Sebenarnya sudah patut benar catatan yang berdebu dibawah diganti baharu. Cuma selain banyak sekali acara rasmi dan non rasmi, pembacaan yang banyak sempena libur panjang pengajian, wisata ke negara orang, saya dilanda penyakit "malas" yang tidak mahu kebah-kebah. Akhirnya saya ambil keputusan untuk keluar dari rumah dan membawa buku catatan digital (notebook la tu) ini ke sebuah tempat sambil mencicip kopi yang enak. Barangkali, untuk mendapat mood selain perlukan tempat baharu yang selesa dan nyaman, saya perlukan kopi!.
Baiklah izinkan saya berbicara mengenai pengalaman yang telah saya kutip sepanjang ke Jawa Barat pekan lalu. Untuk informasi, ini adalah kali pertama saya ke Jawa Barat. Lebih khusus ke Bandung. Pernah ke Jakarta, ibu negara Islam terbesar di Asia itu. Namun, secara jujur, Jakarta sering buat saya tidak pernah "nyaman". Jakarta bukanlah tempat untuk anda berwisata. Namun, Jakarta menghidangkan sebuah rasa yang berbeza. Rasa yang pas (sesuai) untuk bahan penceritaan (wah gitu!).
Hotel Sukajadi, Jalan Sukajadi, Bandung
Turun dari pesawat yang kami tumpangi dari LCCT di Bandung, saya tertarik dengan nama lapangan terbang berkenaan. Bandara Husein Sastranegara, itulah nama Bandara (bandar udara) di Bandung. Lapangan terbangnya kecil tapi, lebih molek jika dibandingkan dengan Bandara Soekarno Hatta di Jakarta. Mungkin kerana bandara ini lebih kecil dan hanya disinggahi oleh tidak sampai 5 jenis syarikat penerbangan pun.
Pada hemat saya, lapangan terbang Langkawi pun lebih besar dan gah daripada bandara ini. Cuma namanya seronok banget didengar kerana kemungkinan ada sasteranya disitu. Saya juga tidak pasti siapa Husein (yang pasti tiada kena mengena dengan "Bertemu Pakcik Husin"). Mungkin sahaja nama tokoh sastera disitu ataupun tidak ada kena mengena langsung dengan sastera. Cuba bayangkan mana-mana lapangan terbang di Malaysia menggunakan nama sasterawan negara sebagai nama lapangan terbangnya. Entah-entah mungkin ada yang bertanya nama siapa ini, tidak pernah dengar pun? Saya tidak hairan kerana pernah calon jabatan penulisan sebuah IPTA menjawab terdapat 100 orang Sasterawan Negara di Malaysia. Salah seorangnya adalah Tiara Jacquelina. Hehe.
Tiba sahaja, supir merangkap pemandu pelancong kami, Agus, sudah siap siaga memegang kartu tercatat nama kami sekeluarga. Saya ketawa sendiri. Selama ini selalu lihat orang di lapangan terbang dengan nama-nama begitu. Kali ini giliran diri kita pula ditunggu oleh orang yang seumpama itu. Hai...kelakar. Macam VIP pun ada juga.
Setelah itu, Agus terus sahaja membawa kami menikmati makan siang di rumah makan masakan Padang, Restoran Serdahana. Nama sahaja serdahana tetapi, hidangannya lumayan mewah saya kira. Biasalah kalau makan makanan padang. Sekian banyak hidangan dihidangkan. Tinggal cuci tangan dan makan sahaja. Yang saya perasan jika anda makan di mana-mana rumah makan di Indonesia, setiap hidangan itu akan datang bersama segelas air teh. Mungkin sudah jadi adat mereka makan agaknya disulami air teh. Juga tidak hairan kalau "Teh Botol Sostro" lebih popular daripada Coke di Indonesia.
Disebelah petang pula, Agus membawa kami ke Jalan Riau untuk berbelanja di Factory Outlet yang bisa bikin kantung kering. Setelah itu ke Paris Van Java, sebuah pusat membeli belah terbuka untuk ke toko Gramedia pula. Seperti biasa kalau ke Gramedia, saya akan naik sinting melihat pelbagai koleksi buku. Cuma di Paris Van Java koleksinya lebih sedikit jika dibanding dengan toko Gramedia cabang Jalan Palmerah di Jakarta.
