Wednesday, February 21, 2007

Bila Wajahmu Aku Bayangkan

Sudirman Haji Arshad

(Ilustrasi sempena kemenangan Allahyarham di Anugerah Penghibur Asia)


Punch Card, Gerimis di Lautan, Aku dan Duniaku, Terasing, Salam Terakhir, Nilai Cintamu malah Bila Wajahmu Aku Bayangkan (sekadar menyebut beberapa tajuk sahaja) bukanlah lagu-lagu yang asing jika kita pernah mengetahui milik sosok tubuh seorang penyanyi ini. Dalam tahun 80 an sehinggalah awal tahun 90an Allahyarham seakan "hero" bagi masyarakat Malaysia. Siapa yang dapat lupa akan konsert gergasi Allahyarham di tengah-tengah Jalan Chow Kit, Kuala Lumpur pada 15 April 1986. Kata Allahyarham, konsert ini adalah satu tribut khas untuk para peminatnya yang tidak mampu membayar tiket menyaksikan pertunjukannya di hotel atau di dewan-dewan. Hampir 100,000 peminat Allahyarham turun menyaksikan konsert percuma berkenaan. Saya ingat waktu itu (walau masih sangat kecil dan menonton konsert ini lewat tivi), beliau berpakaian Jalur Gemilang (Bendera Malaysia ketika itu) dan menurut kata ibu pula, beliau sanggup menaiki kren TNB (kren memperbaiki lampu jalan) untuk menyanyi dan menghiburkan para peminat yang sanggup berasak-asak menyaksikan konsert berkenaan. Beliau memang sangat menghargai peminatnya dan sanggup berbuat apa sahaja. Itulah Allahyarham Sudirman Hj Arshad yang saya pernah tahu.

Sepanjang hayat Allahyarham, beliau turut diberi gelar Penghibur Milik Masyarakat, Seniman Rakyat dan Elvis Malaysia. Menurut sumber yang pernah saya baca dan saya selidik, selain menyanyi, beliau juga adalah seorang pelakon, peguam, penulis, pengarang (buku kanak-kanak), pelukis kartun, usahawan, penghibur, dan juga penggubah. Allahyarham Sudirman Hj Arshad ini juga merupakan penerima sulung Anugerah Penghibur Asia dan juga penghibur pertama Malaysia berpeluang mengadakan persembahan di Albert Hall, London (Sempena anugerah berkenaan juga).

Bercerita mengenai pengalaman peribadi mengenai Sudirman, ibu pernah bertemu dengannya. Itu pun secara tidak sengaja di hadapan rumah kami di Ampang Jaya, tahun 1989 ketika kami baru sahaja berpindah ke situ dari Ipoh. Menurut ibu, suatu pagi sebuah kereta berhenti di hadapan rumah dan seorang lelaki (pemandu kereta berkenaan) masuk meminta air untuk kereta yang dipandunya. Ibu yang kasihan memberi air dan keluar melihat kereta berkenaan. Ibu melihat-lihat kereta berkenaan dan terkejutnya ibu bila yang duduk di seat belakang, Penghibur Nombor Satu Negara waktu itu. Beliau keluar dan mengucapkan terima kasih buat ibu. Barulah ibu tahu, Allahyarham tidak mahir memandu kereta (hehe). Pasti ramai yang kata...itu hanya terima kasih. Namun, bila kita lihat semula hari ini (setelah 15 tahun perginya Allahyarham) itu satu pengalaman yang berharga. Tidak semua orang berpeluang mendapatkannya.

Allahyarham di lahirkan di Temerloh, Pahang pada tahun 1954. Putera kepada Allahyarhamah Hajjah Romlah Dahalan dan Haji Arshad Hj Hassan memulakan persekolahannya pada 1961 di Sekolah Kebangsaan Jalan Bahagia, Temerloh dan Sekolah Sultan Abu Bakar (SABS) Kuantan, Pahang sebelum melanjutkan pengajiannya di Universiti Malaya dalam bidang undang-undang.
Walaupun sibuk dengan pengajian, beliau sempat juga melebarkan sayapnya dalam bidang nyanyian menerusi Pertandingan Bintang RTM 1976 dan sekaligus merebut gelar juara dalam pertandingan tersebut.

