Tuesday, June 06, 2017

Moreh Puisi Dinihari ke XI


9 Jun bertempat di Sanggar Damai Abadi, Kampung Bukit Kapar, Klang jam 10 malm insya Allah akan berlangsung Moreh Puisi Dinihari ke XI. Kali ini saya diundang untuk meraikan kejayaan saya mengusaikan pengajian peringkat Doktor Falsafah. Aduh, sedikit terharu sebenarnya kerana sejak ayah jatuh sakit sehari setelah majlis konvokesyen, saya sudah agak lupa hal ini. Alhamdulilah, ayah pun sudah membaik (sudah boleh bekerja kembali walaupun berjalan dengan tongkat), ada yang ingat hal menyelesaikan pengajian yang ini.

Kepada yang berkelapangan seusai terawih, yuk singgah sebentar kita bermoreh di sini. Insya Allah, saya juga akan bawa pelajar saya untuk temani. Jumpa sana, ya sahabat :)

Thursday, June 01, 2017

Mengukur Kesepian Yang Riuh Dalam Menghening Sunyi



Judul                 :        Kumpulan Puisi Menghening Sunyi
Penulis              :        Ridzuan Harun
Tahun Terbit     :        2017
Harga                :        RM 20.00 (Semenanjung Malaysia) / RM 25.00 (Sabah/Sarawak)


Zaen Kasturi dalam prakata Menghening Sunyi (ITBM: 2017), menyatakan bahawa;

"Sama ada harus diakui mahupun di sebaliknya, kesunyian tentu saja berbeza daripada kesepian. Kesunyian memiliki makna kedamaian yang dirasakan oleh fikiran dan hati, meski diri tidak sendiri secara fizikal. Sementara, kesepian adalah kesunyian fikiran dan hati meskipun diri berada dalam suatu keramaian dan pelbagai keriuhan."

Dalam melihat masyarakat zaman ini yang 'risau' dilabel dengan kata sunyi, Ridzuan Harun cuba kembali mencari kembali tapak ke arah katarsis sunyi. Seakan sunyi memberi suatu perasaan kelegaan yang paling mercup dalam mengungkapkan segala apa yang dirasakan penyair ini dalam hati dan rasa kepenyairannya. Namun, sunyi yang bagaimana sebenarnya cuba dibawa penyair kepada pembaca kumpulan puisi Menghening Sunyi ini?

Menghening Sunyi dibahagikan kepada dua bahagian utama iaitu bahagian pertama Tumbuh Dari Diam dan bahagian kedua Menghening Sunyi. Seperti namanya Tumbuh Dari Diam, bahagian ini banyak sekali merefleksikan tanggapan dan reaksi penyair dalam pelbagai hal seperti kehidupan secara umumnya, perhubungan, persahabatan, masalah sosial dan kehilangan yang banyak memberi kesan kepada penyair secara peribadi dan langsung. Keseluruhan bahagian pertama ini dapatlah disimpulkan dengan puisi berjudul Tentang Kenangan (hal. 28) yang antara lain berbunyi;

Kenangan sama seperti 
berkeping-keping gambar
yang tersimpan dalam album

Ada gambar yang masih terang
ada juga yang sudah kelabu
bertahun-tahun kita menyimpannya
dalam sedar atau tidak

Kautahu, kenangan dan ingatan
pun seperti  itu juga
aku masih menyimpan cerita kita
mask ada sebahagiannya mula mengabur
dan dilitupi debu waktu

Ada waktunya kita mengenang
semuanya dari jauh
meski ia begitu dekat di kalbu
di celah runtuhan masa

Dan kita, membiarkan ia
sesekali datang, sesekali pergi
sesekali beroleng, sesekali bergenang
sesekali tenggelam, sesekali timbul
tapi, ada juga ketika matahari senja jatuh
kulihat kau tetap bermain di sangkar mataku.

Segala perasaan yang disimpan dalam diam, menjadi kenangan yang akhirnya dilunasi kerinduannya oleh penyair dengan kolaj-kolaj kenangan. Setiap satu cebisan cuba ditampal dalam mengingati setiap perkara yang pernah singgah, melekat, memberi kesan mahupun sekadar angin yang menampar perlahan ke pipi dan pergi lagi. Begitu juga beberapa kali menerusi Tumbuh Dalam Diam penyair menyatakan dengan teguh tentang pendiriannya tentang kesetiaan:

Kutinggalkan laut kepada pasir--kerana ternyata
ia lebih setia sebagai pendamping.

Hanya kupilih debur ombaknya--untuk kubawa
ke dalam kenang.

Penyair selalu hidup setia--dengan
ingatan-ingatan.

(Pasir Lebih Setia: hal.27)

...

Aku bukanlah lelaki pengalah
walau dihambat semi
tapi jauh di sana, di tanah airku
ada cinta, menantiku pulang

(Ara: hal. 52-53)

Begitulah setianya penyair kepada apa yang diyakini, dipercayai ataupun disayanginya. Begitu juga diam mengajarkan tentang erti persahabatan. Meski kadangkala jauh, jarang ketemu mahupun menjadi pemuja dalam diam:

...

Itulah cara kita memperdalam
erti berkawan
bertemu dan bercakap
tanpa curiga
atau perlu takut pada sesiapa

(Marsli: hal. 23-24)

...
Aduhai kau lelaki yang tegar memilih
dan percaya sejarah
bagimu sejarah selalu menuju kebenaran
yang berdusta cumalah pencatat sejarah
kaumasuk ke negeri sukar
demi memilih nikmat yang paling sukar

(Zaen: hal. 25-26)

Jika pada kata mula, penyair menyebut, tentang semoga pembaca dapat mencari penyair dengan menjadikan Menghening Sunyi sebagai cermin, sebenarnya kita mampu mentafsir jiwa sebenar penyair yang terlalu sensitif kepada setiap perkara yang berlaku di sekitarnya. Memasuki Menghening Sunyi pada bahagian ini, sebenarnya banyak tentang kehilangan (kematian) menjadikan penyair amat berduka lara dalam diamnya. Keberangkatan seorang guru, sahabat dan mentor dalam empat buah puisi berjudul Dan Penyair Pun Berangkat, Sutung Umar RS, Mengenang Sahabat dan Selamat Berangkat Guruku. Namun, setelah meneliti kembali susunan dalam bahagian ini, terasa amat aneh keempat-empat puisi ini disatukan dalam Tumbuh Dalam Diam. Keempat-empat puisi ini lebih amat baik jika disekalikan ke bahagian Menghening Sunyi seterusnya yang menyeret pembaca dengan rela dalam sebuah perasaan kehilangan yang paling perit, keberangkatan seorang paling akrab, seorang sahabat dan abang, penyair Allahyarham Rahimidin Zahari.

Tiada yang lebih perit dalam menafikan kehilangan. Itu yang cuba di'tiupkan' dalam bahagian kedua, Menghening Sunyi. Ridzuan sebenarnya cuba untuk menerima realiti dengan mengambil sudut pandang keluarga Rahimidin dalam puisi berjudul Mengenang Papamu, pada Puasa Pertama (hal. 86) dan Simpang Ke Rumahmu (hal. 89). Namun, percubaan-percubaan ini sebenarnya seperti mencari jalan menghilangkan sepi kehilangan yang benar amat mengusik perasaannya sebagai seorang adik. Seperti dalam halaman akhir;

Desa nan jauh selalu dirindu,
  teringat sumur jernihnya bergenang;
abang sungguh dekat di kalbu,
  sehayat umur adik mengenang.

