengembirakan. Tidak kurang juga yang rasa bahawa mendapat cahaya mata pertama adalah sesuatu yang tidak mampu dilupakan. Emak dan ayah saya pula berkata hari mengembirakan mereka apabila pertama kali dapat menunaikan haji di Baitullah. Semua itu tidak saya rasakan lagi. Barangkali satu hari nanti. Barangkali. Saya masih ternanti-nanti semua itu. Insyallah tidak lama lagi...Amin.

Baiklah, mari kita bercerita mengenai "Hari Yang Mengembirakan" dalam hidup saya ini. Bagi saya setakat ini hari yang sangat dan terlalu mengembirakan dan mengharukan saya adalah "Pesta Konvokesyen". Saya sudah 2 kali menaiki pentas menerima diploma dan baru-baru ini pula, ijazah sarjana muda.Ghafur, Emy dan Saya (Konvokesyen FKPM 27 Mei 2007)

Semacam satu kepuasan apabila menaiki pentas menerima ijazah dan disaksikan ibu dan ayah yang selama ini mengorbankan masa, wang malah berkongsi perasaan suka duka saya ketika menuntut. Lebih mengujakan apabila saya dapat lulus cemerlang sekaligus meraih Anugerah Naib Canselor. Pada saya, belajar,lulus dan menerima ijazah yang penting. Segala anugerah itu untuk ibu dan ayah sebenarnya. Mereka pada saya "deserve" apa yang saya dapat itu.

Dato' Ibrahim : Tak payah tutup mata...saya tak makan orang

Saya: Tengah malu ni Dato' banyak sangat cameraperson ambil gambar saya

Semasa konvo diploma saya sudah "mengecewakan" mereka kerana tidak menerima anugerah yang sama walaupun hakikatnya saya terlebih layak. Alasan pihak universiti katanya jumlah kredit semester akhir saya kurang 12 jam. Maka dengan itu saya tidak layak. Jadi "konvo" kali kedua saya berjaya mendapatkannya. Syukur, Alhamdulillah. Bagi mereka berdua…senyum sudah tak ada ruang dimuka. Nasib baik sahaja mereka tidak bangun menjerit…. “Anak aku” ketika nama saya disebut naik pentas…(hehe…mak ayah jangan marah yer…anakandamu ini bercanda sahaja!).Tuhan sahaja yang tahu bagaimana perasaan saya ketika nama dipanggil menerima ijazah tempoh hari. Setiap kali sidang fakulti saya di konvokesyen UiTM, tidak kiralah siapa sahaja yang menerima ijazah, jeritan teman-teman akan bergema sekuat-kuatnya. Masakan tidak, sedangkan para pensyarah dan dekan naik pentas sahaja kami dah bersorak dan bertepuk tangan…inikan graduan, lebih meriah la. Ketua istiadat konvokesyen malah Naib Canselor pun sudah tidak mampu berkata apa-apa kerana itu “cara” budak Mass Comm…hehe. Jadi anda boleh bayangkan kalau juruacara sebut “Penerima Anugerah Naib Canselor…” keadaan jadi bagaimana? Itulah pertama kali saya jadi sangat kecut melihat Dato’ Ibrahim. Bukan kerana Dato’ Ibrahim berwajah garang atau sebagainya tapi, kerana kawan-kawan merjerit lebih kuat daripada biasa (ini bukan promo tagline sebuah stesen radio swasta ya…harap maklum). Itulah yang menyebabkan saya berjalan memandang permaidani pentas ketika paparan skrin menunjukkan saya turun dari pentas. Walaubagaimana pun, saya sangat menghargai tepukan dan sorak sorai teman-teman seperjuangan saya tersebut. Bagi saya, itulah penghormatan tak terhingga pernah saya terima daripada mereka semua.

