Monday, August 23, 2010

Penghargaan


Setelah berfikir panjang, izinkan saya menempelkan semula halaman penghargaan yang telah saya sertakan dalam tesis sarjana saya. Tidak semua dapat membaca tesis berkenaan lalu, elok jugalah kalau saya panjangkan penghargaan dan besar hati atas pertolongan mereka yang telah memudahkan penulisan tesis ini. Terima kasih semua.


PENGHARGAAN

Perjalanan seribu batu bermula dengan langkah pertama. Syukur alhamdulilah akhirnya perjalanan saya untuk menyudahkan tesis tiba juga pada langkah yang akhir. Semua rasa yang saya miliki kini saya pulangkan semula kepada Dia, Allah SWT. TanpaNYA, perkara ini tidaklah semudah yang disangka. Seterusnya saya juga ingin berterima kasih kepada penyelia saya, Prof Madya Dr Faridah Ibrahim yang senantiasa memberi ingatan, tips dan dorongan untuk saya melihat jalur perjalanan ini dengan lebih jelas. Buat Prof Madya Dr Mus Chairil Samani yang sering prihatin dengan perjalanan penulisan tesis saya.


Para pensyarah di Pusat Pengajian Media dan Komunikasi (MENTION), UKM terutama kepada Prof Dr Samsudin A Rahim, Prof Dr Safar Mohd Hasim, Prof Madya Dr Latiffah Pawanteh, Prof Madya Dr Asiah Sarji, Prof Madya Fuziah Kartini Hassan Basri dan Dr Normah Mustaffa—terima kasih untuk ilmu yang dicurahkan sepanjang keberadaan saya disini. Kedua ibu bapa, Hj Yaakup B Maakip & Hjh Jaharah Mohd Yusof yang sering memberi dorongan, sokongan dan kasih sayang tidak bertepi. Keluarga yang menyokong. Buat Jay, yang senantiasa memberi nasihat, semangat dan pandangan. Juga teman baik saya, Nur Firdaus Abdul Rahim di BERNAMA yang sering memberi idea-idea yang pelbagai. Terima kasih semuanya.


Tidak dilupakan juga kepada pihak Penyelidikan dan Pembangunan Perbadanan Kemajuan Perfileman Nasional Malaysia (FINAS) yang membenarkan saya menggunakan perpustakaan dan juga mengizinkan salinan bahan-bahan yang saya perlukan. Terima kasih banyak. Terima kasih ini dipanjangkan lagi kepada karyawan filem, penulis dan wartawan yang telah sudi berkongsi pengalaman dan ilmu untuk saya menyudahkan penulisan tesis ini dengan lebih mudah. Terima kasih kepada Encik A Wahab Hamzah, Encik Ku Seman Ku Hussin, Encik Amir Muhammad, Encik Akmal Abdullah dan juga Puan Sujiah Salleh.


Tidak dilupakan juga teman-teman alumni Minggu Penulis Remaja (MPR) khususnya Ainunl Muaiyanah, Azizul Ikhwan, Nabiha Mashut, Nissa’ Yusof, Azree Ariffin, Aidil Khalid, Nasriah Abdul Salam dan Rasyidah Othman yang tidak lelah berkongsi pandangan. Teman-teman di Universiti Putra Malaysia (UPM), Masitah Saini yang membantu dalam pencarian bahan bacaan. Terima kasih juga buat teman-teman sekuliah di UKM terutama Melly Ridaryanthi, Rizky Hafiz Chaniago, Nor Idahyah dan Wulan Widyasari. Akhir sekali untuk semua yang terlibat secara langsung ataupun tidak dalam pengumpulan maklumat dalam memudahkan penulisan tesis ini.


Sungguh melati senang dipetik,

Harumnya masyhur seluruh alam,

Sungguhpun budi hanya setitik,

Langit dan bumi ada di dalam.


Hani Salwah Yaakup

Kajang, Selangor.

http://haniesalwah.blogspot.com.

Wednesday, August 18, 2010

Catatan Mengenai Wisuda Yang Tertunda-Tunda


Gambar-gambar sewaktu raptai konvokesyen

Alhamdulilah seperti catatan yang lalu, saya telah (dengan selamatnya) menyudahkan pengajian saya (untuk kesekian kalinya). Inilah catatan mengenainya yang tertunda-tunda kerana sibuk (ye ke?), malas (tepat sekali!) ataupun sambungan internet yang kejap ada kejap tidak (ini pun benar tau...serius saya tak tipu ok). Majlis ini telah selamat berlangsung pada tanggal bersejarah 8 Ogos 2010 setelah hampir sebulan lebih saya memasuki ruang viva membentangkan hasil kajian yang saya anggap seakan mustahil untuk saya sudahi. Majlis wisuda atau konvokesyen ini adalah yang paling sekejap sekali tempoh menunggunya.


Bersama Ayahanda, Hj Yaakup B Maakip & Ibunda, Hjh Jaharah Bt Hj Mohd Yusop

Beberapa hari sebelum acara ini, kedua ibu dan bapa dilanda demam yang kuat. Namun, alhamdulilah kedua-duanya masih sempat menghadiri majlis saya pada hari ahad berkenaan. Malah dalam temph sehari, ibunda saya telah berjaya menjahit baju kurung yang dirancang saya untuk dipakai sewaktu acaranya. Tidak terkata saya. Aduh, terima kasih emak! Melihatkan tempat duduk yang tinggi, saya jadi risau bagaimana keduanya akan memanjat tangga untuk duduk melihat acara saya. Setelah turun mengambil skrol daripada Pro Canselor, saya memanjat syukur bila melihat kedua-dua duduk elok-elok sahaja dibawah dan berdekatan pula dengan tandas. Terima kasih ibunda dan ayahanda kerana masih bisa melihat anakanda bergraduasi :)

Bersama sebahagian pensyarah saya di MENTION, UKM. Sayang, tidak sempat bergambar dengan penyelia saya...huhu

Saya sebenarnya bergembira (juga terharu) melihat para pensyarah terutama penyelia dan ketua jabatan saya sudah siap sedia beratur menunggu masa untuk masuk ke dewan. Ketika berjalan masuk ke dalam DECTAR, UKM ini saya sempat menyalami, berpelukan atau menunduk kepala memberi hormat (kepada pensyarah lelaki). Perasaan ketika itu memang lain sekali. Ada gembira, ada sedih sekali bergaul dalam sukma. Tidak cukup itu, ketika menaiki pentas menerima skrol dan nama saya disebut, mereka memberi sokongan bertepuk tanggan paling kuat dan sempat memanggil-manggil saya saat turun dari pentas. Oh...terima kasih guru-guruku!


Bersama bakal Dr Bebi & Dr Hani (amin ya Rabb!)

Jika setiap kali majlis wisuda saya hanya didatangi ibunda & ayahanda, majlis kali ini adalah salah sebuah majlis yang menggembirakan saya. Untuk pertama kalinya, kawan-kawan (yang saya mesrai di UKM ataupun rakan-rakan seperjuangan penulisan) datang meraikan. Oh, terima kasih kepada anda semua. Saya benar benar benar terharu. Orang yang paling saya tidak sangka sudi mampir dan memberi sekuntum bunga mawar merah adalah teman sekepala alias senior sarjana saya di UKM dan mungkin senior saya di peringkat PhD (mohon doa dipermudahkan), Melly Ridaryanthi atau lebih mesra saya panggil Bebi. Dalam keadaan berpeluh-peluh, kami berdakapan. Mengucap selamat dan saling mendoakan. Alangkah indahnya persahabatan meski berlainan warganegara.

Kemudian, datang pula adik-adik MPR yang baik hati. Sejambak mawar putih (kegemaran saya!) turut dibawa bersama. Terima kasih, Aidil Khalid, Ainunl Muaiyanah, Masitah Saini dan Nissa' Yusof yang sudi melapangkan petang ahad anda di majlis saya. Tersangat saya menghargai. Juga tidak dilupa untuk adik-adik di UPM yang tidak dapat hadir tetapi turut menitipkan bunga yang cantik. Terima kasih adik-adikku Agy, Jaa dan Su (nanti kalau free, Kak Hani masakkan untuk korang lagi ya!).


Bersama penulis berbakat besar, Aidil Khalid


Nantikan album "UKM Road" tidak lama lagi...haha

Seringkali setiap majlis konvokesyen UKM belangsung, saya selalu berdoa lampu isyarat di pintu utama berwarna merah. Ini adalah kerana saya mahu lihat para graduan yang berjubah konvokesyen, bertopi mortar atau bonet dan memegang skrol bergambar di tempat-tempat utama di UKM. Jika ada rasa putus asa ketika menyiapkan tugas kuliah mahupun tesis, setiap kali itu gambaran-gambaran ini cuba saya pahatkan dalam hati dan naluri untuk menjadi semangat yang berbaur-baur dalam buku-buku jiwa. Alhamdulilah, rasa putus asa itu akan menjauh tanpa dipinta. Indahnya konvokesyen...tanda jiwa yang merdeka.


Saya mahu bergraduasi lagi. Kali ini bertopi bulat (bonet) pula! Doakan ya... :)


Hanya kami berdua sahaja yang bergraduasi. Teman-teman sekelas yang lain semoga dipermudahkan perjalanan kalian ya! Amin...

Oh yeah!

Tuesday, July 20, 2010

Rasa (III)


Aku tahu
hari-hari kita akan biasa biasa sahaja
tanpa sebarang
khabar

Tapi,
beratkah kalau aku meminta
sesekali ada aku di fikiranmu?

20 Jun 2010

***Gambar dari sini

Saturday, July 10, 2010

Catatan Setelah Ripuh


Sesekali duduk diam dalam suasana bising dan keramaian itu mendatangkan suatu perasaan tidak terasing dan tidak diabaikan. Setelah tamat pengajian ini, saya cuba mengutip kembali sebuah ceritera yang telah lama saya tulis tapi, masih belum ada kesempatan untuk diusaikan. Lalu, tempat-tempat begini memberi saya sedikit sebanyak mood dan perasaan yang telah lama saya abaikan sejak ripuh menyiapkan tesis yang selama ini memonopoli segala ruang dalam diri saya.