(Mengenang Abang)

Seusai menekuni prakata yang cermat ditukangi penyair besar Malaysia, Zaen Kasturi serta membaca keseluruhan puisi dalam Menghening Sunyi, secara halus tetapi amat teratur barangkali ingatan akan terus melekat pada puisi tulisan Allahyarham T. Alias Taib yang ini;

"Siapakah pernah mengukur
betapa dalam 
sepiku yang riuh"

(T Alias Taib)


Dalam menjadikan Menghening Sunyi sebagai cermin seperti permintaan penulisnya dan menimbang kembali pandangan Zaen mengenai sunyi dan sepi, Rizduan cuba untuk berkongsi beban sepinya (keriuhan dalam keramaian) kepada pembacanya. Cuba untuk merasa lega dan menenangkan dirinya sendiri. Meski ada beberapa bahagian awalnya Ridzuan tenang berkongsi rindu dan ingatan tetapi, dalam konteks keseluruhan, rindu akan kehilangan sebenarnya terus menerus menjadi pohon rendang dalam sepinya yang riuh. Tiada siapa yang barangkali boleh mengukur betapa dalamnya sunyi Ridzuan seperti kata T Alias Taib di atas. Penyair yang benar mengheningkan diri sendiri dalam sunyi dan sepinya.

Tuesday, March 14, 2017

Rumah



Rumah (Berita Harian, Ahad 12 Mac 2017)

Saturday, January 21, 2017

Dalam Puisi (II)



Ku simpan kau dalam puisi
di baris ayat
pilihan kata
dan seribu cerita.

Ku simpan kau rapat
dalam bahasa
yang ku kunci
carilah dalam rasa
yang kau
simpan sendiri.

Hani Salwah Yaakup
Januari 2017,
Kuala Lumpur.

Thursday, December 15, 2016

Wisuda Yang Sengaja di Tangguh-Tangguhkan

Sebenarnya saya sudah setahun menamatkan pengajian pada peringkat Doktor Falsafah (Komunikasi) dengan jayanya di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dalam bidang media & komunikasi (mengkhusus kepada filem). Usai viva dan menghantar cetakan tesis dengan kulit keras tidak sempat untuk mengejar sesi wisuda (konvokesyen 2015) yang lalu. Kita merancang tapi, Allah lebih tahu kenapa setiap satunya dilambatkan. 

Hampir setahun saya menanti saat naik pentas dan menikmati getar konvokesyen. 5 November 2016, segalanya selesai. Tetapi, di UKM yang paling kami (para graduan) nantikan adalah acara penyarungan jubah akademik oleh para penyelia kami. Itu lebih penting. Itu lebih bersejarah. Selalunya untuk fakulti saya iaitu Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK) akan dilangsungkan sehari sebelum konvokesyen iaitu tahun ini pada 4 November 2016.

Biarlah gambar bercerita tentang wisuda dan catatan tentangnya yang sengaja saya tangguhkan ke hari ini.








Wednesday, December 14, 2016

Anekdot Pendek Dari Anugerah Karya Darul Ridzuan V

Alhamdulilah, puisi kecil saya berjudul "Dalam Penafian" (Berita Harian: 9 Februari 2014) dinobatkan sebagai salah satu penerima untuk kategori B: puisi eceran Anugerah Karya Darul Ridzuan V bersempena Pesta Puisi dan Lagu Rakyat Pangkor 7, di Pulau Pangkor, 5 Disember 2016 lepas.

Semua dipulangkan kepada DIA pemilik langit dan bumi, yang ESA. TanyaNYA, tiadalah semua ini. 

Seterusnya untuk emak, ayah, keluarga, kesayangan dan cinta hati. Yang selalu ada, selalu mendorong ke jalan-jalan yang molek. Terima kasih sedalam dan seluasnya.

Tahun baharu, azam baharu. Buku baharu? Ya...nantikan :)








Saturday, November 26, 2016

Rindu





Belum sempat jelaga terbang tinggi
hujan tiba dengan pesan,
"Tolong rindui aku".
Sedang pula sebelum pesan itu sampai
sesuatu menikam bertubi-tubi
tepat di dada berkali-kali.
Sebu.

17 November 2016
Putrajaya.

Tuesday, May 31, 2016

Reruntuhan Utopia Dalam Perubahan (Change)




Tajuk Buku: Perubahan (Change)
Penulis: Mo Yan
Terbitan: Institut Terjemahan dan Buku Malaysia
ISBN: 978-967-430-673-1
Harga: RM 20.00 (Semenanjung Malaysia)/ RM 25.00 (Sabah/Sarawak)
Tahun Terbitan: 2016
Jumlah Halaman: 103


Komunisme dalam sejarah pemikiran Barat sudah mula diperkatakan sejak dari zaman purba yang meliputi antaranya pemberontakan hamba Spartacus juga tidak ketinggalan pergerakan Mazdak di Parsi pada abad ke-5. Pergerakan ini dikatakan bersifat komunis daripada kritikannya tentang pemilikan hartanah persendirian oleh golongan institusi serta kritikan kepada masyarakat golongan atasan terhadap keistimewaan-keistimewaan yang dimiliki oleh mereka. Sesuai dengan kebangkitan revolusi industri pada era kemudiannya, permasalahan sosial iaitu perbezaan kelas dan penindasan golongan pemilik (aristokrat) terhadap golongan pekerja (proletariat) semakin jelas. Golongan pekerja dimanfaatkan sepenuhnya untuk mencari keuntungan kepada golongan pemilik tanpa diberi kebajikan yang sepatutnya. Waktu ini, Karl Marx, seorang sarjana Jerman muncul membentangkan definisi baharu komunisme (baca: komunisme moden) dalam memberi penentangan sistem kapitalisme yang menekan golongan bawahan dengan memberi gelaran mereka yang menentang sistem kapitalis sebagai “utopian socialist”. Definisi baharu komunisme ini kemudiannya diperjelaskan Marx and sahabatnya, Friedrich Engels menerusi The Communist Manifesto.

Ideologi yang dibawa Marx dan Friedrich ini kemudiannya menerima sambutan dalam kalangan negara Eropah terutamanya Rusia. Rusia pada waktu itu mengalami krisis kewangan dan dianggap negara paling miskin di Eropah, paling ramai buta huruf dan merupakan minoriti dalam kalangan pekerja industri. Menerusi Revolusi Rusia kemudiannya, ideologi ini diserap masuk dalam pemerintahan dalam usaha memajukan Rusia. Kesan daripada pengaruh Revolusi Rusia yang turut digelar “Revolusi Oktober” ini, telah mempengaruhi masyarakat di Tanah Besar China untuk mengambil contoh yang sama. Pada waktu ini, intelektual China kebanyakkannya terkesan dengan ideologi komunisme yang dibawa oleh Marx dan Friedrich. Perubahan Rusia memberi kesedaran kepada China yang mereka juga boleh berubah untuk menentang penindasan ke atas mereka setelah perang saudara dengan Korea dan Jepun juga gabungan kapitalis Barat yang diketuai oleh Amerika Syarikat dalam sekutunya. Seperti Rusia, China bangkit menjadi antara kuasa kuat dan ditakuti sewaktu perang dingin pada abad ke-20.

Meskipun begitu, komunisme hanya sebuah ideologi yang bersifat abstrak dan utopia. Niat asalnya untuk mewujudkan keseimbangan di antara dua pihak (pemilik) dan golongan pekerja namun begitu, bukanlah mudah untuk direalisasikan seperti dalam kerangka ideologinya yang molek dalam kertas. Seiring dengan perubahan waktu, modenisasi dan isu semasa (seperti insiden nuklear Chernobyl pada tahun 1986) telah melumpuhkan ideologi komunisme dalam blok-blok komunisme di Eropah. Walaupun insiden pemberontakan Tianmen Square pada tahun 1989, tidak berupaya untuk meruntuhkan komunisme di China sepenuhnya, namun begitu, hasil pemberontakan ini telah mengakibatkan banyak perubahan dalam pentadbiran China. Hal inilah yang dibawa oleh penerima Anugerah Nobel 2012, Mo Yan dalam novel Perubahan (Change) yang diterbitkan oleh Institut Terjemahan dan Buku Negara (ITBM) ini.