Sebelah malamnya pula makan malam di rumah makan masakan Sunda, Pak Chi Met. Restoran milik seorang ahli perniagaan Cina. Namun, jangan khuatir dari tukang masak sehingga ke pekerjanya semua orang Sunda Islam. Hidangan malam itu adalah yang berbeza dan enak sepanjang wisata itu. Ada ikan, cumi (sotong) dan udang bakar. Ikannya anda boleh pilih sama ada mahukan ikan garumi (kaloi) atau ikan bawal. Hidangan makanan laut bakar ini rasa berlainan dengan rasa makanan laut bakar di Melaka misalnya. Makanan laut bakar ini terasa manis tapi, sedap.
Hari kedua, kami ke tempat wajib semua para wisatawan, Gunung Tangkuban Perahu. Gunung ini sangat terkenal dengan kisah Sangkuriangnya. Tangkuban itu bermaksud terbalik. Kononnya gunung ini terhasil apabila Sangkuriang menyepak perahu kerana marah setelah mengetahui bahawa Dayang Sumbi itu adalah emaknya. Itu mitosnya. Realitinya, gunung ini sangat indah. Apa yang tidak indahnya adalah bau belerang seperti telur busuk yang membuatkan tekak terasa perit dan diserbu sekian ramai penjual cenderamata. Mereka ini mengikut sahaja kemana-mana anda pergi. Kadang-kadang sehingga tidak tertahankan.
Usai itu, kami ke Pasar Baru yang tiada dalam aturcara lawatan. Agus kata "wisata kan sepatutnya lebih fleksibel untuk wisatawan". Jadi, Agus bawa sahaja kami kemana-mana yang kami suka. Maka, kami ke tempat-tempat yang kami mahu pergilah.
Sempat Agus membawa ayah ke tempat mendapat barangan mesin jahit. Untuk informasi, bapa saya seorang pembaik mesin jahit dan pembekal barang-barangan seumpama itu. Setelah pencen, perniagaan itulah yang menyara kami.
Malah Agus juga membawa saya ke Jalan Palasari. Sempat jugalah membeli beberapa buah buku. Buku titipan rakan-rakan juga saya dapati disana. Harga yang ditawarkan jauh lebih murah jika dibandingkan dengan Gramedia. Terasa menyesal pula membeli buku di Gramedia. Namun, apa yang agak menyedihkan jika dahulu koleksi buku-buku langka dan lama masih terdapat disini. Tetapi, setelah mengalami kebakaran kata peniaga disitu, buku-buku berkenaan sudah agak payah untuk didapati kini.
Tukang Beca Berkaus Oren: Ceritain men, gimana cara lho dapatin uang iseng aja
Tukang Beca Bertopi: Loh...seneng banget. Cuma isapin rokoknya hingga ujung
7 Titik?
Setelah itu kami ke Factory Outlet di Jalan Dago iaitu di Cascade dan kemudian ke Rumah Mode. Mungkin sudah tidak bertemu dengan apa yang kami mahukan disitu, akhirnya kami pulang sahaja dan menikmati makan malam di Rumah Makan, Dapur Sangkuriang. Agus sempat berseloroh. Katanya, "Siang ke Gunungnya, malam makan didapurnya pula,".
Makanan Sunda sekali lagi dihidangkan malam itu. Ada sup ikan, garumi goreng pedas, ayam goreng, tempe goreng, cumi masak masam manis dan sambal belacan. Sesungguhnya saya tidak suka sup ikan. Tetapi, malam itu saya boleh menghirup (walaupun tidak habis) sup ikan itu. Tidak hanyir dan rasanya enak. Ketika sedang enak menikmati hidangan itulah, pelayan restoran berkenaan menyuakan dodol nenas untuk dirasai dan CD lagu tradisional Sunda yang sedang melatari suasana restoran.
Kami yang kekenyangan di depan Dapur Sankuriang
Cuma yang buat saya ketawa, "CD Rossa juga ada mbak,". Mulanya saya hairan. Namun setelah Agus memberitahu ramai orang Malaysia ke mari mencari CD Rossa, saya tertawa.
Patutlah Agus bertanya CD apa saya beli ketika ke Toko Duta Suara di Paris Van Java.
Walaupun wisata ini hanya berdurasi 3 hari 2 malam tetapi, sudah cukup untuk kami sekeluarga. Insyallah akan kembali lagi ke tanah yang hawanya dingin, nyaman dan tempat belanjanya murah-murah.
Kencangkan sabuk pengaman
Hatur Nuhun (Selamat Tinggal)