Tajuk Buku: Perubahan (Change)
Penulis: Mo Yan
Terbitan: Institut Terjemahan dan Buku Malaysia
ISBN: 978-967-430-673-1
Harga: RM 20.00 (Semenanjung Malaysia)/ RM 25.00 (Sabah/Sarawak)
Tahun Terbitan: 2016
Jumlah Halaman: 103
Komunisme dalam sejarah pemikiran Barat sudah mula
diperkatakan sejak dari zaman purba yang meliputi antaranya pemberontakan hamba
Spartacus juga tidak ketinggalan pergerakan Mazdak di Parsi pada abad ke-5.
Pergerakan ini dikatakan bersifat komunis daripada kritikannya tentang
pemilikan hartanah persendirian oleh golongan institusi serta kritikan kepada
masyarakat golongan atasan terhadap keistimewaan-keistimewaan yang dimiliki
oleh mereka. Sesuai dengan kebangkitan revolusi industri pada era kemudiannya,
permasalahan sosial iaitu perbezaan kelas dan penindasan golongan pemilik
(aristokrat) terhadap golongan pekerja (proletariat) semakin jelas. Golongan
pekerja dimanfaatkan sepenuhnya untuk mencari keuntungan kepada golongan
pemilik tanpa diberi kebajikan yang sepatutnya. Waktu ini, Karl Marx, seorang
sarjana Jerman muncul membentangkan definisi baharu komunisme (baca: komunisme
moden) dalam memberi penentangan sistem kapitalisme yang menekan golongan
bawahan dengan memberi gelaran mereka yang menentang sistem kapitalis sebagai
“utopian socialist”. Definisi baharu komunisme ini kemudiannya diperjelaskan
Marx and sahabatnya, Friedrich Engels menerusi The Communist Manifesto.
Ideologi yang dibawa Marx dan Friedrich ini kemudiannya
menerima sambutan dalam kalangan negara Eropah terutamanya Rusia. Rusia pada
waktu itu mengalami krisis kewangan dan dianggap negara paling miskin di
Eropah, paling ramai buta huruf dan merupakan minoriti dalam kalangan pekerja
industri. Menerusi Revolusi Rusia kemudiannya, ideologi ini diserap masuk dalam
pemerintahan dalam usaha memajukan Rusia. Kesan daripada pengaruh Revolusi
Rusia yang turut digelar “Revolusi Oktober” ini, telah mempengaruhi masyarakat
di Tanah Besar China untuk mengambil contoh yang sama. Pada waktu ini,
intelektual China kebanyakkannya terkesan dengan ideologi komunisme
yang dibawa oleh Marx dan Friedrich. Perubahan Rusia memberi kesedaran kepada
China yang mereka juga boleh berubah untuk menentang penindasan ke atas mereka
setelah perang saudara dengan Korea dan Jepun juga gabungan kapitalis Barat
yang diketuai oleh Amerika Syarikat dalam sekutunya. Seperti Rusia, China
bangkit menjadi antara kuasa kuat dan ditakuti sewaktu perang dingin pada abad
ke-20.
Meskipun begitu, komunisme hanya sebuah ideologi yang
bersifat abstrak dan utopia. Niat asalnya untuk mewujudkan keseimbangan di
antara dua pihak (pemilik) dan golongan pekerja namun begitu, bukanlah mudah
untuk direalisasikan seperti dalam kerangka ideologinya yang molek dalam
kertas. Seiring dengan perubahan waktu, modenisasi dan isu semasa (seperti
insiden nuklear Chernobyl pada tahun 1986) telah melumpuhkan ideologi komunisme
dalam blok-blok komunisme di Eropah. Walaupun insiden pemberontakan Tianmen
Square pada tahun 1989, tidak berupaya untuk meruntuhkan komunisme di China sepenuhnya, namun begitu, hasil pemberontakan ini telah mengakibatkan banyak perubahan
dalam pentadbiran China. Hal inilah yang dibawa oleh penerima Anugerah Nobel
2012, Mo Yan dalam novel Perubahan (Change) yang diterbitkan oleh Institut
Terjemahan dan Buku Negara (ITBM) ini.
Menerusi novel setebal 103 halaman berkenaan, Perubahan (Change)
mengupas tentang amalan Komunisme pada abad ke-20, faktor kejatuhannya,
bagaimana kejatuhan ini tidak dapat dielakkan juga kesannya terhadap
masyarakat. Mengangkat persoalan berat dalam masyarakat di China ini menerusi
pendekatan novel sebagai autobiografi (dan sebaliknya); Mo Yan memperincikan mengenai perubahan-perubahan sosioekonomi masyarakat di China tidak
menerusi mata pandang kejadian politikal yang berlaku di negara berkenaan. Ini
dilihat berbeza dengan pendekatan penulis China yang sering membawa secara
terperinci mengenai kejadian-kejadian politikal yang berlaku di China yang
mencetuskan perubahan-perubahan berkenaan sebagai asasi penceritaan mereka. Mo Yan (juga seperti kebanyakan
penulis dari Tanah Besar China) mengaplikasikan teknik “kembali kepada nostalgia”. Kelebihan
nostalgia inilah yang menjadikan novel ini berbeza walaupun hendak berkisah mengenai
permasalahan besar seperti kelemahan sistem komunisme di China.
Novel ini dimulakan dengan kisah Mo Yan yang “kembali” ke
sekolah setelah tidak boleh menerima kenyataan dibuang sekolah kerana didakwa
memfitnah seorang guru Matematik bernama Liu Tianguang yang dikatakan “mempunyai
mulut yang sangat besar dan boleh memuatkan buku lima”. Sewaktu Mo Yan memasuki
sekolah itu pada petang berkenaan, Liu Tianguang sedang bermain pingpong
(permainan yang sangat terkenal di China dan malah China menghasilkan banyak
pemain pingpong terbaik dunia) dengan seorang pelajar cantik bernama Liu Wenli.
Kejadian petang itu diakhiri dengan insiden Cikgu Liu hampir tertelan bola
pingpong yang dipukul oleh Liu Wenli. Mo Yan kemudiannya mengisahkan memorinya
tentang seorang rakan sekelasnya bernama He Zhiwu yang menurutnya merupakan
hero dalam kisah ini. He Zhiwu telah “membuang” dirinya dari sekolah setelah
gurunya Cikgu Zhang bertanya mengenai cita-citanya. He Zhiwu menerangkan
cita-citanya hendak menjadi seperti ayah Liu Wenli, seorang
pemandu trak tentera yang hebat di kampung mereka. Cikgu Zhang marah apabila He
Zhiwu yang tidak serius dengan pertanyaannya itu.
Seterusnya Mo Yan berkisah mengenai pengalamannya menyertai
tentera kerana untuk mengubah corak kehidupannya yang hanya bekerja sebagai
buruh di kilang kapas dan seorang petani. Menerusinya walaupun tidak berpeluang
melanjutkan pengajian ke peringkat tertinggi, Mo Yan akhirnya dapat menjadi penulis
yang hebat dan berkenalan dengan ramai kenalan seperti Juruteknik Zhang (yang
menjadi pemandu trak serupa seperti mana bapak Liu Wenli) dan anaknya. Namun,
pengalaman-pengalaman Mo Yan dalam tenteralah kemudiannya memberi peluang kepadanya
menjadi lebih baik pada hari ini. Setelah beranjak lebih berusia, Mo Yan
kembali bertemu dengan He Zhiwu dan Liu Wenli. He Zhiwu telah menjadi usahawan
yang kaya raya tetapi tidak berjaya memilik Liu Wenli yang dicintainya sejak
zaman persekolahan. Sementara Liu Wenli pula walaupun berkahwin 2 kali dan
mengalami 2 kematian suaminya (suami keduanya adalah bekas gurunya Cikgu Liu)
tetapi hidup bahagia.