Menerusi novel setebal 103 halaman berkenaan, Perubahan (Change) mengupas tentang amalan Komunisme pada abad ke-20, faktor kejatuhannya, bagaimana kejatuhan ini tidak dapat dielakkan juga kesannya terhadap masyarakat. Mengangkat persoalan berat dalam masyarakat di China ini menerusi pendekatan novel sebagai autobiografi (dan sebaliknya); Mo Yan memperincikan mengenai perubahan-perubahan sosioekonomi masyarakat di China tidak menerusi mata pandang kejadian politikal yang berlaku di negara berkenaan. Ini dilihat berbeza dengan pendekatan penulis China yang sering membawa secara terperinci mengenai kejadian-kejadian politikal yang berlaku di China yang mencetuskan perubahan-perubahan berkenaan sebagai asasi penceritaan mereka. Mo Yan (juga seperti kebanyakan penulis dari Tanah Besar China) mengaplikasikan teknik “kembali kepada nostalgia”. Kelebihan nostalgia inilah yang menjadikan novel ini berbeza walaupun hendak berkisah mengenai permasalahan besar seperti kelemahan sistem komunisme di China.

Novel ini dimulakan dengan kisah Mo Yan yang “kembali” ke sekolah setelah tidak boleh menerima kenyataan dibuang sekolah kerana didakwa memfitnah seorang guru Matematik bernama Liu Tianguang yang dikatakan “mempunyai mulut yang sangat besar dan boleh memuatkan buku lima”. Sewaktu Mo Yan memasuki sekolah itu pada petang berkenaan, Liu Tianguang sedang bermain pingpong (permainan yang sangat terkenal di China dan malah China menghasilkan banyak pemain pingpong terbaik dunia) dengan seorang pelajar cantik bernama Liu Wenli. Kejadian petang itu diakhiri dengan insiden Cikgu Liu hampir tertelan bola pingpong yang dipukul oleh Liu Wenli. Mo Yan kemudiannya mengisahkan memorinya tentang seorang rakan sekelasnya bernama He Zhiwu yang menurutnya merupakan hero dalam kisah ini. He Zhiwu telah “membuang” dirinya dari sekolah setelah gurunya Cikgu Zhang bertanya mengenai cita-citanya. He Zhiwu menerangkan cita-citanya hendak menjadi seperti ayah Liu Wenli, seorang pemandu trak tentera yang hebat di kampung mereka. Cikgu Zhang marah apabila He Zhiwu yang tidak serius dengan pertanyaannya itu.

Seterusnya Mo Yan berkisah mengenai pengalamannya menyertai tentera kerana untuk mengubah corak kehidupannya yang hanya bekerja sebagai buruh di kilang kapas dan seorang petani. Menerusinya walaupun tidak berpeluang melanjutkan pengajian ke peringkat tertinggi, Mo Yan akhirnya dapat menjadi penulis yang hebat dan berkenalan dengan ramai kenalan seperti Juruteknik Zhang (yang menjadi pemandu trak serupa seperti mana bapak Liu Wenli) dan anaknya. Namun, pengalaman-pengalaman Mo Yan dalam tenteralah kemudiannya memberi peluang kepadanya menjadi lebih baik pada hari ini. Setelah beranjak lebih berusia, Mo Yan kembali bertemu dengan He Zhiwu dan Liu Wenli. He Zhiwu telah menjadi usahawan yang kaya raya tetapi tidak berjaya memilik Liu Wenli yang dicintainya sejak zaman persekolahan. Sementara Liu Wenli pula walaupun berkahwin 2 kali dan mengalami 2 kematian suaminya (suami keduanya adalah bekas gurunya Cikgu Liu) tetapi hidup bahagia.

Persoalan-persoalan mengenai komunisme dan kapitalisme sebenarnya disimbolkan menerusi watak-watak utama dalam novel ini iaitu Liu Wenli dan He Zhiwu. Liu Wenli digambarkan sebagai watak golongan pekerja yang diperjuangkan dalam ideologi komunisme. Sementara He Zhiwu pula golongan kapitalis yang sentiasa mencari peluang berbentuk materialisme. Lihatlah He Zhiwu setelah gagal melanjutkan pengajian sekolah menenangah, telah berusaha untuk mencari jalan perniagaan (menerusi jualan lembu dari Mongolia yang dibelinya dengan harga murah dan kemudian dijual di China dengan keuntungan 3-4 kali ganda; berkahwin dengan seorang gadis kacukan Rusia walaupun buruk kerana untuk keuntungan zuriatnya pada masa hadapan dari aspek fizikal dan bagaimana dia mempergunakan seorang tentera untuk mendapat tiket percuma). Begitu juga dengan watak Juruteknik Liu yang pada mulanya hanya sebagai seorang tentera yang redha mengikut kehendak-kehendak komunisme kemudian mencari peluang untuk naik pangkat dengan mengambil kesempatan terhadap seorang wanita tua yang mempunyai seorang anak berpangkat tinggi dalam tentera. Mo Yan memperlihatkan dengan jelas di sini, manusia dan sikap tamak kepada material. Meskipun pada awalnya bersetuju dengan sistem komunisme yang dimiliki oleh kerajaan, lama kelamaan jelak dengan hidup miskin dan tidak berharta. Hal-hal seumpama inilah diakhirnya melumpuh komunisme dan tidak mampu untuk mengembalikannya semula.

Sementara Liu Wenli walaupun dilamar oleh He Zhiwu yang lebih kaya, tetapi masih mahu meneruskan hubungannya dengan tunang (dan kemudian menjadi suami pertamanya) walaupun dikhabarkan bahawa lelaki itu tidak baik. Begitu juga dengan simbol yang digambarkan menerusi watak suami keduanya iaitu Cikgu Liu (yang hodoh dan merupakan seorang guru matematik). Secara tidak langsung ini memberi gambaran mengenai negara China dan golongan pemerintahnya (hodoh, tersepit, tidak mewah). Sebenarnya Mo Yan sejak dari awal novel telah telah memebri "hint" tentang bagaimana seorang guru hampir tercekik bola pingpong anak muridnya dengan pemerintahan yang akhirnya 'termakan janji-janji utopianya pada rakyat' dan hampir terbunuh. Hal ini sangat sesuai dikaitkan dengan pemberontakan Tianmen Square di mana memperlihatkan rakyat China hampir "melumpuhkan kerajaan". Di sini, Mo Yan menperjelaskan komunisme hanya sebuah reruntuhan utopia yang cuba dipercayai lagi oleh rakyat di China tetapi, secara perlahan-perlahan “menolak” dalam diam. Liu Wenli meskipun digambarkan bahagia dengan suami-suaminya (yang kedua-duanya digambarkan sebagai 'kerajaan' kerana seorang guru dan seorang anak seorang tentera yangberpengaruh) tetapi, sebenarnya siapa yang lebih kuat? Sudah semestinya Liu Wenli! Di tangannya 'kerajaan mengikut kata rakyatnya'.

Yang paling mengesankan dalam novel ini adalah, apabila He Zhiwu pada akhirnya menjelaskan kapitalisme (dalam hal ini kelebihan material) bukanlah semata-mata yang penting untuk sesebuah masyarakat. He Zhiwu kemudian mengambil contoh apa yang terjadi dengan kehidupan Liu Wenli (yang meski tidak kaya tetapi hidup bahagia). He Zhiwu bersetuju bahawa, kemewahan hati yang baik yang seterusnya akan menjadikan seseorang itu menjadi lebih tenang dan bahagia dalam kehidupannya serta memenangi peperangan ideologi.

