Thursday, May 08, 2008

Realiti TV, Pengetahuan Am & Audisi Penyampai Radio

Barangkali rancangan realiti televisyen bukanlah seasing 8 tahun lalu. Keterujaan kita kini kepada rancangan yang sewaktu dengannya juga semakin hari semakin pudar. Jujur kata, saya sebagai penonton alias antara yang mengkaji dunia media kita kini (terutama untuk keperluan sarjana yang saya ikuti) sudah naik muak dengan bentuk dan approach rancangan-rancangan seumpama ini. Rancangan realiti TV stesen ini cari penghibur, stesen TV berbayar yang itu cari penyanyi malah stesen cap Z pun cari pelakon. Semua rancangan realiti yang dipaparkan setiap musim tertumpu mencari bakat untuk meramaikan dunia hiburan tempatan!.

Masyarakat kita yang dahulunya kata semua nyanyian yang boleh kita nikmati di radio sudah cukup enak tiba-tiba, sudah pandai menilai penyanyi kini pithcing larilah, sumbanglah, off tune lah dan bermacam-macam lagi. Dimana masyarakat kita mempelajari semua ini? REALITI TV lah!

Namun dalam kerencaman rancangan realiti televisyen yang dipaparkan media kita, banyak juga antara rancangan bergenre serupa yang menawarkan sesuatu yang "baik" untuk kita semua. Contohnya, rancangan seumpama Project Runaway Malaysia yang sesungguhnya menyediakan platform untuk menunjukkan bakat pereka fesyen muda. Setidak-tidaknya mereka ini dapat mempamerkan kebolehan dan kemahiran masing-masing. Malah beberapa pereka fesyen yang menyertai rancangan ini sudah mula mereka fesyen untuk artis-artis di Malaysia.

Tidaklah saya nafikan ada juga beberapa rancangan realiti yang kurang sesuai dengan masyarakat kita. Keterlaluan dari segi konsep dan caranya untuk kita orang Timur yang ada susilanya yang tersendiri. Memaparkan adegan peluk dan cium yang sememangnya tidak sesuai bagi kita secara terbuka. Untuk menghentikan rancangan seumpama ini kita bukanlah mereka yang punya autoriti bertindak demikian. Jadi, sebagai penonton buatlah pilihan yang tepat dalam menyediakan senarai mesti tonton anda.

Bercerita mengenai rancangan realiti, sebuah rancangan benar-benar mendapat perhatian saya. Selain habuan yang disediakan yang membuatkan sesiapa sahaja mahu, rancangan ini setidak-tidaknya menambahkan ilmu pengetahuan ataupun menajamkan pengetahuan am yang telah sedia terpahat dalam mahkota akal kita.


Teksi di Lebuhraya SILK. Gambar teknik panning yang pening ini diambil untuk subjek fotografi ketika menuntut dalam bidang penyiaran dahulu

Rancangan terbitan Ciku Media Sdn Bhd, iaitu Teksi Tunai agak menarik. Mengandalkan Bob Lokman sebagai pemandu sekaligus pengacara rancangan, menambahkan kepelbagaian approach genre realiti ini. Lewat rancangan ini, pesertanya dipilih secara spontan apabila mereka menahan teksi yang dipandu. Mereka yang menaiki teksi tersebut bukan sahaja tidak perlu membayar sebarang caj perkhidmatan teksi untuk ke destinasi yang ditujui malah, sekiranya penumpang yang berjaya menjawab soalan pengetahuan am yang ditanya akan diberikan wang secara tunai.

Soalan-soalan yang ditanya melalui rancangan ini setidak-tidaknya membuatkan kita mahu sama berfikir apa jawapannya. Tidaklah hanya memberi hiburan mentah dan kadang-kadang plastik!.

Teringat saya akan sindiran salah seorang tenaga pengajar ketika saya di British Council awal tahun 2001. Tenaga pengajar berasal dari England itu membuat komen pelajar Malaysia yang diajarnya rata-ratanya, kurang tahap pengetahuan am masing-masing. Ini jelas juga bila kita lihat gaya peserta Teksi Tunai. Soalan yang sangat am dan sepatutnya tidaklah menjadi hal besar pun hanya dapat dijawab setelah menelefon teman-teman.

Hal yang sama turut berlaku ketika mengikuti audisi di RTM awal bulan lalu. Aduh mak! Bagaimana agaknya mahu jadi penyampai radio yang berilmu dan menyampaikan yang baik-baik jika isu semasa pun kurang tahu?

Sebelum ada yang menghentam saya kelak, biarlah saya mengaku saya tidaklah arif mengenai semua cabang ilmu namun, setidak-tidaknya saya ambil tahu jugalah mengenai apa yang berlaku dalam negara kita. Malah, saya masih belajar dan membaca untuk menambah ilmu didada dan minda. Jadi, pada anda semua pembaca sekalian...sila beri tunjuk ajar!

Saya & Delya, teman ketika di UFM yang turut serta dalam audisi penyampai radio RTM

Contoh yang membuatkan saya agak terkejut adalah apabila seorang penemuduga bertanya apakah stesen radio kerajaan di Selangor? Wanita yang sempurna pakejnya (dari segi rupa dan suara) menjawab, radio UFM--radio UiTM. Anda mahu tahu dimana beliau mendapatkan informasi ini? Sudah tentunya dari saya! Hahaha...

Opss...nanti dulu, nanti dulu. Sebenarnya beliau tidak tahu langsung kewujudan UFM. Beliau menggunakan informasi saya apabila penemuduga bertanya dimanakah saya pernah mempraktikkan ilmu kejuruhebahan saya. Kebetulan sebelum giliran beliau adalah giliran saya! Tapi, apa yang saya banggakan dengan wanita ini...dia sangat yakin.

Pada semua penerbit rancangan di stesen-stesen televisyen, mungkin pada masa hadapan banyak lagi rancangan realiti yang membina seumpama ini dapat disiarkan. Setidak-tidaknya dapat juga menambah ilmu masyarakat. Sudah menjadi lumrah sesuatu yang diterima dalam keadaan santai dan dalam bentuk hiburan mudah untuk diserap ke minda. Berbanding sekiranya mengajak mereka yang sememangnya dalam kamus hidupnya tiada istilah membaca!

0 comments: