Wednesday, October 17, 2007

Lagu Senantiasa Hijau




Saya memang mudah sekali terkesan dengan lirik pada lagu lama. Lirik mereka lebih halus dan puitis, terus masuk ke hati. Tambahan pula jika liriknya disusun dan ditulis dalam gaya pantun jawab berjawab, wah keenakannya lebih daripada lagu hip hop yang mengutai entah apa.

Faktor perkembangan jiwa kecil saya sebagai anak-anak juga menjadi sebab utama. Dikendong dodoi dengan lagu Uji Rashid, Hail Amir, Sharifah Aini hinggalah ke zaman Sudirman, Ramlah Ram, Search, Wings, R.A.P...saya tidak pernah lepas berenggang dengan irama dari kotak radio emak. Menonton filem lama dan kadang-kadang bercakap-cakap iseng mengenai filem berkenaan seperti rutin biasa dalam rumah kami.

Salah seorang pensyarah ketika menuntut di UiTM dahulu berkata saya perempuan muda berjiwa lama. Dari filem era 80an ke tahun 50an membawa ke lagu-lagu lama, dia kata semua saya tahu. Dia kata lagi, saya ini mungkin agak ganjil dalam kelompok teman-teman sekelas yang lebih sukakan lagu pop Britney, Rihanna, Beyonce, Jay Z mahupun Shakira. Saya cuma ketawa. Balas saya, saya perlu dengar semua kerana saya juruhebah tapi, nyata yang melekat di hati lagu klasik dan lagu "senantiasa hijau".

Yang terbaharu, seakan sudah lama kurang mendapat input lagu lama, saya dikejutkan dengan pemberian Kak Rai, 200 koleksi lagu klasik buat saya terpana. Koleksi sendiri hilang ketika PC saya mengalami kerosakan 2 bulan yang lalu. Jadi pemberian ini bermakna nian untuk saya. Ma kasih Kak Rai!


Mari kita teruskan dengan lagu "senantiasa hijau" yang ini pula. Baiklah, jika sebelum ini saya pernah bercerita mengenai lagu "Sayang Di Sayang" karya Allahyarham Pak Zubir Said dan lagu "Di Wajahmu Kulihat Bulan" nyanyian asal Sam Saimun, ayuh kita berkenalan pula dengan Allahyarham Pak Wandly Yazid dan Gurindam Jiwanya.

Pak mulanya, sangka saya lagu Gurindam Jiwa ini ciptaan Pak Zubir Said. Nyata meleset. Bila saya mencari di Wikipedia, lagu ini ciptaan Allahyarham Pak Wandly Yazid untuk filem Gurindam Jiwa lakonan Latifah Omar dan Nordin Ahmad (terbitan Chatay Keris) dan lirik yang mendapat perhatian saya itu, tulisan Pak Hamzah Hussien.


Dalam rujukan saya yang serba kurang ini, tidak pula saya berjaya mencari latar belakang mengenai Pak Hamzah Hussien (jika anda tahu, bolehlah beritahu saya ya!). Naamun saya punya sedikit sebanyak cerita mengenai Pak Wandly.

Pak Wandly dilahirkan pada 24 Februari 1925 di Sumatera Barat, Indonesia dalam keluarga pendidik. Diperkenalkan kepada muzik sejak di sekolah rendah membawa tokoh ini ke Singapura untuk bekerja dalam industri filem Melayu yang semakin rancak disana. Allahyarham pernah menubuhkan kumpulan Wandly Yazid Orchestra, Wandly Five & Megawati Orchestra untuk Radio Malaya.

Allahyarham juga pernah menulis lagu untuk artis-artis seperti Datin Orchid Abdullah, Rosiah Chik & Ernie Djohan. Bila Pak Wandly dilantik menjadi pengarah muzik bagi filem Melayu keluaran syarikat Chatay Keris, banyak sekali lagu yang telah beliau hasilkan. Antaranya untuk filem Jalak Lenteng, Lanchang Kuning, Naga Tasik Chini, Kasih Ibu dan pada tahun 1964 dalam usia 39 tahun, lagu Gurindam Jiwa pastinya.

Ini dia lirik lagu Gurindam Jiwa untuk kita sama-sama ladeni.

Tuailah padi antara masak
Esok jangan layu-layuan
Intailah kami antara nampak
Esok jangan rindu-rinduan

Anak cina pasang lukah
Lukah dipasang di Tanjung Jati
Di dalam hati tidak ku lupa
Sebagai rambut bersimpul mati

Batang selasih permainan budak
Daun sehelai dimakan kuda
Bercerai kasih bertalak tidak
Seribu tahun kembali juga

Burung merpati terbang seribu
Hinggap seekor di tengah laman
Hendak mati di hujung kuku
Hendak berkubur di tapak tangan

Kalau tuan mudik ke hulu
Carikan saya bunga kemboja
Kalau tuan mati dahulu
Nantikan saya di pintu syurga


Friday, October 12, 2007

Selamat Hari Raya


Dikesempatan ini saya ingin memohon maaf zahir dan batin kepada semua kenalan, sahabat handai malah sesiapa sahaja yang mengenali diri saya. Manalah tahukan sepanjang "perkenalan" kita saya ada terkasar bahasa, tersalah bicara menyinggung rasa mana-mana hati. Halalkan apa-apa termakan terminum yer (jika ada).

Yang pulang kampung (pinjam gaya "Orang Seberang") berhati-hati di jalanan. Jumpa lagi! ;)

Wednesday, October 10, 2007

Gurindam Jiwa


Tuai padi antara masak,
Esok jangan layu-layuan,

Intai kami antara nampak,

Esok jangan rindu-rinduan