Persoalan-persoalan mengenai komunisme dan kapitalisme
sebenarnya disimbolkan menerusi watak-watak utama dalam novel ini iaitu Liu
Wenli dan He Zhiwu. Liu Wenli digambarkan sebagai watak golongan pekerja yang
diperjuangkan dalam ideologi komunisme. Sementara He Zhiwu pula golongan
kapitalis yang sentiasa mencari peluang berbentuk materialisme. Lihatlah He
Zhiwu setelah gagal melanjutkan pengajian sekolah menenangah, telah berusaha
untuk mencari jalan perniagaan (menerusi jualan lembu dari Mongolia yang
dibelinya dengan harga murah dan kemudian dijual di China dengan keuntungan 3-4
kali ganda; berkahwin dengan seorang gadis kacukan Rusia walaupun buruk kerana
untuk keuntungan zuriatnya pada masa hadapan dari aspek fizikal dan bagaimana
dia mempergunakan seorang tentera untuk mendapat tiket percuma). Begitu juga dengan watak Juruteknik Liu yang pada mulanya hanya sebagai seorang tentera yang redha mengikut kehendak-kehendak komunisme kemudian mencari peluang untuk naik pangkat dengan mengambil kesempatan terhadap seorang wanita tua yang mempunyai seorang anak berpangkat tinggi dalam tentera. Mo Yan memperlihatkan dengan jelas di sini, manusia dan sikap tamak kepada material. Meskipun pada awalnya bersetuju dengan sistem komunisme yang dimiliki oleh kerajaan, lama kelamaan jelak dengan hidup miskin dan tidak berharta. Hal-hal seumpama inilah diakhirnya melumpuh komunisme dan tidak mampu untuk mengembalikannya semula.
Sementara Liu
Wenli walaupun dilamar oleh He Zhiwu yang lebih kaya, tetapi masih mahu
meneruskan hubungannya dengan tunang (dan kemudian menjadi suami pertamanya) walaupun dikhabarkan bahawa lelaki itu tidak baik. Begitu juga dengan simbol
yang digambarkan menerusi watak suami keduanya iaitu Cikgu Liu (yang hodoh dan
merupakan seorang guru matematik). Secara tidak langsung ini memberi gambaran
mengenai negara China dan golongan pemerintahnya (hodoh, tersepit, tidak
mewah). Sebenarnya Mo Yan sejak dari awal novel telah telah memebri "hint" tentang bagaimana seorang guru hampir tercekik bola pingpong anak muridnya dengan pemerintahan yang akhirnya 'termakan janji-janji utopianya pada rakyat' dan hampir terbunuh. Hal ini sangat sesuai dikaitkan dengan pemberontakan Tianmen Square di mana memperlihatkan rakyat China hampir "melumpuhkan kerajaan". Di sini, Mo Yan menperjelaskan komunisme hanya sebuah
reruntuhan utopia yang cuba dipercayai lagi oleh rakyat di China tetapi, secara
perlahan-perlahan “menolak” dalam diam. Liu Wenli meskipun digambarkan bahagia dengan suami-suaminya (yang kedua-duanya digambarkan sebagai 'kerajaan' kerana seorang guru dan seorang anak seorang tentera yangberpengaruh) tetapi, sebenarnya siapa yang lebih kuat? Sudah semestinya Liu Wenli! Di tangannya 'kerajaan mengikut kata rakyatnya'.
Yang paling mengesankan dalam novel ini adalah, apabila He Zhiwu pada
akhirnya menjelaskan kapitalisme (dalam hal ini kelebihan material) bukanlah
semata-mata yang penting untuk sesebuah masyarakat. He Zhiwu kemudian mengambil
contoh apa yang terjadi dengan kehidupan Liu Wenli (yang meski tidak kaya
tetapi hidup bahagia). He Zhiwu bersetuju bahawa, kemewahan hati yang baik yang
seterusnya akan menjadikan seseorang itu menjadi lebih tenang dan bahagia dalam
kehidupannya serta memenangi peperangan ideologi.
Keunikan penceritaan yang mengangkat ‘kisah-kisah lain’
kehidupan masyarakat inilah menjadikan novel ini menarik untuk dihadam
pembacanya. Penulisan yang lancar, menyangkut lebih kepada pergolakan manusia dalam sistem komunisme dan bagaimana meneruskan kelangsungan hidup "mencari ruang dan peluang" amat unik.
*Ulasan ini untuk Pertandingan Ulas Buku di Blog/Facebook 2016.