"Lenguh bahu tuhan aja tau...apa-apa pun senyum mesti maintain"

Kalau bercerita mengenai konvokesyen juga tidak boleh lari daripada jubah, hood dan mortar board. Untuk hari yang mengembirakan ini saya terpaksa menambah satu lagi aksesori wajib. Sudahlah panas tangahari itu dan semakin bertambah berat bahu saya hari itu kerana menyandang selempang songket. Nasib baik tidak senget bahu saya. Masakan tidak. Dibahu sudah “berlingkaran” hood merah ungu. Semasa berbaris masuk dewan diberi lagi sehelai selempang yang harus dipakai. Tuhan sahaja yang tahu. Namun bila orang mula pandang “semacam”…hehe…kembang juga la hidung. (Kembang hidung, bukan hidung tinggi tau Ode!).

Budak-budak gila...kata abang saya, Mohariz. Jeles la tu kami pakai selempang...

Dari kiri: Saya, Suffian aka Sopek & Mastika

Saya tidak sempat untuk bergambar lebih banyak dengan teman-teman sekelas pada konvokesyen kali ini. Seusai turun pentas, saya dan dua lagi rakan diasingkan dari kerusi asal kami dengan alasan, penerima anugerah harus bergambar dengan Naib Canselor. Jadi hanya gambar dengan mereka berdua sahaja yang banyak dalam koleksi. Yang menyedihkan lagi, gambar dengan Dato’ Ibrahim pun saya tidak dapat hendak mengambilnya kerana gambar itu diambil jurufoto konvokesyen. Jika berhasrat hendak memilikinya…tunggu hingga pesta konvokesyen berakhir. Sampai sekarang masih belum sempat hendak mencari foto berkenaan di Canselori UiTM.

Geng sekelas yang tetap maintain ayu & hansome, walaupun hakikat muka dah berkilat-kilat macam kertas yang kilat-kilat tu

Keadaan tidak mengizinkan untuk berfoto dengan teman-teman lagi kerana habis sahaja majlis sudah lewat petang. Yang jauh sudah lama pulang. Yang dekat sibuk bergambar dengan ibu, bapa dan famili. Hendak tidak, terpaksalah akur dengan situasi itu. Hendak dicari yang masih tinggal pun, tak dapat dicari lagi dalam himpunan manusia yang memenuhi ruang legar Dewan Sri Budiman yang sememangnya menyesakkan setiap kali pesta konvokesyen UiTM.

Mat Noor: Awat mortar board ni...

Mastika: Wei, aku pendekla. Hani kasik turun sikit mortar ko ni

Zul: Ngantuk...uwaaa

Am: Kontrol handsome

Saya, Emy n Ghafur: Senyum...ceh makan iklan ubat gigi pulak erk?

Walaupun begitu, saya masih ada beberapa gambar dengan teman-teman semasa berbaris masuk dewan. Itu pun hanya wajah teman-teman yang berdiri berhampiran. Yang jauh kebelakang, sedih sekali memang tidak ada dalam simpanan saya. Teman sekelas hampir 43 orang dan yang bergraduat bersama 41 orang jadi, mahu tak panjang barisan jurusan MC 223 (Penyiaran)?.

Mak & Ayah & Anak bongsu yang banyak fiil

Kehadiran insan istimewa dalam hidup saya sudah banyak membawa erti dalam diri ini. Mereka berdua adalah ibu dan ayah saya. Tanpa mereka tidak jadi saya bergraduasi. Berbanding dengan teman-teman lain banyak sekali insan-insan selain ibu ayah hendak melihat mereka bergraduasi. Pakcik, makcik, atuk, nenek, adik beradik dan teman-teman rapat malah sudah ada yang membawa anak bersama,tunang dan suami. Saya tidak berkecil hati pada kakak dan abang serta teman yang tidak dapat menghadiri konvokesyen saya tempohari. Cukuplah dengan ingatan dan ucapan yang diterima dan dikesempatan ini juga, saya ingin menzahirkan perasaan terima kasih atas ucapan anda itu. Sesungguhnya, ucapan-ucapan sebegitulah yang menaikkan semangat untuk saya meneruskan pengajian MA saya pada tahun hadapan.

Saya sudah tidak sabar untuk bergraduasi lagi!

0 comments: