Sunday, June 28, 2015

Kasur Kata-Kata





Kalau tidur itu kasur
menundukkan kata-katamu
susunlah satu persatu
di lembar mimpi.


Serdang
Jun 2015.


*Gambar di Anjung Senja, Kota Kinabalu ketika menanti malam April 2013.

Monday, June 22, 2015

Membaca Arena Wati dan Menanggapi Sikapnya Menerusi Karya-Karyanya


Oleh: Hani Salwah Yaakup

Saya suka acara ini. Santai. Semua yang duduk, lalu lalang pun boleh dengar. Bukan soal berapa ramai yang dengar tetapi, berapa orang yang akhirnya bertanya dan teruja untuk mengenali siapa Arena Wati dan membeli buku-bukunya. 


Karya-karya Arena Wati sedikit datang terlewat dalam hidup saya. Meskipun dalam mengakui diri sebagai seorang biblioholik dan menjadikan perpustakaan sebagai tempat paling bermakna sewaktu masih kecil, mata berpampasan dengan nama Arena Wati pada tulang buku yang dipamerkan di ruang perpustakaan itu merupakan hal biasa. Namun, semacam belum datang perasaan untuk mendalami karya-karya Allahyarham. Malah saya masih ingat seorang teman baik lelaki saya menyodorkan buku Bunga Dari Kuburan (DBP: 1987) ketika saya di tingkatan 2, saya ambil dan baca beberapa halaman pemula. Buku itu saya pulangkan tanpa pernah menyudahkan.

Sekali lagi karya Arena Wati disuguh oleh Faisal Tehrani kepada peserta Minggu Penulis Remaja (MPR) 2001. Ketika itu saya memasuki sebagai salah seorang peserta. Kata beliau, untuk menjadi penulis yang baik, trilogi bunga (Bunga Dari Kuburan, Kuntum Tulip Biru dan Sakura Mengorak Kelopak) karya Arena Wati adalah kemestian. Namun, pesan beliau masih belum benar masuk ke dalam hati saya. Benarlah kata orang, sesuatu karya itu akan hanya dihargai sesuai dengan umur dan zaman. Setelah tamat pengajian ijazah sarjana muda di Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan keinginan menulis sastera itu kembali semula (saya idle dari dunia sastera hampir 5-6 tahun cuma menulis untuk media penyiaran radio dan juga menulis lirik), pesanan ini kembali. Lalu, saya mencari buku ini dan menemui Sakura Mengorak Kelopak terlebih dahulu kemudian Bunga Dari Kuburan dan terakhir setelah lelah mencari untuk menamatkan pembacaan trilogi ini, sahabat saya Nasriah Abdul Salam menemui buku terakhir iaitu Kuntum Tulip Biru sebagai hadiah hari jadi pada tahun 2008. Sejak itu, saya jadi pemuja karya Arena Wati.

Siapakah Arena Wati? Arena Wati adalah nama pena kepada Sasterawan Negara ke-5 (1987) iaitu Andi Mohallang bin Abdul Biang yang memberi ciri khas nama yang berlatar belakang bangsawan Makassar (Norhayati Rahman 2009). Namun, setelah menjadi seorang pelaut namanya kemudian diubah menjadi Andi Muhammad Dahlan bin Abdul Biang. Allahyarham di lahirkan di Kalumpang, sebuah desa berhampiran dengan kawasan pantai di Kabupaten Jeneponto yang berjarak 120 km dari Makassar. Arena Wati pernah digelar sebagai seorang Belanda yang tidak jadi kerana kesukaannya ke sekolah untuk menuntut ilmu (dlm Enda Gulingku 1991). Pendidikan formal terawal yang diperolehinya adalah di Vor Volk School dan kemudian ke Hollands Indische School (HIS). Namun, kerana perang dunia kedua, Arena Wati tidak dapat menyambung pengajian. Walaupun begitu, Allahyarham sempat menyelesaikan ko-kurikulum MULO (Meer Uitbegreid Lager Onderwijs) dan seterusnya ke HBS (Hoogere Burger School). Seterusnya, Allahyarham sempat melanjutkan pelajaran ke bidang undang-undang laut pada awal 1945 dan setelah itu meneruskan pengajian ilmu pelayaran moden secara rasmi di Singapura mulai Oktober 1945 (Kamarudin Mohd Said 2009).

Sewaktu pelajarannya terhenti kerana perang, Allahyarham telah menggunakan kesempatan ini dalam menimba pengalaman sebagai pelaut. Oleh kerana Allahyarham yang telah terbiasa menjadi seorang pelaut (hasil didikan ayahnya Abdul Biang) dan pengalamannya menjadi nakhoda Skuner, Allahyarham telah menjadi pelaut untuk belayar lebuh jauh dari Makassar ketika berusia 17 tahun 6 bulan. Kesempatan ini digunakan sebaiknya oleh Allahyarham untuk belayar di sekitar Asia Tenggara iaitu ke Pulau Jawa, Singapura sehinggalah ke Thailand. Pengalaman sebagai pelaut inilah diserapkan menerusi karya-karya Allahyarham setelah bergelar penulis di kemudian hari.

Bagaimana Arena Wati mula menulis? Semuanya bermula apabila berutus surat dengan seorang gadis Pontian yang dia temui dalam majalah Hiboran No 87 yang diterbitkan pada 16 April 1949. Majalah ini menyiarkan gambar Halimah seorang pelajar Malay Girls School Pontian Kecil, Johor yang gemar mengembara. Berpandukan kepada alamat yang disertakan, Allahyarham telah berutus surat dengan gadis ini. Menerusi surat-surat ini tiada sebarang pernyataan perasaan cinta tetapi, lebih kepada persahabatan yang baik antara Arena Wati dan Halimah. Malah dinyatakan Arena Wati bukanlah orang yang mudah untuk menaruh hati kepada jantina berlawanan namun, Halimah menjadi sahabat penanya yang tidak jelas atas dasar apa perlunya mereka itu berutus surat. Mengetahui akan hal ini, ibunya telah menunangkan Arena Wati dengan sepupunya. Namun ketentuan Allah mengatasi segalanya, perkahwinan Arena Wati dan Halimah berlangsung juga di Makassar pada 20 Mei 1954 setelah 11 hari Halimah tiba di Makassar. Halimah menyanggupi perkahwinan ini dengan syarat bahawa mas kahwin itu ialah bakti daripada Arena Wati kepada perjuangan bangsa Melayu (dlm Enda Gulingku 1991).

Arena Wati setelah itu mengikut Halimah pulang ke Pontian Kecil dan kemudian memulakan pekerjaannya sebagai seorang wartawan di majalah Hiboran dan Hiboran Filem terbitan Royal Press, Singapura. Bermula detik baharu dalam diri Arena Wati daripada seorang pelaut kepada dunia kepengarangan. Setelah itu Allahyarham bekerja di sebuah syarikat pencetakan Penerbit Melayu di Johor Baharu sebagai Timbalan Pengurus sehingga Julai 1961. Allahyarham kemudian menjadi editor selama 13 tahun di Pustaka Antara, Kuala Lumpur. Kamarudin Mohd Said 2009) menyatakan dalam tahap pertama kegiatan kepengarangannya ini, Arena Wati telah melahirkan 14 buah karya yang bersifat etnografi-fiksyen seperti Kisah Tiga Pelayaran (1959); Tingkah Manusia (1960); Jalan Malam Ke Ibu Kota (1961); Gelora (1963); Perkembangan Kesusteraan Melayu (1964); Asas Pengetahuan Puisi (1965); Bentuk Sastera (1965); Lingkaran (1965); Burung Badai (1967); Johor Baharu (1967); Cerpen Zaman Jepun: Kajian (1967); Gandaria (1970); Sandera (1971) dan Dusun (1978).
Abang yang sedang berehat dari riadah juga duduk sebentar dan bertanya mengenai Arena Wati. Sempat menelaah kertas saya malah bertanya mana mahu dapatkan buku Pak Arena Wati

Pada tahun 1974, Allahyarham Arena Wati telah dilantik sebagai Pegawai Penyelidik, merangkap Ketua Jabatan Perancangan dan Penyelidikan di Yayasan Sabah dan menyandang jawatan ini selama 12 tahun. Dalam rangka penyelidikan inilah beliau telah mendapat peluang menjadi Felo di Universiti Cornell di Amerika Syarikat, Universiti Leiden di Holland dan Universiti Kyoto di Jepun. Setelah tamat perkhidmatannya di Yayasan Sabah, Allahyarham telah pulang ke Semenanjung Malaysia dan menjadi Karyawan Tamu dan pensyarah di Fakulti Sains Pembangunan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) antara Mac 1986 sehingga April 1988 dan kemudian sebagai Karyawan Tamu di Institut Bahasa, Kesusteraan dan Kebudayaan Melayu di universiti yang sama. Setelah tamat di UKM, Allahyarham telah menjadi Karyawan Tamu di Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur dari tahun 1991-1992.

Pengalamannya di Sabah telah menghasilkan karya trilogi (Eno, Royan dan Rontok) yang diterbitkan pada tahun 1980, Barabatu (1984). Sementara daripada catatan-catatan sewaktu bertugas di Sabah, beliau telah menghasilkan trilogi Busa (Busa Hati, Busa Sukma dan Busa Kalbu) yang diterbitkan oleh Penerbit UKM pada tahun 2002. Selain itu, karya yang dihasilkan seterusnya adalah trilogi Bunga (1987); Syair Pengeran Syarif (1989); Syair Pengeran Syarif Hashim al-Qudsi (1989); Syair Perang Cina di Monterado (1989); Pantai Harapan (1990); Turina (1991); Citra (1991); Memoir Arena Wati: Enda Gulingku (1991); Sarida (1992); Ombak Samudera (1992); Meniti Kala (1993); Panrita (1993); Gami (1993); Sudara (1994); Mevrouw Toga (1995); Cerpen: Pengalaman & Tanggapan (1995); Jejak Kreatif (1996); Koleksi Terpilih (1996); Begawan (1996); Sukma Angin (1999); Getir-Getir Malaya (2000); Trilogi Busa (Busa Hati, Busa Sukma, Busa Kalbu) yang diterbitkan pada 2002; trilogi Armagedon (Mandala, Menorah & Pentagon) yang diterbitkan pada 2004; Kutukan Dari Langit (2004); Langkah Pertama (2004); Warna Sukma Usia Muda (2005); 7 Tegak Bersama (2005); Antara Dua Deru (2005); Sebuah Trilogi: Samira (2005); Cakra Waruga (2006); Samira (2006); Antara Manusia (2006); Kepala Bapak Itu (2006); Warna Hati Era Remaja (2008); Warna Kalbu Zaman Dewasa (2009); Pada Sayap Burung Helang (2010) dan Rindu Aroma Padi Bunting (2012).


Di samping itu, orang ramai juga boleh datang pinjam buku yang mereka sediakan :)

