Monday, December 27, 2010

Hujan Disember


Saat hujan itu turun
kulihat jarum halus
melayah turun ke dada bumi
begitu juga cinta
yang menyerang dalam jiwaku

27 Disember 2010
Kajang, Selangor

*Foto dari sini

Thursday, December 23, 2010

Ah, Kasmaran!


Kerana kenangan
yang kau riaskan di jariku
buat aku seringkali termanggu

Adakah ini tandanya
ada rantaian kasmaran
yang ingin kau sematkan
di pergelangan kalbuku pula?

Atau sekadar
rasa sebentar yang datang dan pergi lagi
seperti kidung kangen yang selalu kau nyanyikan
saat aku dipinggir percaya

23 Disember 2010
Kajang, Selangor

*Gambar dari sini

Friday, November 12, 2010

Terbang



Tapi,
kau telah terbang
terbang tinggi,
tinggi nian...

Foto dari sini

Sunday, October 10, 2010

Kuih Goyang Nenek (2)


Sambungan cerpen saya...


Kuih pertama, gigitan pertama. Rangup. Abang Lias mengunyahnya perlahan-lahan. Kemudian mengambil kuih kedua, ketiga dan seterusnya, seterusnya, seterusnya. Setelah itu, Abang Lias diberi gelar penikmat ‘kuih goyang Nenek nombor alif’ oleh semua ahli keluarga. Abang Lias kini sudah tidak malu lagi untuk mengangkat botol kaca nenek hatta sampai ke depan televisyen. Malah lebaran pada tahun-tahun setelah itu, Abang Liaslah yang akan menghubungi Nenek memesan supaya tidak lupa untuk membuat kuih goyang. Nenek hanya senyum dan senyum yang khas itulah selalu meruntuhkan ego sesiapa sahaja.

Tahun-tahun terakhir sebelum Nenek pergi, Nenek masih lagi menyediakan kuih raya untuk kami semua. Meski tiada lagi kuih bahulu gebu dan biskut roda dunia bersalut kelapanya, kuih goyang masih sahaja dibikin Nenek. Tetapi, kali ini kuih goyangnya tidak lagi sebanyak dahulu. Namun dua balang besar itu masih tetap ada. Kehilangan kuih muih buatan Nenek kini diganti dengan kuih muih yang dibeli anak menantu Nenek. Saya sering memuji-muji kuih yang dibeli. Sedap, cantik dan menarik. Waktu itu, saya masih belum belajar dan memahami apa yang disebut rasa dan perasaan yang sebenar. Malah masih dangkal akan erti memberi dan menerima. Anak dan menantu Nenek pula terasa bangga dengan puji-pujian saya.

Nenek seperti biasa tidak berkata apa-apa. Meskipun dia berterima kasih kepada anak menantunya, namun lewat binar mata tuanya saya tahu dia cukup terkilan. Terkilan tidak dapat menyediakan kuih muih seperti biasa untuk santapan ahli keluarga. Kudratnya tidak mampu bertahan lama untuk ini semua lagi. Dia pasrah dan menikmati sahaja lebaran dengan kepulangan anak menantunya yang disayangi. Namun saya mengerti, ada yang kehilangan dalam diri Nenek. Aduh, kenapa saya tidak cukup matang untuk memahaminya saat itu?

Tahun berikutnya Nenek sudah tidak berdaya langsung untuk bangkit daripada pembaringan. Ramadhan tahun berkenaan, doktor telah mengesahkan nenek menghidap kanser tulang belakang tahap empat. Nenek sudah tidak berdaya untuk bersuara. Tugas membuat kuih pula sudah pun diserahkan kepada pembantu rumah yang dibayar untuk menjaga nenek. Kuih muih kali ini sudah hilang langsung ‘rasa’. Nenek yang disuakan kuih berkenaan hanya berladung air mata. Selaku cucu yang paling hampir, saya faham bahasa Nenek. Bentuk kuih tidak mengikut aturan dan yang lebih penting, kuih itu tidak hadir dari hati yang penuh rasa kasih sayang. Kemek dan kelopaknya tidak terbentuk cantik. Namun yang lebih meretakkan hati nenek adalah, kuih berkenaan bukan hasil air tangan Nenek. Nenek kecewa.

Nenek kembali pada minggu kedua syawal saat matahari malu-malu berselindung dibawah lapis deru pagi. Setelah itu, tiada lagi kuih goyang buatan Nenek yang mewarnai syawal kami. Malah, kami pula seakan-akan ingin melupakan kuih goyang Nenek sepertimana kami sering menghalau rasa yang terdetik mengenai kerinduan terhadapnya yang membibit dalam naluri sendiri. Mungkin kesakitan kehilangan itu yang cuba kami tabirkan barangkali.

“Termenung ingatkan siapa tu Lia?”. Teguran Kak Ainul mengejutkan saya. Kembali memakai semula mahkota kejernihan fikiran.

“Terkenangkan arwah Nenek, Kak Ainul,” jawab saya pendek.

“Kak Ainul pun teringatkan arwah akhir-akhir ramadhan ni. Rindu,”.

Pengakuan ikhlas Kak Ainul benar-benar mengujakan saya. Jarang benar sejak akhir-akhir ini ahli keluarga saya mahu mengaku terkenangkan Nenek.

Jeda.

Masing-masing melayan lagu sayu yang dipetik gitar hati. Saya memerhati piring yang sebenar tadi terletak ‘karya’ Kak Ainul.

“Eh, mana ‘masterpiece’ Kak Ainul tadi,” tanya saya hairan.

Kak Ainul tertawa lucu.

“Haha. Keras-keras pun habis dimakan Abang Azri lepas pulang terawih tadi. Katanya sedap,”.

Ada senyum paling manis menghias ulas bibir Kak Ainul. Senyum kepuasan yang pernah saya lihat diwajah nenek suatu ketika dahulu. Memberi pada yang terkasih sebuah tanda hati yang tepu dengan rasa sayang.

“Kak Ainul, tahun ni kita buat kuih goyang nak?,”

“Nak!,” sambut Kak Ainul bersemangat.

Ada kangen yang menyalut kebahagiaan ini. Terselit pula senyum Nenek yang paling manis diantaranya. Syawal ini kuih goyang warisan Nenek bakal mengubati segala kenangan yang bertakhta di atma. Ada aura dan hati Nenek yang datang memberi rasa. Selamat pulang wahai kerinduan pada Nenek yang kami kasih. Meski pada sebuah ingatan dalam sekeping kuih goyang. Mata saya bertakung sendunya.


Gambar dari sini

Saturday, October 09, 2010

Kuih Goyang Nenek (1)


Akhirnya setelah hampir setahun tidak menerbitkan atau menghantar karya ke mana-mana penerbitan, cerpen saya yang bertajuk "Kuih Goyang Nenek" diterbitkan pada 26 September 2010 di Berita Minggu. Saya perturunkan bahagian pertama cerpen ini setelah ramai (ramai ke?) yang mahu membaca cerpen ini. Insyallah bahagian keduanya akan saya terbitkan nanti :)



Kuih Goyang Nenek

Oleh Hani Salwah Yaakup

http://haniesalwah.blogspot.com

“Meski kuih ini keras, ia diperbuat dengan rasa kasih sayang”

Begitulah kata-kata Abang Azri yang menyentuh hati saya. Meskipun sepetang itu saya dan Kak Ainul tertawa melihat hasil ‘karya’ Kak Ainul yang keras dan besar-besar. Tidak langsung mengikut spesifikasi pembuatan kuih yang sepatutnya. Hendak dikatakan seperti kuih telunjuk—gelar kepada kuih muih yang dibeli—memang jauh panggang daripada api malah Kak Ainul juga bukanlah gerau profesional. Tambah-tambah pula Kak Ainul memang jarang sekali mencipta ‘karya-karya’ berkaitan biskut, kek dan pastri. Bukan seperti Kak Masitah, yang memang jagoan dalam pembuatan kek dan pastri. Betapa penghargaan dan kata pujian yang ikhlas daripada Abang Azri mengujakan bukan sahaja Kak Ainul tetapi, saya sendiri.

Kuih yang dibuat Kak Ainul tidaklah seteruk mana. Sedap, manis tetapi cuma sedikit keras sahaja. Masih boleh dimakan dan diterima tekak. Benarlah kata seorang teman, kuih yang dibeli dikedai meski cantik, sedap dan sempurna tetapi, masih ada kekurangannya disana sini. Teman itu menambah, kuih hasil sendiri walaupun tidak cantik, dibakar tidak sekata, terhangus, bentuknya tidak sempurna tetapi, masih ada ‘rasa’ yang sering hilang dalam kuih muih yang dibeli. Rasa itu adalah kasih sayang yang dialirkan melalui air tangan si pembuatnya.

Pada mulanya saya hanya tersenyum dan sesekali mengejek teman berkenaan kerana saya menganggap ayat itu adalah sekadar ayat ‘pujuk diri’ kerana kuih muihnya tidaklah secantik mana. Ketika membuat kesimpulan yang sebegitu, umur masih lagi hijau dan tidak mengerti sebarang falsafah yang terselit disebaliknya. Pujian Abang Azri membuatkan saya benar-benar teruja dan berfikir. Oh, inilah dia resepi kebahagian dan rasa cinta yang tidak pernah putus dalam hati seseorang individu kepada individu yang lain.