Oh, setelah sebulan tidak mengemaskinikan laman ini terlupa untuk saya khabarkan, saya telah selamat menamatkan pengajian sarjana saya. Alhamdulilah dipanjatkan kepadaNYA. Jika anda bertanya apa yang hendak saya lakukan setelah ini, saya belum ada jawapan yang ampuh. Cuma, untuk sebulan ini saya mahu duduk diam dirumah dan menyelesaikan beberapa perkara tergendala dan separuh jalan yang telah saya buat. Selain itu saya ingin membaca, membaca dan membaca lalu menulis semampu daya.

Setelah itu, mungkin memulakan kerjaya dan meneruskan pengajian (lagi!)...

***Gambar dari sini

Tuesday, May 18, 2010

Kasih (1)


Hujan
ada setitis dirimu
yang masih melekat
di jendela kamarku

Kajang, Selangor
18 Mei 2010

Monday, May 10, 2010

Pada Kilau Bundar Mataku


Ada yang berbisik
mencari tahu

Namun
perlukah aku bicarakan lagi
andai sudah jelas telah
dapat kau lihat
pada kilau bundar mataku?

Hani Salwah Yaakup
10 Mei 2010
Kajang, Selangor

*** Foto dari sini

Friday, May 07, 2010

Memasang Kenangan (2)


Melewati hari-hari terakhir
ada rindu yang bakal tercipta
ada rasa sayang yang makin menggebu
terima kasih untuk sebuah kenangan...

Hani Salwah Yaakup
FSSK, UKM Bangi
7 Mei 2010

Monday, April 26, 2010

Eskapisme Ke Negara Fantasi

Posing Tegak Ala-ala Hindustani...eceh!

Walaupun saya dihimpit deadline yang mencekam, namun saya tidak mahu memberi tekanan besar pada diri sendiri. Kenapa mahu menyeksa hidup sekiranya permasalahan itu boleh diatur dengan bijaksana? Jadi, ajakan dan layanan adik-adik (baca: teman-teman baik saya) merupakan sebuah eskapisme yang baik untuk melontarkan sekejap pusing ketika membuat koding dan mengira patah kata yang kecil dalam sample kajian saya.

Suatu hari yang baik (terjemahan langsung dari bahasa Inggeris "one fine day"), adik-adik ini dengan bermurah hati telah membawa saya berkunjung sebentar ke negara fantasi. Mula-mula saya hanya gelak sahaja kerana kami berjalan disebuah bangunan kosong berpusing-pusing menaiki tempat parkir kereta. Tiada apa yang istimewa. Namun selepas berjaya meletakkan kereta dilantai tertinggi, oh baru saya tahu ada sebuah negara fantasi tersembunyi diantara struktur bangunan.

Setiap pokok dan bentuk disini diberi sinaran lampu yang comel. Maka, saya telah tiba disebuah negara fantasi di pojok Shah Alam. Nama tempat ini adalah I-City. Mahu tahu dimana, boleh tanya saya sendiri secara peribadi. Nikmati gambar-gambar saya ketika mengembara ke negara fantasi.


Terasa seperti di Korea sekejap (tapi sekejap je la...hehehe)


Muka girang lepas daripada koding sekejap


Peek-A-Boo


Cak!

***Kredit foto untuk cik puan punya kamera, Nabiha Mashut. Toceh!

Surat Kepada Tuan (2)


Tuan,
kucuba untuk menulis namamu
seperti biasa
disudut paling istimewa
direlung sukmaku

Namun
kenapa kali ini
ada semacam pilu kurasa
diantaranya?

25 April 2010
Kajang, Selangor

*Foto awan di petang hari di Pantai Port Dickson, Disember 2009

Saturday, April 17, 2010

Surat Kepada Tuan (1)


Tuan,
secuil masa
telah kuguna
untuk mengejar matahari.

17 April 2010
Kajang, Selangor

*** Pantai Port Dickson akhir Disember 2009

Sunday, April 04, 2010

Kau Yang Kuberi Nama Cinta


Lalu kulalui hari
tanpa pesanan dan panggilan
aku jadi resah dan rindu
pada kau yang
kuberi nama cinta...


Hani Salwah Yaakup
4 April 2010
Kajang, Selangor

*gambar dari sini

Monday, March 29, 2010

Cinta (II)


Jiwa
telahku sihirkan relung hati
dengan serangkap mentera
untuk tetap disini
dengan senandung cinta

Jiwa
izinkan aku untuk tetap disini
menjadi butir hujan yang mendinginkan
menjadi sepotong cahaya yang menerangkan
setiap panas dan gelapmu disana

Jiwa
jika tidak pernah kuucapkan ini
biarlah ia menjadi pertama dan abadi
"terima kasih kerana menyintai!"

29 Mac 2010

Hani Salwah Yaakup
Kajang, Selangor

*Gambar dari sini