Sunday, September 16, 2007

Terima Kasih!


Terima kasih kepada semua rakan-rakan yang menghantar ucapan hari jadi (lewat SMS, mesej di ruang sosial Friendster & Myspace, MMS, mahupun secara lisan) kepada saya pada 15 September yang lalu. Semoga Allah memanjangkan umur dan memurahkan rezeki kita bersama. Insyallah. Amin!

p/s: Sedar tak sedar banyak sekali gambar kek dalam koleksi saya. Kek di atas gambar kek harijadi Abang saya, Mohariz & Milia (Anak saudara kami). Kek Black Forrest...hehe!

Thursday, September 13, 2007

Anis Salwa...Hani Salwah?

Kira-kira sebulan lepas emak tiba-tiba memanggil saya dari dapur. Suaranya tenggelam timbul antara bunyi radio. Saya segera ke arahnya takut ada apa-apa terjadi. Emak saya yang sedang menjahit itu ketawa, tersenyum sambil ralit dengan jahitan di hadapan mata.

Bila tersedar dengan kehadiran saya rupanya bukan apa sangat hendak diberitahu cuma dia kata peserta akhir pertandingan nyanyian di radio tersebut sama dengan nama saya. Cuma namanya Anis Salwa. Saya sendiri tergelak mendengar nama tersebut. Cey...selama ni saya perasaan saya sahaja yang bernama begitu. Rupa-rupanya ada lagi nama yang hampir serupa dengan saya.

Malam yang dinanti, kami sekeluarga menonton pertandingan "Bintang Klasik Nasional" tersebut. (Harap maklum, saya memang gemar lagu klasik...mungkin kerana semua yang berada dirumah kini boleh dikategorikan "warga emas"). Malam itu, Anis Salwa menang.

Kata emak,"Kalau Anis menang, kau mesti dapat interview tersebut"
(Interview dalam konteks saya adalah temuduga kerja di RTM sebagai penyiar).

Tanpa diduga, saya berhasil mendapat temuduga padahal saya menghantar resume untuk jawatan tersebut hanya sehari sebelum itu. Cuma rezeki sahaja belum ada hendak berkerja disana. Saya Redha

Kemenangan Anis Salwa berterusan lagi ke Pertandingan Bintang Klasik Nusantara. Pandai ibu bapa Anis memilih nama kerana nama Salwa itu bermakna "penghibur madu lebah". Jadi tidak hairanlah kalau dia pandai menghibur dan menyanyi. Berbeza pula dengan nama Salwah yang ada pada saya yang bermaksud "Kesenagan, kemewahan"(jika saya tidak salahlah). Namun hidup saya biasa sahaja, tidak susah tidak juga senang. Seadanya. Yang penting saya menikmati kehidupan saya kini.

Ok berbalik pada cerita, hari itu sekali lagi mak menebak yang saya akan memenangi satu pertandingan yang dianjurkan oleh sebuah radio swasta untuk mencari juruhebah baru didalam stesen mereka. Saya iakan sahaja kata emak tanpa sedikit perasaan pun.

Tup tup...ahad pagi tersebut warga stesen berkenaan menghubungi saya dan memberitahu saya menang grand prize RM 3000. Ha...terngaga!. Macam tidak percaya. Disuruh saya datang mengambil hadiah jam 2 petang.

Dengan perasaan tidak percaya, saya, abang(Mohariz) dan kakak ipar(Kak Z) juga kawan baik saya, Pear terus ke lokasi yang telah dijanjikan. Tunggu punya tunggu (eh...ni macam skrip cerita P Ramlee), tak jugak mereka ni nak beri saya hadiah ke apa ke. Disuruh lagi saya menunggu lagi.

Terpaksalah kami menunggu dengan penuh sabar melihat persembahan daripada artis-artis yang sungguh "glamour" (Masyallah...tidak payah la hendak jadi artis kalau semacam hendak menjual badan ataupun sudah tua renta masih beranggapan boleh menanyi...anda memalukan diri sendiri!). Kami yang berada disitu semacam mahu muntah dengan persembahan dan susunan acara yang disediakan oleh pihak stesen tersebut.

Melihat semacam tidak dipedulikan (dah la tak sediakan kerusi), menunggu hampir 3 jam sudah, saya mendekati seorang "adik" pengurus acara tersebut dan meminta untuk pulang kerana sudah terlalu letih dan hadiah akan saya ambil kemudian di pejabat stesen berkenaan. Tiba-tiba, saya pula yang dimarahnya. Amboi, manisnya bahasa adik tu biarlah saya sahaja yang tahu. Setelah dengan penuh bersopan-santun, akhirnya saya dan "gerombolan" pulang dengan hati gembiranya.

Keesokkan hari, saya menghubungi stesen berkenaan dan meminta hadiah yang telah saya menangi tersebut. Mahu tahu adik tu kata apa, katanya adik seorang lagi yang kononnya menyimpan hadiah saya keluar membuat liputan Persidangan Nam. Masyallah, sekali lagi saya urut dada, sabar banyak-banyak. Adik, kalau hendak menipu sekalipun cuba jangan tipu orang media macam saya. Namun kerana malas hendak menyakitkan tekak marah-marah, saya hanya minta jika hadiah sudah tersedia minta saya dihubungi mereka.

Sedikit pun saya tidak sedih jika benar tiada hadiah untuk kemenangan saya. Sejak menghadapi pelbagai dugaan tahun ini, saya sudah belaja redha meredhakan. Jika bukan rezeki saya, dilolong teriak pun bukan juga rezeki saya. Samalah seperti mengharap kasih orang, kalau sudah tidak disayang, mampukah kita untuk memaksa orang itu menyayangi kita? (Sebagai contoh sahaja ya...hehe!)

Mungkin saya hanya menumpang tuah nama Anis Salwa. Ke"tuah"an sendiri masih belum pasti. Suatu hari nanti…mungkin. Insyallah!


*** Kek sempena harijadi Abang saya Mohariz dan anak saudara kami, Milia. Sedapnya kek "Mango Delight" ni...yum yum!

Bila tengok kek harijadi...teringat hari jadi sendiri semakin dekat. 15 September. Rupa-rupanya saya berkongsi tarikh lahir dengan ramai orang yang "hebat". Antaranya, Agatha Christe (Seorang Penulis), Kapten Dr Faiz Khalid (Calon Angkasawan Negara) dan beberapa orang artis Malaysia.


Antara mereka yang saya sayang selain Emak & Ayah, Abang & Kakak saya dan kawan-kawan baik saya (Ziela & Pear). 4 orang anak "dara" saudara saya...comel tak mereka ni?