Friday, January 30, 2009

Setelah Setahun Berlalu...

Saya masih ingat Allahyarham pernah berkata pada saya suatu ketika dahulu bahawa hidup menjadi perempuan di zaman ini cukup sulit. Walaupun Allahyarham tidak memberi sebarang nasihat tapi saya cukup faham akan maksud tersirat kata-katanya itu.

Hari ini sudah cukup setahun Allahyarham pergi meninggalkan kita. Semoga Allah mencucuri rahmat kepada roh Allahyarham Rosli Khamis atau Loloq.

Al-Fatihah!

p/s: Bila saya dengarkan lagu Apokalips, pasti saya teringatkan pesan Allahyarham.


Apokalips
1 2 3 Do Re Mi
Apa nak jadi
Alif Bata A B C
Apa nak jadi
Akan terjadi
Hujan pasti berhenti

Ada masanya aku suka berteman
Ada masanya aku suka bersendiri
Ada masanya aku suka berjalan
Ada masanya aku suka berehat

Ada masanya engkau suka berteman
Ada masanya engkau suka bersendiri
Ada masanya engkau suka berjalan
Ada masanya engkau suka apa yang ku suka

Hidup dan nasib roler koster
Susah dan senang bersilih ganti
Bila-bila boleh naik dan turun
Apokalips

1 2 3 Do Re Mi
Apa nak jadi
Alif Bata A B C
Apa nak jadi
Akan terjadi
Hujan pasti berhenti

Ada masanya kita suka berteman
Ada masanya kita suka bersendiri
Ada masanya kita suka berjalan
Ada masanya kita suka apa yang ku suka

Thursday, January 29, 2009

Belangsukawa Arena Wati

Allahyarham SN Arena Wati

Saya tahu catatan ini sudah terlambat. Namun, sebagai salah seorang individu yang mengaku mengagumi karya-karya Allahyarham, saya merasa bertanggungjawab dan terpanggil meninggalkan sedikit catatan mengenai Allahyarham.

Sejujurnya, rasa "jatuh cinta" pada karya Allahyarham Pak Arena Wati hanya timbul setelah saya kembali semula "bermesra" dengan dunia kesusteraan ini. Saya hadami dan menyudahkan novel "Sakura Mengorak Kelopak" yang sudah lama terperuk di kutub kanah peribadi saya di rumah. Kemudian, semacam perasaan puas menjelma dalam sanubari. Tanpa berlengah, saya cukupkan koleksi trilogi yang terlalu berharga itu. Terima kasih untuk Nasriah Abdul Salam yang sudi memberi dan mencari novel "Bunga Dari Kuburan" sempena hari lahir saya tempohari.


Sedari itu, kecintaan ini semakin menebal pada karya-karya Allahyarham Pak Arena. Saya sanggup menabung dan berhabis hanya untuk buku-buku Allahyarham. Karya-karya Allahyarham sangat teliti penyusunan cerita, plot malah saspens yang ingin dikongsikan dengan pembaca. Umpamanya dalam trilogi Armageddon kesemua elemen ini bagaikan bersepadu dan tidak dapat saya nafikan saya hampir-hampir tertipu pada penghujung buku pertamanya; Mandala.


Apabila diberitahu beliau sakit dan terlantar di hospital, Nasriah dan saya adalah antara mereka yang turut bersedih. Masih teringat kata-kata Nasriah, "Baharu sahaja ingin memesrai karya-karya beliau, beliau ditimpa sakit yang begitu rupa". Percakapan dengan Nasriah itu baharu sahaja sebulan yang lalu dan pagi ahad yang lepas, sms daripada Nissa' Yusof dan entri blog Kak Nisah Haron, bagaikan merengut tangkai hati diri ini. Saat itu saya menyalahkan diri apabila tidak sempat bertegur sapa dengan Allahyarham ketika Kongres Sebudaya Serumpun pada akhir tahun 2007 yang lepas.

Sumbangan beliau sangat berharga dalam nuansa sastera tanahair kita ini. Saya akan merindui karya-karya segar dan bersemangat tulisan beliau.

Untuk Allahyarham, selamat belayar ke dunia yang satu lagi. Tenang dan berbahagialah.

Al-Fatihah.

Tuesday, January 20, 2009

Catatan Selepas Dikusi MPR & Anugerah Juara Lagu

Hujung minggu yang padat dengan acara! Itulah kisah hujung minggu lepas buat saya. Seawal hari jumaat saya sudah pun tidak ada dirumah kerana bermalam di rumah Puspanita bersama adik-adik MPR kesayangan saya. Persiapan dikusi yang paling lama, teratur dan seronok!. Maklumlah sudah beberapa bulan tidak berjumpa, ngobrol dan bergurau senda beramai-ramai.

Bila diberi peluang berjumpa, saya tidak melepaskannya. Tambahan pula, Nasriah tidak dapat untuk hadir memantau adik-adik maka, secara tidak langsung saya rasa saya perlu untuk berada disana. Bukanlah pekara yang menyulitkan pun dan kebetulan kelas pada malam jumaat itu dibatalkan tiba-tiba.

Cuba lihat Zulfazlan (berbaju hijau) & Nimoiz TY. Aduh duh duh...

Malam berkenaan, ada sesi taaruf ketika makan malam berjemaah di Restoran Tupai-Tupai. Almaklum, ada mantan daripada edisi terbaharu dan ada mantan daripada edisi terdahulu yang mungkin sudah atau tidak dikenali mantan-mantan lain. Maka, inilah masa yang paling sesuai untuk berkenal-kenalan dan bertukar-tukar fikiran. Yang mungkin tidak mudah diluputkan dari ruang memori adalah kami memesan makanan dan minuman yang sama sambil makan bersila seramai 14 orang!. Aduh, terasa makan bersama ahli keluarga yang bahagia!

Nasriah & Saya. Kakak-kakak glamour MPR. Hahaha.

Seusai acara makan-makan, kami pulang semula ke Puspanita dan menyudahkan apa-apa sahaja pekerjaan yang masih belum dapat diselesaikan. Sempat juga bermesyuarat memberi taklimat perjalanan program dan adik-adik yang membawa karya bersama berkongsi pula dengan teman-teman selain untuk mendapat tunjuk ajar mantan yang lebih senior. Malah bukan itu sahaja, ada yang baik hati menawarkan diri mengambil teman yang lewat tiba dari Kuantan di Pudu. Tersentuh hati kecil saya.

Terima kasih buat adik-adik yang tidak tidur (Hafiz & Ode) kerana memastikan kami tidak telat bangun pagi itu. Yang paling menyeronokkan sewaktu makan pagi sebelum diskusi, semua turun berbaju warna tema yang telah ditetapkan. Kadang-kadang saya ketawakan diri sendiri mengenai hal berpakaian warna tema ini. Seingat saya idea warna tema ini datangnya daripada saya ketika saya mula bercampur semula dengan geng MPR sewaktu diskusi MPR 2007. Kini, hal ini menjadi seakan wajib jika mantan MPR menghadiri apa-apa sahaja majlis rasmi MPR. Kawan-kawan selepas ini warna apa pula? Hehe!

Adik-adik MPR yang vogue gitu!

Kak Rai pun pagi-pagi sudah menghantar sms ucapan selamat. Agak menyedihkan juga "skandal" yang selalu Mohariz Yaakup kaitkan antara kami tidak dapat untuk ikut serta. Namun, ingatan dan semangat yang diberikan beliau sangat berharga untuk kami semua.

Alhamdulilah, diskusi berjalan lancar dan mudah walaupun, agak telat mula dan berakhir. Sambutan pelajar-pelajar UPM dari FPP (Fakulti Pengajian Pendidikan) sangat memeriahkan majlis. Kehadiran mantan senior, penulis mapan dan aktivis sastera tanahair membuat saya teruja. Maaf kepada semua hadirin andai saya tidak sempat menyapa dan bersalaman.

Pose-pose terlebihhh sudah!

Keesokan, saya ke Anugerah Juara Lagu (AJL) 23. Saya kesana menemani kakak ipar dan abang saya, Mohariz Yaakup yang diberi amanat sebagai juri untuk malam tersebut. Tahun ini nampak gayanya persediaan dan acaranya lebih teratur daripada tahun lepas. Tiada pengawal keselamatan yang garang dan tidak berhati perut, penyambut tetamu serasa diva ataupun ruang parkir yang sempit. Barangkali tahun ini kami diberi layanan istimewa sebagai penonton yang hadir dengan tiket VIP atau keluarga kepada sang juri, itu saya tidak mahu komen apa-apa. Yang penting tahun ini kami tidak dilayan seburuk tahun lalu (walaupun tahun lalu abang saya merupakan salah seorang finalis!).

Baiklah lupakan soal itu. Secara umumnya sebagai penonton, saya puas hati dengan keseluruhan produksi. Bermula dengan taklimat pengurus lantai (floor manager) yang disampaikan melalui video yang sangat mencuit hati dan bersahaja. Satu pendekatan baharu untuk menarik perhatian semua penonton. Memudahkan tugas encik pengurus lantai dan tidak perlu menjerit-jerit menarik perhatian semua hadirin yang beranggaran 15 ribu orang dalam stadium berkenaan.

Pengacara yang serasi bersama dan juga hiburan dalam bentuk jenaka oleh Din Beramboi dan Os ketika berhenti rehat untuk iklan turut mendapat perhatian ramai. Kalau tidak mencuit hati manakan tidak penonton akan bersorak-sorai memanggil nama Os dan Din apabila tiba sahaja waktu rehat.


Kak Ina & Saya di AJL. Tengok belakang kami beribu-ribu manusia!

Mengenai persembahan artis malam itu, secara jujur saya sukakan vokal Faizal Tahir & Aizat. Saya seakan dimagis mendengar suara mereka berdua terutama Faizal. Tidak hairanlah jika mereka ke peringat akhir. Namun, mungkin belum rezeki mereka untuk memenagi hadiah keseluruhan iaitu "Juara Lagu".

Kemenangan sudah ditentukan milik siapa. Keputusan pihak juri pun saya kira baik sekali (saya bukan bias kerana salah seorang juri adalah ahli keluarga sendiri). Jika saya diberi peluang untuk menentukan juara milik siapa, saya rasa semua pun boleh menang. Namun, juri lebih arif dengan pengalaman sekian banyak tahun yang digendong mereka selama bertahun-tahun itu.

Sesungguhnya saya sedari kini, penyanyi, ahli muzik dan penulis lirik kita pun punya taraf tersendiri dan mungkin daripada aspek-aspek tertentu lebih baik dalam banyak hal. Mungkin kerana kekangan tertentu ataupun kecenderungan masyarakat kita yang melihat yang dari luar itu baik sedikit sebanyak membantutkan niat murni mereka dalam melestarikan seni muzik tanahair. Jangan nanti orang luar pula lebih kenal potensi orang seni kita dan kita pula tidak kenal langsung hasil kerja orang kita. Sesekali (kalau tidak boleh selalunya) berilah peluang untuk orang seni kita.


Secara kesimpulannya untuk kedua-dua acara ini;

Biasalah, jika kita punya perasaan karya (baca: dalam apa-apa bidang seni pun) kita sudah cukup baik namun, dimata pengkritik masih ada cacat celanya. Kritikan dan pengiktirafan itu sama penting kerana tanpa kedua-duanya kita akan gagal mengenal pasti dimana dan karya bagaimana yang sepatutnya kita hasilkan.

Terima kasih untuk Dr Mawar Shafie yang telah sudi memberi kritikan, tunjuk ajar dan kesedaran untuk menghasilkan yang terbaik!

Wednesday, January 14, 2009

Puisi Yang Menyentuh


Secara jujur, saya memang tidak arif dalam memilih kata-kata untuk dibentuk menjadi karangan yang disebut puisi. Selama ini jika saya menulis puisi, puisi itu hanya akan kekal dalam buku catatan yang akhirnya berhabuk dalam simpanan. Saya masih ingat ajaran guru-guru puisi yang pernah mengajar saya dalam beberapa kelas formal atau non-formal yang pernah saya ikuti. Nasihat guru-guru alias penyair-penyair ini, puisi adalah pilihan kata-kata terbaik dan bersifat ekonomikal. Oleh kerana, sifatnya yang ekonomikal, perkataan-perkataan yang terlukis dalam sesebuah puisi seharusnya mempunyai semacam roh yang mampu membuat anda seakan dimagis tanpa sedar.

Sememangnya saya 'cemburu' berat pada mereka yang mampu meletakkan saya dalam keindahan dimagis ini. Sebagai contoh, sebuah puisi T Alias Taib (Allahyarham), Pertemuan yang saya mampu ingat dan hafal sejak pertama kali membacanya kira-kira beberapa belas tahun lalu. Kadang-kadang tanpa sedar juga saya mengucapkan puisi itu sendiri-sendiri ketika hati sedang inginkan sesuatu yang indah.

Yang terbaharu, saya sukakan puisi yang dipetik daripada Antologi "100 Puisi Indonesia Terbaik 2008". Bahasanya mudah namun, masih menyentuh diri saya. Saya perturunkan puisinya disini...


Ruang Singgah (Suara Bhisma)
Sitok Sregenge


Sesekali, singgahlah ke ruang sunyi di antara riuh rindu sajakku,
sajak yang menyertaiku dua windu sejak terakhir kali ketatap matamu,

mata yang dihuni gadis pemberang pemberani perentang tali,

tali gendewa gaib--batis cinta dan batas nasib

Singgah, Amba, meski tiada apa.
Hanya sebentang tanah kosong,

tanah yang merengkuh hutan kecil dengan pohon-pohon tua,
pohon-pohon yang menjaga lembah tetap lembab,
selembab pipimu yang menyimpan sungai

Sungai yang berkunjung bersama hujan lalu merantau di musim kemarau,
musim yang membujuk burung-burung seberang bertandang,

burung-burung yang kadang berjingrak di jalan setapak,

jalan yang akan menghantarmu ke ruang sunyi itu


Mungkin kau tak menemukanku di sana,

mungkin aku sedang mencarimu entah di mana

Ingin kutatap sekali lagi manik matamu, kutemu gadis yang dulu,

gadis pemberang pemberani itu, yang kelak menjemputku


2006


Friday, January 09, 2009

Diskusi Karya Mantan MPR Datang Lagi!

Gelagat apabila Mantan MPR bertemu...

Dengan sukacita memaklumkan, Alumni Minggu Penulis Remaja (MPR) akan mengadakan satu majlis Diskusi Karya Mantan MPR, 2009. Anda dipelawa menghadiri majlis tersebut untuk memeriahkan lagi satu majlis wacana ilmiah dan sastera Melayu. TERBUKA UNTUK SEMUA KHALAYAK – PEMBACA, PENELAAH, PEMERHATI, PEMINAT DAN PENCINTA ILMU DAN SASTERA!

Butirannya seperti berikut:
17 Januari 2009 (Sabtu) 8.30 pagi – 12.30 tengah hari Dewan Seminar, Dewan Bahasa dan Pustaka

Anjuran Bersama:
Alumni Minggu Penulis Remaja & Bahagian Pengembangan Sastera Kebangsaan, Dewan Bahasa dan Pustaka

Sesi 1

Karya eceran puisi: dibicarakan oleh Professor Rahman Shaari

Karya-karya yang akan didiskusikan:
1. SESUMPAH – FIRDHAUS HASSAN (Tunas Cipta April 2008)
2. DI TEDUHAN SEBUAH POHON KEMERDEKAAN – NISSA' YUSOF (Mingguan Malaysia)
3. DOA YANG BUNGKAM – AZREE ARIFFIN (Mingguan Malaysia)
4. GURINDAM DAMBAAN INSANI – NOR AFIQAH BINTI MOHD SIDEK (Berita Minggu)
5. PELANGI INDAH DI LANGIT BIRUMU – FARAHANA HUSSEIN (Al-Islam)
6. PENOMAD CINTA – NURUL 'IZZAH ZAINOL (Berita Minggu)
7. HUJAN PAHALA II – ZAKI JOHARI ( Berita Harian)
8. MERINDUIMU – ODE (Berita Minggu)
9. MARSUM RALAT DARIPADA AL-AZIZ – NASRIAH ABDUL SALAM (Mingguan Malaysia)
10. MERDEKAKAN HATIMU – AINUNL MUAIYANAH SULAIMAN (Tunas Cipta)

Karya eceran cerpen: dibicarakan oleh Dr Mawar Shafie

1. GERAI PISANG GORENG ABAH - AINUNL MUAIYANAH SULAIMAN (Tunas Cipta)
2. KERETA PUNYA ANGKARA – AIDIL KHALID (Tunas Cipta)
3. MAHAKARYA SEORANG PIDANA – ZULFAZLAN JUMRAH (Tunas Cipta)
4. SRENGENGE - NAI BOON MEE SARARAKS (Tunas Cipta)
5. INFILTRASI GALAKSI – M.F KENCANA (Tunas Cipta)
6. KERANA AKU BUKAN RABIATUL ADAWIYAH – SAYIDAH MU'IZZAH KAMARUL SHUKRI (Tunas Cipta)
7. SKIZOFRENIA – AZREE HANIFIAH (Tunas Cipta)
8. TUAH DAN KUCING PUTIH – MUHAMAD TARMIZE MOHD NOR (Tunas Cipta)
9. TENGGELAM DALAM KEREDHAAN – NABIHA M. MASHUT (Tunas Cipta)
10. TERIMA KASIH UNTUKMU – HANI SALWAH YAAKUP (Tunas Cipta)
11. BEZA DUA WAJAH – SAPIAH BT DERAHMAN (Antologi Palestin)