Keunikan penceritaan yang mengangkat ‘kisah-kisah lain’ kehidupan masyarakat inilah menjadikan novel ini menarik untuk dihadam pembacanya. Penulisan yang lancar, menyangkut lebih kepada pergolakan manusia dalam sistem komunisme dan bagaimana meneruskan kelangsungan hidup "mencari ruang dan peluang" amat unik.



*Ulasan ini untuk Pertandingan Ulas Buku di Blog/Facebook 2016.

Sunday, April 03, 2016

Rindu


seusai perulangan mimpi
ada kerinduan
menatapmu 
sekali lagi.


Cyberjaya



*Gambar di Taman Kinabalu, circa Disember 2015.

Wednesday, February 17, 2016


kalau menghindar itu perlu
janganlah dengan sembunyi.
pergilah berpetualang ke pulau seribu
jauh jauh tak terpandang lagi.

kalau membenci itu mudah
janganlah dengan diam
biarku tahu di mana sumpihnya
cepu yang ku buat
menyimpan hati.


Putrajaya.


*Gambar di Kota Kinabalu Waterfront, Sabah,

Saturday, January 23, 2016

2016 dan Saya


Saya telah mengusaikan Permenant Head Damage saya di UKM akhir tahun lalu. Kini, dalam penantian untuk ke mana destinasi saya seterusnya (entah-entah sekali lagi ke Borneo...haha), saya ripuh dengan pekerjaan mengusaikan dan menguruskan kerja-kerja penerbitan (ilmiah dan kreatif) seseorang tokoh yang saya hormati.


Namun, saya sangat gemarkan keripuhan kini. Gitu...



Wajah tahun baharu saya. Semoga lebih matang dan lebih bijak mengatur percaturan hidup. Pohon doanya.

Friday, January 15, 2016

Senja


*Senja di Ranau, Sabah (circa Mei 2014)



Aku sudah lupa
bagaimana warna senja
jatuh ke mukamu
ketika setiap satunya hilang 
saat-saat kau jauh.

Monday, October 26, 2015

Puisi-Puisi Baharu di Media

Beberapa puisi baharu;

1. Puisi "Perihal Kehilangan" ini diterbitkan dalam Majalah PENTAS Januari-Julai 2015 terbitan Istana Budaya. Sebenarnya puisi ini diilhamkan atas kehilangan saya kepada salah seorang kawan yang telah pun saya anggap sebagai abang, penyair Rahimidin Zahari dan juga editor majalah ini.



2. Menterjemah Sejumlah Sifir Tentang Manusia datang kemudian dalam bulan September 2015 diterbitkan di Mingguan Malaysia. Alhamdulilah puisi ini menerima reaksi positif dan membuat saya terkejut sebenarnya. Sejujurnya, saya tidak merasakan puisi ini yang terbaik tapi, jika pembaca mendapat sesuatu daripadanya, saya sudah merasa lengkap dan puas.


3. Yang paling terbaharu adalah puisi Matahari Dalam Bungkusan yang diterbitkan Berita Harian Ahad 25 Oktober 2015. Ini reaksi spontan saya ketika menonton 'teaser' sebuah dokumentari khas mengenai jerebu di Palangkaraya. Sebak melihat reaksi mangsa dan persekitarannya. 



Alhamdulilah. Hargailah sesuatu yang kecil-kecil itu, pernah guru saya bilang begitu. Ya, manalah tahu dari yang kecil ini banyak mengajari kita untuk menghargai yang lebih besar-besar setelah itu.

Sunday, June 28, 2015

Kasur Kata-Kata





Kalau tidur itu kasur
menundukkan kata-katamu
susunlah satu persatu
di lembar mimpi.


Serdang
Jun 2015.


*Gambar di Anjung Senja, Kota Kinabalu ketika menanti malam April 2013.

Monday, June 22, 2015

Membaca Arena Wati dan Menanggapi Sikapnya Menerusi Karya-Karyanya


Oleh: Hani Salwah Yaakup

Saya suka acara ini. Santai. Semua yang duduk, lalu lalang pun boleh dengar. Bukan soal berapa ramai yang dengar tetapi, berapa orang yang akhirnya bertanya dan teruja untuk mengenali siapa Arena Wati dan membeli buku-bukunya. 


Karya-karya Arena Wati sedikit datang terlewat dalam hidup saya. Meskipun dalam mengakui diri sebagai seorang biblioholik dan menjadikan perpustakaan sebagai tempat paling bermakna sewaktu masih kecil, mata berpampasan dengan nama Arena Wati pada tulang buku yang dipamerkan di ruang perpustakaan itu merupakan hal biasa. Namun, semacam belum datang perasaan untuk mendalami karya-karya Allahyarham. Malah saya masih ingat seorang teman baik lelaki saya menyodorkan buku Bunga Dari Kuburan (DBP: 1987) ketika saya di tingkatan 2, saya ambil dan baca beberapa halaman pemula. Buku itu saya pulangkan tanpa pernah menyudahkan.

Sekali lagi karya Arena Wati disuguh oleh Faisal Tehrani kepada peserta Minggu Penulis Remaja (MPR) 2001. Ketika itu saya memasuki sebagai salah seorang peserta. Kata beliau, untuk menjadi penulis yang baik, trilogi bunga (Bunga Dari Kuburan, Kuntum Tulip Biru dan Sakura Mengorak Kelopak) karya Arena Wati adalah kemestian. Namun, pesan beliau masih belum benar masuk ke dalam hati saya. Benarlah kata orang, sesuatu karya itu akan hanya dihargai sesuai dengan umur dan zaman. Setelah tamat pengajian ijazah sarjana muda di Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan keinginan menulis sastera itu kembali semula (saya idle dari dunia sastera hampir 5-6 tahun cuma menulis untuk media penyiaran radio dan juga menulis lirik), pesanan ini kembali. Lalu, saya mencari buku ini dan menemui Sakura Mengorak Kelopak terlebih dahulu kemudian Bunga Dari Kuburan dan terakhir setelah lelah mencari untuk menamatkan pembacaan trilogi ini, sahabat saya Nasriah Abdul Salam menemui buku terakhir iaitu Kuntum Tulip Biru sebagai hadiah hari jadi pada tahun 2008. Sejak itu, saya jadi pemuja karya Arena Wati.

Siapakah Arena Wati? Arena Wati adalah nama pena kepada Sasterawan Negara ke-5 (1987) iaitu Andi Mohallang bin Abdul Biang yang memberi ciri khas nama yang berlatar belakang bangsawan Makassar (Norhayati Rahman 2009). Namun, setelah menjadi seorang pelaut namanya kemudian diubah menjadi Andi Muhammad Dahlan bin Abdul Biang. Allahyarham di lahirkan di Kalumpang, sebuah desa berhampiran dengan kawasan pantai di Kabupaten Jeneponto yang berjarak 120 km dari Makassar. Arena Wati pernah digelar sebagai seorang Belanda yang tidak jadi kerana kesukaannya ke sekolah untuk menuntut ilmu (dlm Enda Gulingku 1991). Pendidikan formal terawal yang diperolehinya adalah di Vor Volk School dan kemudian ke Hollands Indische School (HIS). Namun, kerana perang dunia kedua, Arena Wati tidak dapat menyambung pengajian. Walaupun begitu, Allahyarham sempat menyelesaikan ko-kurikulum MULO (Meer Uitbegreid Lager Onderwijs) dan seterusnya ke HBS (Hoogere Burger School). Seterusnya, Allahyarham sempat melanjutkan pelajaran ke bidang undang-undang laut pada awal 1945 dan setelah itu meneruskan pengajian ilmu pelayaran moden secara rasmi di Singapura mulai Oktober 1945 (Kamarudin Mohd Said 2009).