Ketika menyelongkar LP milik abang saya, Mohariz, saya temukan sebuah LP Allahyarham berpakaian tentera. Cover LP itu pula boleh dibuka di tengah-tengahnya. Menurut catatan beliau di LP (judulnya ABADI), penerbit dan juga syarikat rakamannya, EMI tidak pernah yakin akan pembikinan album patriotik sepenuhnya kerana pada pandangan mereka, album berkenaan mungkin tidak mendapat sambutan masyarakat ketika itu. Namun, apa yang boleh kita lihat dan dengar kini...lagu-lagu dalam album berkenaan seperti (Punch Card, Warisan, Tanggal 31) seakan menjadi kemestian setiap kali tibanya hari kemerdekaan atau jika kita menyentuh mengenai semangat patriotisme di kalangan masyarakat kita. Malah, pendapat saya yang kecil ini, jika tiada usaha berani seumpama ini dahulu, mungkin tidak ada pun satu album beraura patriotik untuk sama-sama kita ladeni kini.

Jika anda seusia saya atau mungkin lebih berusia daripada saya, saya pasti anda pernah mencicip atau merasa atau malah pernah melihat tin air Sudi, keluaran syarikat Allahyarham. Secara peribadi, saya suka sekali rasa air ini (selalu juga mengecek air Sudi milik abg saya, Mohariz dahulu). Malah beliau juga pernah membuka sebuah kedai menjual barang-barang keluaran syarikatnya di Sungei Wang Plaza, Kuala Lumpur. Apa yang pasti, disana mesti ada dijual cermin mata hitam gulung (yang diletakkan dalam botol kecil).

Mengenai cermin mata hitam gulung ini, waktu itu abang saya punya satu. Saya suka memakainya. Cermin mata ini unik dan sangat sinonim dengan Sudirman. Unik? Cermin mata ini unik kerana cermin ini bergulung dan tidak bertangkai. Jika anda ingin memakainya anda perlu lakukan hanya membuka gulung cermin mata itu dan lekapkan pada mata anda. Asyik sungguh cermin mata itu. Hari ini jika dicari-cari semula cermin mata itu kemana, pastilah entah kemana sahaja cermin mata gulung milik abang (barangkali hilang ketika berpindah randah dahulu)…

Bercerita mengenai filem dan lakonan, satu-satunya filem lakonan Sudirman adalah filem berjudul Kami. Filem keluaran Indra Film Productions and Distribution Sdn Bhd. Menerusi filem ini, Sudirman diberi watak sebagai Tookoo, anak muda yang berhijrah ke Kuala Lumpur setelah tidak serasi tinggal serumah dengan ibu tirinya dan bapanya yang merupakan seorang pemandu lori. Penghijrahan tersebut menyebabkan Tookoo berkenalan dengan seorang anak gelandangan bernama Din. Sudirman menerusi file mini juga telah dinominasikan sebagai calon penerima pelakon lelaki terbaik dalam satu anugerah filem. Namun, malangnya nasib tidak menyebelahi Allahyarham. Allahyarham tewas dalam pertandingan tersebut.

Seniman Aziz Sattar melalui satu wawancara dalam sebuah rancangan di Astro Ria pernah menyebut, bahawa Sudirman sangat sedih kerana tewas dalam pertandingan tersebut. Menurut Pak Aziz, watak yang keanak-anakkan (watak remaja 17 tahun Tookoo) yang diberikan kepada Allahyarham Sudirman juga mungkin merupakan salah satu sebab mengapa filem ini tidak mampu memperlihatkan kemampuan sebenar Allahyarham. Khabarnya Allahyarham telah menyiapkan sebuah skrip mengenai primadona dan beliau teringin untuk menjadi produser lewat filem berkenaan. Namun apa yang boleh dikatakan, ajal sudah menjemput beliau sebelum sempat filem ini direalisasikan dalam bentuk yang sewajarnya.