Pujian Abang Azri juga mengingatkan saya pada arwah Nenek. Saat-saat lebaran kian mendekat, gumpalan-gumplan ingatan padanya terus sahaja mengapung dalam cepu minda. Malah rindu yang berbuku-buku di kalbu ini bukan hanya pada ramahnya senyum dan bahagia pelukan arwah. Lebih daripada itu saya rasa ‘kehilangan’. Kehilangan ‘rasa’ dalam sekeping kuih goyang mahakarya arwah Nenek. Inilah dia ingatan yang sukar untuk dilupakan oleh sukma jiwa. Mungkin anda akan mentertawakan saya. Tidak kalah juga yang bakal menyatakan saya terlalu emosional dengan rasa yang bukan-bukan. Anda belum tahu rahsia kuih goyang Nenek. Maka, inilah ceritera sebuah bahagia melalui sekeping kuih buatan ikhlas daripada hati.

Kuih goyang yang terdiri daripada adunan paling mudah ini bukanlah kuih mahal seperti yang dibeli dikedai, penuh dengan mentega dan marjerin, pewarna dan perhiasan tambahan. Warnanya hanya keperang-perangan dengan corak bunga mawar berkelopak dua belas. Tiada apa pun yang terlihat canggih dan cantik menerusi kuih buatan Nenek ini. Malah adunannya pun bukanlah renyah dan rumit. Tepung beras, telur, santan, gula dan esen vanilla. Tidak perlu bersesak-sesak ke pasar raya ataupun merasa radang dan kecewa andai bahan yang diperlukan dalam menyiapkan kuih tidak dijual atau sudah kehabisan stok. Namun, oleh kerana kebiasaan inilah justeru itulah dia luar biasanya kuih goyang buatan Nenek.

Dengan daya tuanya yang tidak seberapa, saya selalu kagum melihat Nenek mampu menyiapkan pelbagai aneka kuih untuk hidangan sempena lebaran. Daripada kuih bahulu yang tiada tolok banding kegebuannya, biskut roda dunia yang bersalut kelapa sehinggalah kuih goyang yang garing pasti akan tersedia disusun cantik dalam botol kaca bertutup merah muda di atas kabinet dapur rumah Nenek. Jumlah ini meski terlihat sikit bilangan jenisnya, namun sebotol kuih sahaja sama dengan saiz botol biskut kati yang dijual dikedai. Aduh, keampuhan tenaganya luar biasa. Hanya untuk menyediakan juadah buat kami leluhurnya ini.

Nenek kebiasaannya telah mula membuat kuih goyang sedikit demi sedikit daripada akhir minggu ketiga ramadhan. Jumlah kuih goyang yang banyak menyebabkan Nenek terpaksa membuatnya berdikit-dikit. Mana tidaknya, selain untuk dijadikan hidangan sempena 1 syawal, persediaan untuk membekalkan anak menantu Nenek perlu juga diambil kira. Nenek mahu anak menantu Nenek tidak perlu bersusah payah membeli kuih muih dan menyediakan hidangan lain untuk diberikan kepada tetamu mereka. Juga sebagai tanda kasih daripada seorang ibu yang senantiasa mengasihi keluarganya.

Bertahun-tahun menyediakan kuih ini telah menjadikan Nenek mahir dalam membentuk kelopak bunga yang cantik dan sempurna. Beberapa kali juga saya membantu Nenek untuk menghasilkan kuih goyang. Nenek hanya tertawa melihat kelopak bunga saya selalu sahaja tidak sekata besarnya ataupun terkemek ketika digoreng. Namun, Nenek tidak pula pernah memarahi saya atau melarang saya untuk membuat kuih berkenaan. Kata Nenek, tanpa kesalahan saya tidak akan pernah belajar. Kemudian nenek tersenyum. Walaupun Nenek tidak pernah berang, akhirnya saya yang mengalah kerana tidak mahu hasil ‘karya’ Nenek yang satu ini kelihatan tidak menarik dan aneh dihidang nanti. Lalu, saya ‘angkat kaki’ dan membantu Nenek dalam urusan-urusan lain. Seperti Kak Ainul, saya juga tidak begitu berbakat dalam menyediakan kuih-muih.

