Saya mohon maaf pada anda yang ternanti-nanti sambungan entri gambar-gambar saya ke Perth tempohari. Sejak pulang beberapa agenda dan majlis perlu saya hadiri. Salah satu daripada majlis penting tersebut adalah Minggu Penulis Remaja 2008, di Sri Cempaka Service Suite, Menara PGRM, Cheras. Entri mengenai MPR akan menyusul kemudian...sabar ya! Yang lebih mengharukan, setelah semua agenda dan majlis ini selesai, saya diserang sakit yang teruk pula. Aduhai!
Kali ini saya ingin berkongsi pengalaman dan kenangan di tiga tempat berasingan yang telah saya rakamkan fotonya. Pertama adalah Perth City (Bandar Perth). Tiada apa yang menarik sangat mengenai bandar Perth selain lokasinya yang berhampiran dengan laut dan dipenuhi dengan hutan batu pencakar langit. Di bandar ini kepada anda yang mungkin tidak berapa tahan dengan kedinginan, adalah disarankan membawa pakaian tebal, pakaian berlengan panjang, mafla, shawl, jumper atau apa sahaja yang boleh menghalang anda diserang sejuk yang telalu. Kawasan bandar ini lebih dingin mungkin kerana angin sejuk yang dibawa laut tidak bebas bergerak seperti di kawasan-kawasan lapang di pinggir bandar yang tidak mempunyai bangunan tinggi pencakar langit.
Bandar ini disusun berstruktur dan memudahkan kita mencari bangunan atau kedai yang tercatat dalam peta lawatan untuk pelancong. Bandar yang teratur ini juga bebas daripada kesesakan dan hanya penuh dengan kereta, lori dan kenderaan yang sewaktu dengannya pada waktu pulang kantor. Selain waktu tersebut, jalan rayanya tenang.
Destinasi seterusnya adalah King's Park. Taman botanik ini mempunyai keluasan 400 hektar. Jadi rugi kalau tidak kesana. Pada pendapat saya jika anda hendak ke taman ini pastikan anda datang dua kali iaitu sekali pada waktu siang (petang) dan sekali lagi pada waktu malam. Keindahan yang anda akan rasai memang berbeza. Siang hari anda hanya akan melihat bandar Perth dari atas bukit tapi, pada waktu malam dari lokasi yang sama anda akan melihat bandar Perth seperti diserang kunang-kunang yang senantiasa berkelip-kelip. Keindahan ini disapa pula bayu laut yang membawa rasa dingin yang menenangkan. Oh, indahnya. Tidak tertulis oleh saya betapa syahdu dan senangnya hati!
Kau laksanakan kunang-kunang yang mengindahkan
Riang ria di King's Park
Terakhir adalah kawasan Frementle. Frementle adalah kawasan pelabuhan yang terletak di permulaan sungai swan (swan river) dan hanya 19 kilometer dari bandar Perth. Frementle dijumpai pada 1829 oleh Kapten Charles Howe Frementle. Kini, kalau anda ke sana anda akan dapat melihat banyak banguan warisan peninggalan kolonial yang masih rapi terjaga. Banyak sekali tempat yang menarik yang ada di Frementle. Namun, sayang saya hanya sempat ke Frementle Market. Ini adalah kerana lawatan saya ke sana adalah pada hari ahad dan tempat-tempat menarik yang lain semua tutup pada hari tersebut.Saya pohon maaf kerana suasana bandar Perth pada waktu siang dari King's Park tidak dapat saya rakam untuk kita kongsikan bersama-sama disini. Ini adalah kerana pada petang hari saya ke sana tiada tempat parkir kereta kerana terdapat konsert Simply Red disana. Ampunkan saya ya! Suatu perkara lagi yang menyedihkan, pada petang 12 Disember tempohari ketika dalam perjalanan ke hospital tempat kakak saya bekerja, bahagian tertentu di King's Park terbakar kerana cuaca panas yang keterlaluan. Nasib baiklah pihak bomba Perth yang cekatan memadamkan api telah mengelakkan kebakaran itu daripada merebak ke kawasan dalam taman berkenaan. Alhamdulilah. Selamat kawasan yang indah itu.
Riang ria di King's Park
Si gadis comel ini sudah mula merindui atuknya!
Di Frementle Market, bukan hanya barangan basah seperti ikan dan daging sahaja dijual, malah anda boleh mengurut kaki, membeli cenderamata, membeli buah-buahan dan apa sahaja disana. Kalau di Malaysia mereka yang bergaya dan berkasut tumit tinggi mungkin tidak rela ke pasar. Namun, jika disini anda tidak perlu risau baju dan kasut anda kotor kerana bukan sahaja pasarnya tidak becak tetapi, hendak memilih ikan pun anda perlu menggunakan sepit.
Sejujurnya, banyak lagi tempat yang menarik yang tidak dapat saya lawati. Kekangan kakak saya yang tidak dapat memperoleh cuti dan tempat-tempat (termasuk kedai) yang tutup seawal jam 5 petang juga menyukarkan kami untuk bergerak. Insyallah, kalau tiada aral tahun depan kami akan ke Perth lagi untuk musim gugur pula. Nah, kita lihat bagaimana pula suasananya nanti!
0 comments:
Post a Comment