Pada Julai 1991, beliau telah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi, Pusat Perubatan Tawakkal, Kuala Lumpur untuk beberapa hari. Selama 7 bulan sebelum beliau mengembuskan nafasnya yang terakhir, semua ahli keluarga dan kenalan dekat merahsiakan punca sakit dan lokasi dimanakah Sudirman dirawat.

22 Februari 1992, jam 4 pagi dan berusia 37 tahun beliau telah meninggalkan kita bertemu Allah SWT. Allahyarham selamat mengembuskan nafas terakhir di rumah kakak beliau di Lucky Garden, Bangsar Park. Beliau dipercayai menghidap penyakit radang paru-paru dan selamat dikebumikan bersebelahan pusara ayah dan bonda beliau di Temerloh, Pahang pada hari yang sama. Ribuan peminat beliau dating memberikan penghormatan terakhir dan paling terkesan dihati setiap ahli keluarga beliau apabila, Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad juga turut hadir dan beliau menyifatkan Negara kehilangan Sudirman merupakan kehilangan besar dalam arena seni negara.

Esok, tepat 15 tahun kehilangan Sudirman. Jika beliau masih lagi hidup kini beliau mungkin sudah berusia 52 tahun pada 2007 ini. Walaupun pemergiannya banyak mengundang spekulasi, terutama sekali mengenai penyakit yang dihidapi itu, buat apalah dikenang-kenang itu semua kini. Apa yang pasti, kita perlu meredhai dan usahlah berbuat pelbagai spekulasi itu lagi. Yang patut kita berbuat kini, hanyalah menyedekahkan Al- Fatihah moga rohnya tenang dialam sana

Al Fatihah


“Dalam kerjaya saya sebagai penghibur, saya mahu lakukan bersungguh-sungguh supaya masyarakat terus mengingati buat selama-lamanya”

Allahyarham Sudirman Haji Arshad


(Sumber dan illustrasi dari wikipedia.com)

Thursday, February 08, 2007

Sayang Di Sayang

Ada beberapa versi lagu Sayang di Sayang sudah saya dengari dan nikmati. Semuanya ya sudah pasti memberi impak-impak yang berlainan dalam nubari saya. Antara versi nyanyian yang pernah saya dengari adalah alunan daripada Ning Baizura, Farhan AF4 dan Kartina Dahari. Malah, Nora juga pernah menyanyikan lagu ini. Versi asal lagu ini dinyanyikan siapa, itu sahaja yang masih belum saya temukan. (Jika ada antara anda yang tahu tolong beritahu saya ya...terima kasih). Ada yang dibawakan dalam nada komtemporari dan ada juga dalam versi keroncong (yang lebih menarik perhatian saya…maaf kalau saya agak bias pada irama keroncong)

Tulisan kali ini bukanlah untuk membandingkan-bandingkan versi siapa yang lebih sedap, lebih lunak, sekaligus…menentukan juaranya. Namun sebaliknya, saya ingin mengajak pembaca menyorot semula siapakah disebalik lagu ini. Menerusi kajian saya yang tidak seberapa, saya telah menemukan pencipta sebenar lagu yang mula memancing hati saya sejak beberapa bulan ini.

Sayang Di Sayang dicipta oleh seorang komposer kelahiran Indonesia, Allahyarham Zubir Said. Allahyarham Zubir Said juga adalah komposer yang bertanggungjawab mencipta lagu kebangsaan Singapura pada hari ini, “Majulah Singapura”. Selain daripada itu, Allahyarham Pak Zubir juga dikhabarkan telah mencipta hampir 1000 buah lagu. Sepanjang membaca bahan yang dikaji itu, saya semakin teruja. Kira-kiranya Pak Zubir Said ini bolehlah dikatakan hebat jugakan? 1000 buah lagu ciptaan, bukanlah satu angka yang kecil. Malah jumlah itu sudah melebihi untuk dirinya dikenang sebagai hero lagu Melayu klasik era tersebut.