Sewaktu pelajarannya terhenti kerana perang, Allahyarham telah menggunakan kesempatan ini dalam menimba pengalaman sebagai pelaut. Oleh kerana Allahyarham yang telah terbiasa menjadi seorang pelaut (hasil didikan ayahnya Abdul Biang) dan pengalamannya menjadi nakhoda Skuner, Allahyarham telah menjadi pelaut untuk belayar lebuh jauh dari Makassar ketika berusia 17 tahun 6 bulan. Kesempatan ini digunakan sebaiknya oleh Allahyarham untuk belayar di sekitar Asia Tenggara iaitu ke Pulau Jawa, Singapura sehinggalah ke Thailand. Pengalaman sebagai pelaut inilah diserapkan menerusi karya-karya Allahyarham setelah bergelar penulis di kemudian hari.

Bagaimana Arena Wati mula menulis? Semuanya bermula apabila berutus surat dengan seorang gadis Pontian yang dia temui dalam majalah Hiboran No 87 yang diterbitkan pada 16 April 1949. Majalah ini menyiarkan gambar Halimah seorang pelajar Malay Girls School Pontian Kecil, Johor yang gemar mengembara. Berpandukan kepada alamat yang disertakan, Allahyarham telah berutus surat dengan gadis ini. Menerusi surat-surat ini tiada sebarang pernyataan perasaan cinta tetapi, lebih kepada persahabatan yang baik antara Arena Wati dan Halimah. Malah dinyatakan Arena Wati bukanlah orang yang mudah untuk menaruh hati kepada jantina berlawanan namun, Halimah menjadi sahabat penanya yang tidak jelas atas dasar apa perlunya mereka itu berutus surat. Mengetahui akan hal ini, ibunya telah menunangkan Arena Wati dengan sepupunya. Namun ketentuan Allah mengatasi segalanya, perkahwinan Arena Wati dan Halimah berlangsung juga di Makassar pada 20 Mei 1954 setelah 11 hari Halimah tiba di Makassar. Halimah menyanggupi perkahwinan ini dengan syarat bahawa mas kahwin itu ialah bakti daripada Arena Wati kepada perjuangan bangsa Melayu (dlm Enda Gulingku 1991).

Arena Wati setelah itu mengikut Halimah pulang ke Pontian Kecil dan kemudian memulakan pekerjaannya sebagai seorang wartawan di majalah Hiboran dan Hiboran Filem terbitan Royal Press, Singapura. Bermula detik baharu dalam diri Arena Wati daripada seorang pelaut kepada dunia kepengarangan. Setelah itu Allahyarham bekerja di sebuah syarikat pencetakan Penerbit Melayu di Johor Baharu sebagai Timbalan Pengurus sehingga Julai 1961. Allahyarham kemudian menjadi editor selama 13 tahun di Pustaka Antara, Kuala Lumpur. Kamarudin Mohd Said 2009) menyatakan dalam tahap pertama kegiatan kepengarangannya ini, Arena Wati telah melahirkan 14 buah karya yang bersifat etnografi-fiksyen seperti Kisah Tiga Pelayaran (1959); Tingkah Manusia (1960); Jalan Malam Ke Ibu Kota (1961); Gelora (1963); Perkembangan Kesusteraan Melayu (1964); Asas Pengetahuan Puisi (1965); Bentuk Sastera (1965); Lingkaran (1965); Burung Badai (1967); Johor Baharu (1967); Cerpen Zaman Jepun: Kajian (1967); Gandaria (1970); Sandera (1971) dan Dusun (1978).
Abang yang sedang berehat dari riadah juga duduk sebentar dan bertanya mengenai Arena Wati. Sempat menelaah kertas saya malah bertanya mana mahu dapatkan buku Pak Arena Wati

Pada tahun 1974, Allahyarham Arena Wati telah dilantik sebagai Pegawai Penyelidik, merangkap Ketua Jabatan Perancangan dan Penyelidikan di Yayasan Sabah dan menyandang jawatan ini selama 12 tahun. Dalam rangka penyelidikan inilah beliau telah mendapat peluang menjadi Felo di Universiti Cornell di Amerika Syarikat, Universiti Leiden di Holland dan Universiti Kyoto di Jepun. Setelah tamat perkhidmatannya di Yayasan Sabah, Allahyarham telah pulang ke Semenanjung Malaysia dan menjadi Karyawan Tamu dan pensyarah di Fakulti Sains Pembangunan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) antara Mac 1986 sehingga April 1988 dan kemudian sebagai Karyawan Tamu di Institut Bahasa, Kesusteraan dan Kebudayaan Melayu di universiti yang sama. Setelah tamat di UKM, Allahyarham telah menjadi Karyawan Tamu di Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur dari tahun 1991-1992.

Pengalamannya di Sabah telah menghasilkan karya trilogi (Eno, Royan dan Rontok) yang diterbitkan pada tahun 1980, Barabatu (1984). Sementara daripada catatan-catatan sewaktu bertugas di Sabah, beliau telah menghasilkan trilogi Busa (Busa Hati, Busa Sukma dan Busa Kalbu) yang diterbitkan oleh Penerbit UKM pada tahun 2002. Selain itu, karya yang dihasilkan seterusnya adalah trilogi Bunga (1987); Syair Pengeran Syarif (1989); Syair Pengeran Syarif Hashim al-Qudsi (1989); Syair Perang Cina di Monterado (1989); Pantai Harapan (1990); Turina (1991); Citra (1991); Memoir Arena Wati: Enda Gulingku (1991); Sarida (1992); Ombak Samudera (1992); Meniti Kala (1993); Panrita (1993); Gami (1993); Sudara (1994); Mevrouw Toga (1995); Cerpen: Pengalaman & Tanggapan (1995); Jejak Kreatif (1996); Koleksi Terpilih (1996); Begawan (1996); Sukma Angin (1999); Getir-Getir Malaya (2000); Trilogi Busa (Busa Hati, Busa Sukma, Busa Kalbu) yang diterbitkan pada 2002; trilogi Armagedon (Mandala, Menorah & Pentagon) yang diterbitkan pada 2004; Kutukan Dari Langit (2004); Langkah Pertama (2004); Warna Sukma Usia Muda (2005); 7 Tegak Bersama (2005); Antara Dua Deru (2005); Sebuah Trilogi: Samira (2005); Cakra Waruga (2006); Samira (2006); Antara Manusia (2006); Kepala Bapak Itu (2006); Warna Hati Era Remaja (2008); Warna Kalbu Zaman Dewasa (2009); Pada Sayap Burung Helang (2010) dan Rindu Aroma Padi Bunting (2012).


Di samping itu, orang ramai juga boleh datang pinjam buku yang mereka sediakan :)

Arena Wati terkenal sebagai pengarang yang menghasilkan novel secara trilogi. Siri trilogi yang paling mengesankan adalah trilogi Bunga. Menerusi trilogi ini, beliau memilin pengalaman peribadi sebagai masyarakat Asia, budaya setempat di Amerika Syarikat, Belanda dan Jepun berserta isu semasa yang sedang hangat di situ pada waktu itu. Selain itu, trilogi yang dihasilkan oleh Arena Wati adalah trilogi (Eno, Royan, Rontok); trilogi Busa (Busa Hati, Busa Sukma, Busa Kalbu); trilogi Armageddon (Mandala, Menorah, Pentagon) dan terakhir trilogi yang sempat disiapkan sebelum Allahyarham meninggal dunia kesinambungan kepada novel Sukma Angin iaitu novel Pada Sayap Burung Helang dan Rindu Aroma Padi Bunting. Namun begitu, Allahyarham tidak sempat melihat kedua-dua buah buku ini dijelmakan dalam bentuk buku kerana telah menemui Penciptanya pada 25 Januari 2009. Manuskrip ini telah diserahkan kepada Sasterawan Negara Dato’ Dr Anwar Ridzwan untuk tujuan suntingan. Allahyarham hanya mempercayai SN Anwar Ridzwan dalam menyunting manuskripnya kerana SN Anwar Ridzwan adalah seorang yang teliti dan lebih memahami apa yang hendak dia sampaikan dalam karya-karyanya. Pada Sayap Burung Helang telah diterbitkan oleh pihak Dewan Bahasa & Pustaka pada 2010 dan Rindu Aroma Padi Bunting pada tahun 2012.

Sikap dalam karya Arena Wati? Kekuatan utama pengisian karya-karya Arena Wati adalah menggunakan pengalaman peribadi sebagai tunjang utama penulisan. Pengalaman yang diraihnya sebagai pelaut yang mengembara di kawasan Asia Tenggara selama 9 tahun diaplikasikan dengan baik contohnya dalam karya seperti Sukma Angin. Pergolakan semasa seperti Perang Dunia Kedua, penjajahan kuasa asing (Belanda, Jepun dan Inggeris) diaplikasikan apabila menulis karya awalnya seperti Lingkaran dan Sandera. Penulisan ini nampak lebih ‘real’ di mana Arena Wati telah menggunakan semangat zaman itu dalam mengemukan pertelingkahan watak dengan permasalahan semasa. Watak Busad yang menentang penjajahan Jepun di Makassar telah membawa semangat serupa apabila berpindah ke Tanah Melayu malah menularkan semangat kebangsaan dan semangat Melayu ini kepada rakan-rakannya seperti Hakim Mahmud, Zahid, Andang dan Midah.

Selain itu, kelebihan seorang bernama Arena Wati ini adalah kebolehannya mengaplikasikan pengalaman tempatan semasa mahupun amalan budaya sesebuah bangsa yang di diaminya. Cara pengolahan ini kemudiannya disesuaikan dengan sesuatu yang dekat dengan pembaca Melayu. Trilogi Busa umpamanya berbicara mengenai pergolakan politik negara di samping turut mencuit pengalamannya ketika bekerja di Sabah. Begitu juga dengan trilogi Bunga. Pada saya trilogi Bunga adalah masterpiece Arena Wati bila mana menerusi pengalaman tiga budaya berbeza diperhalusi dengan baik dan diangkat bergaul dengan permasalahan semasa yang sedang hangat di tempat berkenaan. Paling saya ingati dan meninggalkan bekas sehingga kini adalah tentang bagaimana seorang wanita Jepun bernama Michiko yang telah merubah kedudukannya sebagai seorang wanita Jepun yang taat kepada adat resam dengan meninggalkan kebiasaan yang padanya menekan kedudukan wanita. Perbuatan suaminya yang membunuh diri menerusi upacara tradisi hara-kiri bersama seorang wanita yang sedang mengandung dirasakannya keterlaluan. Lalu, dia menolak mayat suaminya dan kemudian memeluk Islam dan berkahwin dengan seorang lelaki Melayu.

Arena Wati pada saya seorang feminis. Berdasarkan kepada kajian yang dilakukan oleh Siti Aishah Murad (2009), terdapat 9 watak wanita yang dipaparkan sebagai wanita yang progresif, sedar akan dirinya dan memperjuangkan nasib kaum dan bangsanya. Kajian ini hanyalah terhad kepada novel yang dihasilkan dari tahun 1965 sehingga tahun 1995. Bolehlah kajian ini dilanjutkan dengan memasukkan watak wanita hebat seperti dalam Armageddon (Mandala) di mana wanita dicirikan tidak semata sebagai pengurus hal domestik rumah tangga tetapi, perancang dan orang penting dalam sesebuah perusahaan (watak seperti ini juga dilihat sama dengan watak Samira dalam novel Samira dan wanita dalam trilogi Pantai Harapan, Turina dan Citra yang diterbitkan pada tahun 1990) (Mohd Hanafi Ibrahim 2009; Siti Aishah Murad 2009).

Jika pada permulaan pengkaryaannya, Arena Wati membawakan pengisian mengenai pergolakan politik, perang dan perjuangan menutut kemerdekaan yang turut diadun dengan pengalamannya sebagai pelaut, namun setelah berpulang dari luar negara dan banyak sekali mengaut pengalaman yang lebih universal, pengkaryaan Arena Wati nampak lebih mendunia. Pengisiannya kini mengenai permasalahan ekonomi yang dikuasai Yahudi dan Cina, pengeboman dan penganasan, rasisme serta politik dunia. Ini jelas dalam karya-karyanya seperti trilogi Armageddon, trilogi Bunga malah semakin jelas dalam dua karya mutakhir Allahyarham.

Jujur saya katakan, tidak mudah untuk membaca Arena Wati bukan kerana pembicaraannya membosankan tetapi, untuk membaca Arena Wati seseorang pembaca itu seharusnya bersedia daripada aspek fizikal dan juga mental. Fizikal di sini bermaksud novel Arena Wati bukanlah novel untuk seseorang yang berharapkan eskapisme daripada permasalahan semasa mahupun sebagai hiburan memugut kata-kata dan merehatkan minda. Karya-karyanya justeru mengkehendaki seseorang pembaca bersedia untuk dicabar mahupun diberi klu-klu terhadap apa yang akan berlaku dalam plot seterusnya dalam ceritanya (lihat Armageddon: Mandala (2004)). Menerusi novel ini, Arena Wati malah secara bijaknya menyusun klu-klu bertujuan untuk meletopkan bom. Perkara ini seakan-akan terselindung dan pada mulanya kita akan menyangka ia hanya seakan kod kod teka teki. Di akhirnya, kita akan tersedar akan keindahan penyusunan kraf seorang Arena Wati. Kepuasan menelaah karya Arena Wati sebenarnya menjadikan kita penat. Namun, pada setiap penghujung karyanya ada semacam kepuasan yang sukar saya jelaskan bagaimana. Lalu, kita akan mencari lagi dan lagi karyanya untuk dibaca. Umpama ubat yang pahit, kita sukar untuk menelannya pada mulanya tetapi, ubat itulah nanti akan membantu kita untuk melawan sebarang penyakit (dengan izin Tuhan tentunya).


Keluarga ini malah mahu beli koleksi trilogi bunga milik peribadi saya. Alololo...


Saya dan Arena Wati? Saya pernah bertemu dengannya di suatu majlis di Dewan Bahasa dan Pustaka (circa 2008). Seperti penulis pemula yang lainnya, saya menikmati ketokohan beliau hanya dari jauh. Waktu itu saya segan terlalu melihat seorang Arena Wati masuk dengan tongkat dan songkok hitamnya ke ruang seminar. Setelah pertemuan itu, saya mengutuk diri sendiri kerana tidak pernah berani untuk bertegur sapa kerana Arena Wati dimasukkan di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) dan bertemu Kekasihnya setelah itu. Malah kegilaan saya pada keterangan-keterangannya mengenai Makassar dan Pantai Losari secara amnya telah membuatkan saya sampai ke Ujung Pandang, Sulawesi Selatan awal tahun 2014. Ya Allah, saya sampai ke Pantai Losari semata-mata membaca cerita yang ditulisnya. Sesungguhnya, kesan pembacaan terhadap karyanya banyak meninggalkan kesan yang baik untuk diri sebagai manusia amnya dan pengarang khasnya.

Al-fatihah.