Kuih goyang nenek ini seringkali menjadi jalan tengah dalam menyatukan dua hati yang sering sahaja bertelagah, tidak dapat berunding ataupun payah untuk disatukan. Saya masih teringat pada kisah di suatu lebaran. Abang Azri dan Kak Ainul bertelagah gara-gara mahu semua ahli keluarga mendengar cadangan mereka untuk menu makan tengah hari. Abang Azri mahu memasak mee goreng sahaja kerana semua sudah lapar dan hidangan ini yang nampaknya paling mudah dan cepat dimasak dalam masa yang singkat. Manakala Kak Ainul pula berdegil supaya Abang Azri menunggu nasi briyani yang ada diatas dapur benar-benar masak. Kak Ainul degil. Abang Azri pun degil. Mereka tidak bertegur sapa dan memasak juga kedua-dua hidangan. Perkara ini berlanjut sampai ke petang. Tiada siapa yang berani meleraikan. Kekusutan itu boleh merebak parah jika ada yang pandai-pandai memberi usul.

Nenek perlahan-lahan mengembangkan teh dan menyorongkan secangkir kepada Kak Ainul dan secangkir lagi kepada Abang Azri bersama sepiring kuih goyang. Kedua-duanya yang pada permulaan enggan memandang satu sama lain, akhirnya mengangkat muka, tersengih dan mengakui kebodohan tindakan yang mereka ambil. Kakak dan abang ipar saya akhirnya kembali seperti biasa. Oh, itulah dia kerana kuih goyang, hati yang hampir retak dan ikatan perasaan yang sedikit tergelincir kembali semula ke landasan yang benar.

Saya juga teringat akan raya pertama Kak Masitah setelah berkahwin dengan Abang Lias. Abang Lias merupakan orang kota dan tidak pernah merasai kuih goyang. Malah Abang Lias enggan mencuba kenikmatan kuih goyang pada mulanya. Entah apa yang menakutkan Abang Lias, tidaklah saya ketahui. Mungkin kerana kuih goyang Nenek tidak kelihatan menarik dan trendy atau dirasakan kurang sedap. Nenek hanya tersenyum bila mendengar aduan Kak Masitah mengenai sikap suaminya. Melihatkan senyuman Nenek yang khas atau merasa takut menyinggung hati Nenek, Abang Lias akur mencuba kuih berkenaan.

(bersambung...)

Gambar dari sini

Friday, September 17, 2010

Kado Untuk Sambutan Usia Baharu

Terima kasih untuk ucapan yang dihulurkan sempena ulang tahun kelahiran saya pada tanggal 15 September 2010 yang telah lalu. Tidak kiralah sama ada ucapan itu disampaikan lewat emel, laman sosial Facebook, SMS ataupun disini. Sesungguhnya ucapan anda itu sangat saya hargai dan membawa kebahagiaan dalam caranya yang tersendiri kepada saya. Hendaknya segala doa itu bukan sahaja dimakbulkan Allah SWT kepada saya sahaja tetapi, kepada anda yang turut sama mengirim doa. Insyallah begitulah hendaknya.

Sejak beberapa tahun ini saya gemar sekali menghadihi diri dengan kado daripada diri. Seperti selalu, hadiah yang paling saya gemari adalah buku. Tahun ini kedai buku pilihan adalah Koperasi DBP di Dewan Bahasa Pustaka, Kuala Lumpur. Terima kasih kepada bonda yang telah memberi hadiah berbentuk belanja untuk membeli buku dan terima kasih juga untuk Kak Malissa Ab Malik yang bermurah hati memberi potongan harga yang banyak sebagai hadiah hari lahir saya. Aduh, senang sekali!

Inilah hasil 'tangkapan' saya tempohari setelah hampir dua jam berkelintar seluruh koperasi berkenaan. Janganlah dipandang pada harga dan bukunya. Yang penting, saya gembira! :)

P/S: Mas Roslan Jomel, kapan boleh dapat autografnya ya?

Thursday, September 09, 2010

Salam Lebaran

Ini adalah gambar lebaran yang paling saya gemari!


Aduh, ramadhan yang mampir rupanya sudah pun tiba ke hujungnya. Terasa sekejap benar menyentuh kasihnya ramadhan. Namun, syawal tidak juga harus kita lupakan. Sempena lebaran ini izinkan saya dengan rendah jiwa memohon ampun dan maaf kepada semua pembaca blog saya. Maaf andai ada kata yang memeritkan, menggundahkan ataupun ada jiwa-jiwa yang terhiris dengannya. Saya hanyalah hambaNYA yang kerdil dan tidak pernah sempurna sifatnya. Harap dengan terhapusnya segala galau dan salah ini dapatlah kita meneruskan hari-hari dengan lebih cemerlang. Semoga kebahagiaan itu menyelimuti kita dengan gebar rasanya.