Allahyarham memulakan kariernya di dalam arena muzik ini ketika berhijrah ke Singapura. Di Singapura, beliau telah menyertai kumpulan bangsawan, City Opera sehinggalah berjaya menjadi ketua pancaragam. Beliau berkahwin dengan seorang penyanyi ternama, Tarminah Kario Wikromo pada tahun 1938. Kebolehan beliau akhirnya membawa beliau mekar dalam industri perfileman Studio Malay Film Productions dan Cathay Keris, Singapura. Ketika berkhidmat untuk kedua-dua buah studio ini, Allaharyam Pak Zubir dilantik menjadi ketua orkestra dan diberi kepercayaan mengubah lagu-lagu yang hebat untuk filem-filem keluaran kedua-dua buah studio yang pernah menjadi kebanggaan masyarakat Melayu pada suatu ketika dahulu.

Malah lagu “Sayang Di Sayang” ini telah dimuatkan dalam filem “Rachun Dunia” (1950) lakonan Allahyarham Tan Sri P Ramlee. Allahyarham Pak Zubir juga merupakan guru muzik bagi seniman agung kesayangan kita itu.

Namun seperti tajuk lagunya, sayang anak-anak zaman kini tidak pernah tahu mengenai lagu malah penciptanya sekaligus. Barangkali ada yang mula buka mata sejak Farhan mempersembahkan lagu ini di Akademi Fantasia 4. Jika tidak, sampai bila-bila pun lah mereka tidak menyedari kewujudan lagu yang baik seumpama ini. Maka lagu dan lirik yang baik ini hanya tinggal sebagai memori di zaman silam sahaja. Nama Allaharyam Pak Zubir pun tenggelam bersama hilangnya warga dizaman tersebut.

Tidak malu untuk saya katakan, saya senang mendengar lagu-lagu era lama ini. Mungkin kerana didikan saya sebagai anak bongsu dalam keluarga, banyak sekali terinfluence ibu yang gemarkan lagu-lagu lama. Teman baik sendiri sering tertawakan saya kerana gemarkan yang lama-lama. Saya senyum sahaja setiap kali teman saya itu tertawa. Bagi saya value lagu-lagu sebegini lain benar “penangan”nya. Cuba dengar lirik yang dinyanyikan penyanyinya. Indah. Ada selokanya. Ada pantunnya. Bila dengar dan dengar lagi banyak nasihat yang cuba diberikan. Jarang kita akan dengar lirik sebegitu dalam era kita kini. Yang ada pun kebanyakannya semacam “hilang” uniknya bahasa Melayu itu sendiri.

Bila mendengar bengkel Faisal Tehrani sewaktu konferensi GKLN-ALBUNA tempohari, saya rasa apa yang saya lakukan ini tepat. Kata Faisal Tehrani pada pendengar bengkel online tersebut, beliau mengajak penulis-penulis muda untuk kembali meneroka sastera lama kita yang banyak misteri dan bahasanya yang cantik itu. Jadi permulaan saya...dengan lagu lama dahululah.

Dibawah ini lirik lagu “Sayang Di Sayang” untuk kita kongsikan bersama. Namun begitu, beberapa kali saya terganggu dengan nyanyian beberapa artis kita bila mendendangkan lagu ini. Mahu tahu kenapa? Mudah. Pada baris kedua lirik ini kebanyakan artis kita melagukan sebegini...

“...dahan jatuh menimpa batu...KEGUGURAN”

Wahai teman-teman sekelian...berertikah pantun ini jika “...dahan jatuh menimpa batu yang KEGUGURAN ?”. Maka dengan itu jika ada peluang sila dengar versi Kartina Dahari bila tiba ayat ini...

Sampai disini coretan kali ini. Yang baik datangnya dari Allah dan buruk itu datangnya dari kelemahan diri saya sendiri. Ampun dan maaf jika ada yang terguris rasa dan pedih jiwa. ;)

Lirik Sayang Di Sayang

Angin menderu
Dahan jatuh menimpa batu
Kuburan…
Angin menderu
Dahan jatuh menimpa batu
Kuburan…
Murai terkejut berkicau-kicauan
Langit mendung diliputi awan
Alamat bumi disirami hujan
Sayang disayang
Hatiku rindu
Orang jauh tak lupa dari kenangan [ulang 2 x]
Fikiran kusut berisau-risauan
Sakit untung ditinggalkan abang
Ibarat kapal tidak berhaluan
Sayang di sayang...



(Sumber daripada wikipedia.com)