Novel BUKAN YANG PERTAMA karya Salina Ibrahim: dibicarakan oleh Dr Rosnah Baharudin

Sesi 2

a) Antologi cerpen KACAK JELITA: dibicarakan oleh Encik S.M.Zakir

b) Kumpulan cerpen ESPRIT DE CORPS karya Nimoiz T.Y: dibicarakan oleh Dr Amida Abd Hamid

c) Kumpulan cerpen UJANA RINDU karya Mohd Ashadi Saiman & Siti Hajar Mohd Zaki: dibicarakan oleh Dr Kamariah Kamaruddin

Sebarang persoalan, boleh ajukan ke emel: aktivitimpr@gmail.com
Atau lawati blog: http://minggupenulisremaja.blogspot.com

p/s: Untuk Mantan MPR, diharap sporting sedikit dengan berpakaian mengikut warna tema iaitu MERAH. Terima kasih!

Monday, January 05, 2009

Bila Perlu Menjawab "Tag"

Saya di "tag" sekali lagi. Kali ini oleh Puan Muda Jauhari. Untuk tahun baharu ini, mari mulakan dengan entri yang gembira.

1. Do you think you "hot"?

Erm...tidak pernah rasa diri "hot" pun. Tetapi, kalau tengah panas sudah tentulah kan? Hehehe!

2. Upload a favourite picture of you:


3. Why Do Like This Picture?

Inilah stesen radio terakhir yang sempat saya bertugas. Sejak bergelar mahasiswa semula, dunia ini yang paling saya paling kangen sekali.

4. When was the last time you ate pizza?

Kali terahir pada 14 Disember 2008. Wah, canggihnya ingatan! Pizza itu dibekalkan kakak saya dari Australia untuk dimakan dalam pesawat. Dia juga yang terkejar-kejar membeli bahan untuk membuat pizza kerana kedai yang kami singgah mahu tutup jam 5 petang. Namun, saya hanya sempat makan setelah mendarat di Kuala Lumpur gara-gara di landa sakit kepala yang amat sangat.

5. The song you listened to?

Erm...banyak sangat. Oklah secara amnya saya suka muzik klasik Melayu tahun 40an-70an. Namun, sekarang sedang gilakan Situasi (Bunkface)--ini pun gara-gara tengok mereka perform live di Malam Mesra MACP-- dan juga Akan Tiba OST Rona Roni Makaroni (Alif OIAM, Amylea).

6. What are you doing right now besides this?

Menolong rakan-rakan MPR dalam suatu projek antologi dan bercadang mahu menonton filem-filem menarik di saluran HBO, StarMovie atau di Cinemax selepas ini.

7. What other names do you prefer besides this?

Saya rasa nama yang sedia ada pun sudah cukup baik. Saya suka bila orang panggil saya dengan "Hani". Cuma keluarga terdekat sahaja yang boleh panggil nama timangan saya "Yani".

New victims to answer this tag:

Nasriah Abdul Salam
Mohariz Yaakup aka Abang Mo
Kak Fazleena "Lighting Could Strike"
Azree Ariffin
Yana " Si Biru Ungu"

8. Who is no 1?

Penulis muda yang semakin harum dalam nuansa sastera tanahair, pembimbing bengkel, penceramah, pelajar sarjana dan teman rapat yang sangat memahami dan mengerti.

9. Who is no 3 having a relationship with?

Seorang pengarah dan pelakon. Dia selalu buat saya teringat akan satu angan-angan saya yang tidak ke mana-mana itu. Hehe!

10. Say something about no 5?

Adik saya yang obses warna ungu, sukakan Ebiet G Ade dan novel-novel Andrea Hirata & Noor Suraya!

11. What about no 4?

Pengerusi Poetry Club IIUM dan pengarah projek terbaharu MPR yang gigih berjuang! Juga seorang penulis puisi yang bahasanya saya suka!

12. Who is number 2?

My Brother, enemy (mati saya kena bunuh lepas ini!) and friend. He is one of the Malaysian promising song writer and lyricist. Nowadays, busy with his little one, Amir Luqman, which I see have great potential to become "Inde Band Guitar Player In The Making". Hehe. Awat desripsi pasal dia saya berbahasa asing pula ni?