Selamat Hari Lebaran, Minal Aidil Wal Faizin. Maaf lahir dan batin :)

Friday, August 27, 2010

Teruskanlah

Biar Agnes yang menyampaikan pesan dan rasa. Saya sudah terlalu lelah untuk berbicara.

Tuesday, August 24, 2010

Kangen (II)


Aku harap Tuhan
mendengar dan menjawap
rasa yang membuku dikalbuku;
betapa aku terlalu kangen kamu!

Hani Salwah Yaakup
Kajang, Selangor
24 Ogos 2010

Monday, August 23, 2010

Penghargaan


Setelah berfikir panjang, izinkan saya menempelkan semula halaman penghargaan yang telah saya sertakan dalam tesis sarjana saya. Tidak semua dapat membaca tesis berkenaan lalu, elok jugalah kalau saya panjangkan penghargaan dan besar hati atas pertolongan mereka yang telah memudahkan penulisan tesis ini. Terima kasih semua.


PENGHARGAAN

Perjalanan seribu batu bermula dengan langkah pertama. Syukur alhamdulilah akhirnya perjalanan saya untuk menyudahkan tesis tiba juga pada langkah yang akhir. Semua rasa yang saya miliki kini saya pulangkan semula kepada Dia, Allah SWT. TanpaNYA, perkara ini tidaklah semudah yang disangka. Seterusnya saya juga ingin berterima kasih kepada penyelia saya, Prof Madya Dr Faridah Ibrahim yang senantiasa memberi ingatan, tips dan dorongan untuk saya melihat jalur perjalanan ini dengan lebih jelas. Buat Prof Madya Dr Mus Chairil Samani yang sering prihatin dengan perjalanan penulisan tesis saya.


Para pensyarah di Pusat Pengajian Media dan Komunikasi (MENTION), UKM terutama kepada Prof Dr Samsudin A Rahim, Prof Dr Safar Mohd Hasim, Prof Madya Dr Latiffah Pawanteh, Prof Madya Dr Asiah Sarji, Prof Madya Fuziah Kartini Hassan Basri dan Dr Normah Mustaffa—terima kasih untuk ilmu yang dicurahkan sepanjang keberadaan saya disini. Kedua ibu bapa, Hj Yaakup B Maakip & Hjh Jaharah Mohd Yusof yang sering memberi dorongan, sokongan dan kasih sayang tidak bertepi. Keluarga yang menyokong. Buat Jay, yang senantiasa memberi nasihat, semangat dan pandangan. Juga teman baik saya, Nur Firdaus Abdul Rahim di BERNAMA yang sering memberi idea-idea yang pelbagai. Terima kasih semuanya.


Tidak dilupakan juga kepada pihak Penyelidikan dan Pembangunan Perbadanan Kemajuan Perfileman Nasional Malaysia (FINAS) yang membenarkan saya menggunakan perpustakaan dan juga mengizinkan salinan bahan-bahan yang saya perlukan. Terima kasih banyak. Terima kasih ini dipanjangkan lagi kepada karyawan filem, penulis dan wartawan yang telah sudi berkongsi pengalaman dan ilmu untuk saya menyudahkan penulisan tesis ini dengan lebih mudah. Terima kasih kepada Encik A Wahab Hamzah, Encik Ku Seman Ku Hussin, Encik Amir Muhammad, Encik Akmal Abdullah dan juga Puan Sujiah Salleh.


Tidak dilupakan juga teman-teman alumni Minggu Penulis Remaja (MPR) khususnya Ainunl Muaiyanah, Azizul Ikhwan, Nabiha Mashut, Nissa’ Yusof, Azree Ariffin, Aidil Khalid, Nasriah Abdul Salam dan Rasyidah Othman yang tidak lelah berkongsi pandangan. Teman-teman di Universiti Putra Malaysia (UPM), Masitah Saini yang membantu dalam pencarian bahan bacaan. Terima kasih juga buat teman-teman sekuliah di UKM terutama Melly Ridaryanthi, Rizky Hafiz Chaniago, Nor Idahyah dan Wulan Widyasari. Akhir sekali untuk semua yang terlibat secara langsung ataupun tidak dalam pengumpulan maklumat dalam memudahkan penulisan tesis ini.


Sungguh melati senang dipetik,

Harumnya masyhur seluruh alam,

Sungguhpun budi hanya setitik,

Langit dan bumi ada di dalam.


Hani Salwah Yaakup

Kajang, Selangor.

http://haniesalwah.blogspot.com.