RUJUKAN
Arena Wati. 1991. Memoir Arena Wati: Enda Gulingku. Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia.
Siti Aishah Murad. 2009. Wanita Di Tangan Arena Wati: Menafikan Teori Feminist Critique. Kertas Kerja Pemikiran Arena Wati Lambang Kesejagatan Sastera Kebangsaan. Dewan Bahasa dan Pustaka, 9-10 Jun 2009.
Hazami Jhari. 2009. Sandera: Dari Sudut Puitika Melayu. Kertas Kerja Pemikiran Arena Wati Lambang Kesejagatan Sastera Kebangsaan. Dewan Bahasa dan Pustaka, 9-10 Jun 2009.
Kamaruddin Mohd Said. 2009. Kertas Ucap Tama. Kertas Kerja Pemikiran Arena Wati Lambang Kesejagatan Sastera Kebangsaan. Dewan Bahasa dan Pustaka, 9-10 Jun 2009.
A Halim Ali. 2009. Kemudi Perjalanan Hidup Arena Wati Dalam Enda Gulingku. Kertas Kerja Pemikiran Arena Wati Lambang Kesejagatan Sastera Kebangsaan. Dewan Bahasa dan Pustaka, 9-10 Jun 2009.
Nurhayati Rahman. 2009. Arena Wati: Jambatan Tamadun Di Nusantara. Kertas Kerja Pemikiran Arena Wati Lambang Kesejagatan Sastera Kebangsaan. Dewan Bahasa dan Pustaka, 9-10 Jun 2009.
Mohd Hanafi Ibrahim. 2009. Sosialisasi Hubungan Gender Dalam Novel Samira. Kertas Kerja Pemikiran Arena Wati Lambang Kesejagatan Sastera Kebangsaan. Dewan Bahasa dan Pustaka, 9-10 Jun 2009.


***Disediakan untuk Bicara Karya & Sikap Arena Wati Edisi 67 #12 Sasterawan, 31 Mei 2015 di Taman Tasik Titiwangsa oleh Buku Jalanan Titi.

Sunday, May 31, 2015

Berenang Dalam Segara Kehidupan: Setelah Membaca Segara Lazuardi



Tajuk:        Kumpulan Cerpen Segara Lazuardi
Pengarang: Tiras Raduan
Harga       : Semenanjung Malaysia (RM 25.00) / Sabah & Sarawak (RM 30.00)
Tahun Terbitan: 2015
Anugerah Yang Diraih : Hadiah Saguhati (Kategori Kumpulan Cerpen)
                                        Sayembara Penulisan ITBM-PENA-BH 2
Penerbit    : Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) & Persatuan Penulis Nasional Malaysia
                   (PENA)
Halaman   : 156 halaman


Saat ini anda baru sahaja membeli tiket untuk menikmati percutian anda dengan kapal persiaran ke sebuah detinasi. Kemudian masuk ke perut kapal dengan teruja untuk memulakan sebuah kembara yang destinasinya pastilah selama ini hanya ada dalam bayangan tetapi, belum pernah anda jejaki. Keindahan dalam kapal itu walau bagaimanapun tidak mengekalkan anda untuk berlama-lama di dalamnya. Keseronokkannya pastilah pada keindahan luaran (jika tidak anda tidak menempah tiket kapal persiaran!). Anda menyingkap langsir dan melihat birunya laut, riak-riak kecilnya pecah seribu di permukaan air. Anda sudah tidak sabar untuk berlepas. Menikmati alam yang terbentang luas, mempelajari seluruh ilmu yang terkembang menjadi guru.

Segara Lazuardi dimulakan dengan prakata penulisnya, Tiras Raduan yang membicarakan inspirasi keseluruhan kumpulan cerpen ini mendatanginya dalam bentuk kata-kata dari teks lama yang rapat dengan alam dari adat Minangkabau "Nan satitiek jadikan lawik (yang setitik jadikan laut), nan sekapa jadikan gunung (yang sekepal jadikan gunung) dan alam takambang jadikan guru (alam terkembang jadikan guru). Maka, mengambil inspirasi itu, penulis menyatukan kesemua 12 cerpennya dalam sebuah kesatuan laut dan semua yang berkait dengannya. Lalu, barangkali imaginasi saya sewaktu menyingkap halaman pemula Segara Lazuardi bahawa kumpulan cerpen ini akan membawa saya menikmati sebuah ekspedisi yang tidak pasti. Namun, perjalanan itu menongkah segara yang luas, tidak bertepi dan di sepanjangnya sejumlah cerita terselit minta diperhatikan dengan semua mata, mata fikir dan mata hati.

Sauh pun dibongkar. Kapal menjauh tebing. Perjalanan setelah itu dimulai. Perlahan-lahan dan kemudian semakin lama semakin deras. Anda duduk di buritan kapal sambil melihat air laut membentuk gelombang-gelombang kecil dan kemudian tinggal di belakang kapal menjadi buih-buih kecil, putih dan tercium hamis masin. Seperti itu jugalah Laut: Naratif Seorang Perempuan bercerita pada pembacanya. Ia soal kenangan dan kehidupan di masa lalu. Bagaimana laut disimbolkan sebagai seisi kehidupan seorang perempuan muda bersama seorang rakan menempuhi usia-usia remajanya dalam bersahabat, menikmati persekolahan dan yang penting menghargai perbezaan yang dimiliki seseorang individu.

Perjalanan di teruskan. Daratan masih kelihatan. Kapal masih belum amat jauh dari pesisir. Anda yang masih belum beralih dari buritan terlihat ke arah darat dengan bangunan putih tinggi menghadap ke laut. Kata seorang pelancong lain kepada anaknya, itulah rumah api. Di bina di tepi laut di sebuah tanjung yang terbentuk lebih panjang sedikit ke hadapan dan meninggalkan daratan lebih ke dalam. Cerpen kedua bermula dengan penemuan seorang tukang bersih rumah api yang menemui seorang wanita hamil yang mahu membunuh diri. Kebijaksanaan hikmah seorang lelaki Melayu Islam tukang pembersih rumah api itu telah menyelamatkan wanita berkenaan. Memperisterikan dan mengasihaninya. Lalu, cinta datang kemudiannya. Begitulah cinta sememangnya. Hadir tanpa isyarat tetapi, meninggalkan kesan paling abadi.

Lama kelamaan kapal yang bergerak menuju destinasinya, meninggalkan pantai sayup-sayup jauh lalu hilang. Pantai: Naratif Seorang Sahabat adalah kisah masa lalu. Kenangan. seperti pantai yang jauh ditinggalkan kapal yang bergerak, begitu juga pantai yang telah tidak kelihatan tetapi, tidak bererti tidak hidup dalam sebuah memori. Pantai adalah kisah sahabat yang bertemu dan berpisah kerana takdir. Kenangan-kenangan ini diukir pada karang yang diberikan sebagai hadiah oleh seorang sahabat kepada sahabatnya. Namun, takdir juga menemui mereka kembali. Karang terakhir masih belum diberi kepada pemiliknya dan pemiliknya sudah tidak mampu bangkit dari komanya. Lalu, yang tinggal masih kenangan.

Segara Lazuardi kemudian ditimpa gelombang seperti juga kapal yang anda naiki. Setelah daratan hilang terus dari pandangan, anda kembali ke bilik namun disapa mabuk membuat anda muntah berulang-ulang. Gelombang: Kisah Seorang Isteri adalah kisah lara. Duka yang sekian lama dihimpun pada juring hati seorang isteri. Namun, longgokan itu sudah tidak mampu lain ditutup lalu, menjadi gelombang yang turut memabukkan mangsanya. Kemudian turut juga hampir mengakibatkan seluruh anak kapal hilang pertimbangan dan terus hanyut ke laut. Mujur, gelombang ditahan dengan kekuatan yang masih ada pada hati. Kisah Siput: Kisah Seorang Anak yang datang setelah itu adalah simbolik kepada kisah anak-anak kapal yang merasai gelombang besar sebelumnya. Namun, menjadi anak kapal dalam gelombang besar mereka hanya mampu berpaut pada kekuatan dan keputusan juragan kapal. Cuma, pada akhirnya mereka adalah pemerhati yang turut serta menerima tempias tetapi, tidak mampu berbuat apa-apa tanpa arahan ketuanya.

