Wednesday, April 09, 2008

Suatu Kisah Mengenai Blog

Teringat saya kira-kira dua tahun yang lalu. Proposal tesis saya yang pertama telah ditolak mentah-mentah kerana pada hemat mata fikir seorang doktor ini, tajuk saya semacam tidak menarik dan tidak membawa apa-apa kesan kepada media kita waktu itu. Oh, pada mulanya semacam hiba juga dengan keputusan doktor berkenaan tapi, waktu itu saya umpama mentimun, digolek sakit, menggolek pun sakit. Hendak tidak, saya pun merubah tajuk tesis saya kepada sesuatu yang agak menarik juga tapi, tidaklah mampu menggugah perasaan saya seupama tajuk yang ditolak berkenaan.


Biasalah tu. Topik pertama itu sudah menjadi cinta pertama. Orang katakan cinta pertama itu hebat dari segalanya. Ewah, ewah, ewah! Hehe!


Kini, saya tertanya-tanya apa perasaan si doktor berkenaan bila melihat bahkan pak menteri penerangan pun sudah bising-bising dengan keberkesanan dan ancaman kepada pembentukan agenda media dan agenda kerajaan sekalipun. Apakah yang bermain di relung hati doktor berkenaan membuatkan saya kepingin sangat tahu.

Mungkin barangkali ada baiknya bila terjumpa sang doktor di fakulti kini, soalan ini diulang kembali…hahaha. Apa agaknya reaksinya? Ataupun nantikan saja semester hadapan. Dengar khabar beliau akan mengajar saya untuk subjek "Graduate Seminar". Oh, nakalnya saya!.


Tidak mengapalah saya kira jika saya tidak dapat menunaikan hajat saya itu untuk menjadikannya kenyataan kini. Malah saya perlu ucapkan tahniah dan selamat untuk teman baik saya, Kak Yan kerana ingin melihat peranan media ini kepada masyarakat kita kini. Moga-moga dapatan kajian untuk tesisnya itu nanti, mampu membuka mata serta minda masyarakat kita yang sudah "season" dengan media arus perdana. Juga menambahkan ilmu pada mereka yang terbiasa dengan blog, terkadang muak atau baru-baru mahu mempelajarinya nanti.


"Maksu ni gambar I pun nak dimasukkan dalam blog. Serius tak ready lagi tu..."


Fakta yang saya terima semasa mengikut program DBP baru-baru ini mengenai "Penulis dan Blog" secara tidak langsung membuka mata fikir. Jumlah blog meningkat dari hari ke hari. Tidakkah itu juga satu yang memberangsangkan jika kesemua blog berkenaan ditulis dengan baik? Setidak-tidaknya meningkatkan juga nilai dan martabat sesebuah bahasa itu. Berharap benar saya agar satu ketika nanti lebih banyak blog berbahasa Melayu yang baik untuk kita baca, untuk kita hadami idea dan pemikiran yang baik, jernih dan telus. Maklum sahaja media arus perdana kita semakin hari semakin lama membuat kita kian keliru. Mereka terikat dengan pembentukan agenda, ya semua!. Terhimpit dan tersekat!


Kita nantikan saja bila kewartawanan sivik diperkenalkan di negara ini. Waktu itu mungkin pendapat masyarakat seperti saya dan anda semua didengar pelbagai lapis masyarakat. Apa itu kewartwanan sivik? Jenis kewartawanan ini membolehkan warga biasa seperti anda dan saya untuk turut sama ambil bahagian didalam kewartawanannya. Haha...insyallah di entri yang lain saya akan kupas lebih banyak mengenainya.


Moh bercerita semula mengenai blog. Teringat saya pada temuduga yang saya hadiri beberapa minggu lepas. Pegawai berkenaan sudah mencabar-cabar saya untuk mengadakan blog yang begini begitu. Kesatuan blog-blog islami katanya. Bagi melawan semula hinaan manusia-manusia yang selalu benar mengina dan menyamakan agama yang kita anuti ini dengan penyakit "pengganas dan keganasan" katanya. Yang paling menyedihkan, bila saya ditanya soalan yang bernada begini, bukan saya dapat peluang pun hendak bercakap. Balik-balik jawapannya datang sendiri dari mulut pegawai ini. Lebih baik jika pegawai berkenaan duduk di bangku saya dan saya pula menanyakan dia soalan...kan lebih baik!


Puan, sila banyakkan pembacaan anda atau mungkin puan sendiri perlu menceburkan diri dengan dunia ini sebelum membuat sekian sekian pendapat dan cabaran. Soalan anda sebenarnya sudah banyak terjawab oleh mereka yang sudah mem'blog'. Ataupun mungkin puan boleh bawa masuk ke mesyuarat jabatan puan mengenai masalah yang puan ajukan pada saya. Setidak-tidaknya mana tahu, kementerian puan boleh menjawab segala gusar dan ragu blogger seperti kami ini. Mungkin beri airtime diradio dan televisyen (kalau boleh waktu puncak!) beri peluang blogger-blogger Malaysia bersuara. Jangan hanya cakap sahaja puan.


Buat doktor, tulisan ini bukanlah satu sindiran. Bagaimanapun doktor tetap guru saya. Saya masih meletakkan hormat pada anda!. Mungkin semester hadapan kita boleh berdiskusi mengenai topik ini. Saya berharap sangat!.

2 comments:

Azree Ariffin said...

hmm setuju sekali dgn pendapat kak hani. penggunaan blog sekarang ini bukan lagi medan untuk mencatat segala luahan perasaan dan aktiviti peribadi kita, tetapi mampu juga membawa satu ideologi dan perjuangan yang besar. penggunaan bahasa yang baik juga penting, terutamanya untuk menjaga kredibiliti bahasa itu sendiri.

apa-pun, suatu nukilan yang begitu menggugah minda. tahniah. : )

Azree Ariffin
http://teratakku.blogdrive.com

hani salwah yaakup said...

Azree,

Ini hanya pendapat seorang orang media. Masih banyak perlu belajar!

Apa-apa pun, terima kasih!