Menjelang umur pertengahan 20an ini, baharulah saya fahami permasalahan yang sering dihadapi wanita sebaya. Mempunyai kelulusan yang tinggi, moden, berfikiran luas dan bercita-cita tinggi itu memang memerlukan suatu daya tahan dalam diri wanita muda dan masih sendiri seperti saya. Terutamanya dalam hal yang berkaitan dengan menukar panggilan diri dihadapan nama. Permasalahan nombor alif yang menjadikan seorang ibu kepada wanita sebaya saya sering pening kepala dan takut sendiri.
Seorang ibu itu memang lumrah untuk melihat anakandanya yang perempuan ini terbela nasibnya. Diserahkan kepada tangan yang mampu diandalkan perjalanan hidup anakandanya itu sebelum dia menutup mata. Setidak-tidaknya segala tanggungjawab itu sudah diselesaikan dan tidak berhutang pada Si Penjaga Alam ini. Begitulah kemungkinan yang bermain dalam cepu hati seorang ibu saya kira.
Namun, bagi anakandanya itu, menamatkan status diri bukan perjalanan yang mudah. Bukan boleh dibuat semacam memetik jari. Ini berkaitan menyerahkan hidupnya kepada orang lain. Untuk sama-sama berkongsi riang, bertegang urat dalam perkelahian dan meminjam bahu untuk mengesat si ayer mata dikala duka menyapa. Bukan keputusan enteng.
Menjadi wanita berpendidikan, moden, bercita-cita tinggi dan mempunyai perancangan tertentu dalam hidup juga memerlukan seseorang yang memahami, senantiasa menyokong dan menjadi cerucuk semangat. Menyintainya tanpa sebab dan menerimanya seperti apa adanya.
Jadi, orang yang sebegitu bukanlah boleh didapatkan dalam masa yang singkat. Memahami dan mengenali hati budi itu memerlukan masa yang bukan kepalang sebentar. Kadang-kadang untuk menemuinya juga perlu berjalan jauh sekali.
Bukan ketampanan wajah menjadi isu, bukan juga soal harta yang bertumpuk-tumpuk didalam peti. Inilah soal mencari belahan hati untuk berkongsi hati, untuk sehidup semati.
Dikalangan teman-teman penulis kini, ada semacam kesatuan hati sehingga kami terlalu sering mengungkapkan puisi ini berulang-ulang. Mungkin refleksi puisi ini tepat sekali menjadi cerminan pada setiap apa yang mereka lalui (barangkali...saya hanya menebak!).
Sebenarnya puisi ini pertama kali menjentik emosi dan menyihir kekaguman saya apabila membacanya buat pertama kali dalam cerpen "Apa Kaufikir..." karya Hj Faisal Tehrani, Dewan Sastera, Ogos 2001. Semenjak itu karya-karya Chairil Anwar semakin mendapat tempat tersendiri dalam daerah hati. Untuk mereka yang pertama kali membacanya, marilah menghayatinya. Buat mereka yang sudah berkali-kali membacanya (malah sudah disihirnya), marilah menikmatinya lagi.
Tak Sepadan
Aku kira: Beginilah nanti jadinya Kau kawin, beranak dan berbahagia Sedang aku mengembara serupa Ahasveros
Dikutuk-sumpahi Eros Aku merangkaki dinding buta Tak satu juga pintu terbuka
Jadi baik kita padami Unggunan api ini Kerana kau tidak akan apa-apa Aku terpanggang tinggal rangka
Februari 1943
Chairil Anwar (Kumpulan Puisi "Aku Ini Bintang Jalang")
Kredit gambar http://uzar.files.wordpress.com/2009/03/another_brick_in_the_wall.jpg
Kelip-kelip disangka api, Kalau api mana puntungnya, Hilang ghaib disangka mati, Kalau mati mana kuburnya?
(Pantun Melayu)
Foto kredit kepada https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEgt3DQVlvosFVn5iUHrbDeAn6t3sH_CbCjEOj1qNoO7a8EVx7xMNXlfbdD2wX9SwW5HTW2cgj9ohbFoh1r0IaZ8pQd0Cqn1tNGnGnf1q33A7GfP6mq2lPmoo9C6uMdFmheySuEgpQ/s400/synchronized-fireflies.jpg