Setelah gelombang besar yang memintal perut semua yang ada di kapal yang sedang menuju destinasi, datang ribut dan angin kencang. Anak-anak kapal bekerja keras untuk memastikan kapal tidak binasa. Begitu juga dengan kisah Ribut: Kisah Seorang Adik yang bertahan untuk menjaga harta pusaka yang diberikan oleh orangtuanya. Namun, ada adik beradik yang berasa iri dan mahu menyusahkan keadaan adik. Seperti ribut, pasti ada yang terkorban, kisah ini ditamatkan dengan kemenangan kepada mereka yang sabar dan petunjuk kepada yang sebaliknya.

Kapal: Naratif Seorang Darwis pula mengisahkan seorang pencari yang mencari di mana dia boleh bergantung harap. Oleh kerana itu, dia belayar menuju pulau-pulau jauh dengan kapalnya untuk mencari dirinya. Di sepanjangnya di ketemui kegagalan dan jalan yang meletakkannya di persimpangan terhadap keyakinannya pada Tuhan. Namun, akhirnya, pelayaran juga menemukannya pada kasih sayang Allah dan berhenti belayar dan menikmati pandangan kapal dari tepi admiralti yang sedang dia bekerja. Kisah ini dapat disamakan dengan Kelasi:Naratif Seorang Pengembara. Namun, dalam kisah Kelasi ini apa yang menarik adalah peralatan pelayaran yang moden juga tidak terbanding pengalaman yang mengajar bagaimana untuk menempuh gelombang dan ribut dengan lebih selamat dalam kehidupan ini. Watak-watak ini akan anda temui setelah beberapa hari belayar dan berkenal mesra di kafe.

Perjalanan dilanda gelombang dan ribut menemukan anda pada jeti di mana kapal itu akhirnya berhenti. Anda turun dan seperti mahu mencium tanah kerana akhirnya perjalanan panjang yang penat itu menemui penghujung. Namun, di situ anda menemui seorang tua duduk seperti menanti. Tiras Raduan memasukkan ini dalam Jeti: Naratif Seorang Ibu. Kisah seorang tua yang duduk seakan menanti seseorang di jeti. Hakikatnya, tiada siapa lagi yang dia nantikan kerana semua yang ada padanya telah hilang. Penantiannya saban pagi dan petang di jeti itu untuk bisa meletakkan waras pada fikirannya dan kemampuannya untuk meneruskan kehidupannya setelah kematian suami, anak dan 'kehilangan' anak-anaknya.

Setelah itu, anda pulang ke tempat penginapan. Mahupun menuju pulang ke sarang anda kembali. Anda dihimpit memori dalam perjalanan anda dalam kapal yang disapa gelombang dan ribut serta berkenalan dengan manusia yang turut menumpangi kapal berkenaan. Anda teringatkan muara di hujung perjalanan anda yang tenang. Muara: Naratif Terakhir dalam Segara Lazuardi adalah kisah di mana akhirnya dalam sebuah perjalanan kita hanya mahu pulang ke destinasi terakhir iaitu ke pangkuan Tuhan dengan rasa tenang. Kisah ini mengenai seorang anak yang berkorban serba serbi hidupnya untuk kesenangan orangtuanya. Sehingga menafikan kebahagiaan diri sendiri. Malah pernah melakukan banyak kesilapan dalam kehidupannya. Namun, akhirnya Tuhan memulangkannya sebagai seorang yang 'telah berpulang' ke pangkal jalan. Begitulah juga sebuah perjalanan sepatutnya. Berpulang ke tempat awal perjalanan dimulai.

Secara sedar atau tidak, saya merasakan penulis sebenarnya membawa kita kepada beberapa kali kepada watak yang sama yang pada hemat saya seakan-akan berkesinambungan. Kelasi dalam Kelasi: Naratif Seorang Pengembaran dan watak anak seorang wanita tua dalam Jeti: Naratif Seorang Ibu seakan-akan adalah watak yang sama. Kedua-dua watak ini mahu mencari hidup dengan mengembara seperti juga harapan anak wanita tua yang 'hilang' menjadi kelasi kerana mahu mencari sebuah kehidupan.

Segara Lazuardi adalah kisah manusia biasa yang mencari kebahagiaan, sekadar untuk menegakkan kewarasan fikiran disebabkan permasalahan-permasalahan kehidupan mahupun kenangan yang tidak mampu dibuang dari fikiran seorang manusia. Namun, inilah kelainan sebenarnya. Ketika penulis lain sudah beralih untuk menulis mengenai falsafah, sejarah dan sesuatu yang nampak besar dan hebat, mereka sering melupakan bahawa menjadi manusia kita masih terikat kepada hal-hal kecil seperti ini untuk terus menongkah arus ke hadapan. Ketakutan ini barangkali timbul kerana ketakutan bahawa karya seumpama ini tidak dapat meraih pembaca. Sepatutnya, sesebuah karya yang molek mampu memilin kedua-dua elemen ini secara bersekali supaya karya yang dihasilkan tidak sahaja dianggap baik tetapi, mampu menyentuh hati pembacanya. Itulah sebuah kemenangan sejati untuk seorang penulis.

Penulis Tiras Raduan saya kira cuba bereksperimen dalam penulisannya. Cerpennya panjang sedikit jika dibandingkan dengan cerpen-cerpen yang biasa. Penceritaannya tidak linear malah seseorang pembaca perlu memberi perhatian terhadap tulisannya. Pada awal cerpennya boleh sahaja beliau memerihalkan mengenai latar sesebuah cerpen seterusnya masuk ke kehidupan watak dan kemudian kembali kepada hal lain. Ini eksperimen yang tiadalah cacatnya cuma, barangkali masih belum begitu kemas dan kadangkala dilihat seperti memberitahu bukan memerlihalkan. Pembaca muda mungkin akan cepat jemu pada penulisan gaya ini. Namun, kecantikan karya ini mungkin pada rentaknya yang laju lalu secara tidak langsung menutup kesilapan berkenaan.

Pujian perlu diberikan kepada Tiras Raduan. Kumpulan cerpen ini memilih satu tema iaitu laut dan sesuatu berkait dengannya. Lalu, kesatuan inilah pada akhirnya yang menjadikan kumpulan ini berjaya dalam sayembara ITBM-PENA-BH 2. Kesatuan ini meskipun tidaklah memberi kesinambungan sebuah cerita kepada sebuah cerita setelah itu, namun hal inilah yang menimbulkan sebuah penyatuan yang secara 'ghaib'nya memberi nilai tambah kepada kumpulan ini.

Meskipun pembaca dapat disimbolkan sebagai 'penumpang' dalam kapal yang menuju sebuah destinasi jauh, kumpulan cerpen ini menyentuh kehidupan semua yang ada di dalam kapal secara amnya untuk bertemuNYA di penghujung cerita kita.

"Aku seorang kelasi di dalam kapal-Mu yang meredah samudera luas sebelum kembali ke pelabuhan-Mu" (Kelasi: Naratif Seorang Pengembara)


*Ulasan ini ditulis untuk menyertai Peraduan Ulas Buku ITBM sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2015.

Friday, May 22, 2015

Membakar Kerinduan





Pada penjuru petang
menghadap bias matahari jatuh
aku cuba membakar kerinduan
semoga cair, tersejat dan naik ke permukaan langit
kembali kepada pemiliknya.

Justeru, sejurus tersejat
tidak ia kembali padaNYA
tapi meresap tubuhku
memesrai jiwaku
kemudian tenang
memilih kembali kasurnya
di penjuru dadaku.

Putrajaya
22 Mei 2015