Arena Wati terkenal sebagai pengarang yang menghasilkan novel secara trilogi. Siri trilogi yang paling mengesankan adalah trilogi Bunga. Menerusi trilogi ini, beliau memilin pengalaman peribadi sebagai masyarakat Asia, budaya setempat di Amerika Syarikat, Belanda dan Jepun berserta isu semasa yang sedang hangat di situ pada waktu itu. Selain itu, trilogi yang dihasilkan oleh Arena Wati adalah trilogi (Eno, Royan, Rontok); trilogi Busa (Busa Hati, Busa Sukma, Busa Kalbu); trilogi Armageddon (Mandala, Menorah, Pentagon) dan terakhir trilogi yang sempat disiapkan sebelum Allahyarham meninggal dunia kesinambungan kepada novel Sukma Angin iaitu novel Pada Sayap Burung Helang dan Rindu Aroma Padi Bunting. Namun begitu, Allahyarham tidak sempat melihat kedua-dua buah buku ini dijelmakan dalam bentuk buku kerana telah menemui Penciptanya pada 25 Januari 2009. Manuskrip ini telah diserahkan kepada Sasterawan Negara Dato’ Dr Anwar Ridzwan untuk tujuan suntingan. Allahyarham hanya mempercayai SN Anwar Ridzwan dalam menyunting manuskripnya kerana SN Anwar Ridzwan adalah seorang yang teliti dan lebih memahami apa yang hendak dia sampaikan dalam karya-karyanya. Pada Sayap Burung Helang telah diterbitkan oleh pihak Dewan Bahasa & Pustaka pada 2010 dan Rindu Aroma Padi Bunting pada tahun 2012.

Sikap dalam karya Arena Wati? Kekuatan utama pengisian karya-karya Arena Wati adalah menggunakan pengalaman peribadi sebagai tunjang utama penulisan. Pengalaman yang diraihnya sebagai pelaut yang mengembara di kawasan Asia Tenggara selama 9 tahun diaplikasikan dengan baik contohnya dalam karya seperti Sukma Angin. Pergolakan semasa seperti Perang Dunia Kedua, penjajahan kuasa asing (Belanda, Jepun dan Inggeris) diaplikasikan apabila menulis karya awalnya seperti Lingkaran dan Sandera. Penulisan ini nampak lebih ‘real’ di mana Arena Wati telah menggunakan semangat zaman itu dalam mengemukan pertelingkahan watak dengan permasalahan semasa. Watak Busad yang menentang penjajahan Jepun di Makassar telah membawa semangat serupa apabila berpindah ke Tanah Melayu malah menularkan semangat kebangsaan dan semangat Melayu ini kepada rakan-rakannya seperti Hakim Mahmud, Zahid, Andang dan Midah.

Selain itu, kelebihan seorang bernama Arena Wati ini adalah kebolehannya mengaplikasikan pengalaman tempatan semasa mahupun amalan budaya sesebuah bangsa yang di diaminya. Cara pengolahan ini kemudiannya disesuaikan dengan sesuatu yang dekat dengan pembaca Melayu. Trilogi Busa umpamanya berbicara mengenai pergolakan politik negara di samping turut mencuit pengalamannya ketika bekerja di Sabah. Begitu juga dengan trilogi Bunga. Pada saya trilogi Bunga adalah masterpiece Arena Wati bila mana menerusi pengalaman tiga budaya berbeza diperhalusi dengan baik dan diangkat bergaul dengan permasalahan semasa yang sedang hangat di tempat berkenaan. Paling saya ingati dan meninggalkan bekas sehingga kini adalah tentang bagaimana seorang wanita Jepun bernama Michiko yang telah merubah kedudukannya sebagai seorang wanita Jepun yang taat kepada adat resam dengan meninggalkan kebiasaan yang padanya menekan kedudukan wanita. Perbuatan suaminya yang membunuh diri menerusi upacara tradisi hara-kiri bersama seorang wanita yang sedang mengandung dirasakannya keterlaluan. Lalu, dia menolak mayat suaminya dan kemudian memeluk Islam dan berkahwin dengan seorang lelaki Melayu.

Arena Wati pada saya seorang feminis. Berdasarkan kepada kajian yang dilakukan oleh Siti Aishah Murad (2009), terdapat 9 watak wanita yang dipaparkan sebagai wanita yang progresif, sedar akan dirinya dan memperjuangkan nasib kaum dan bangsanya. Kajian ini hanyalah terhad kepada novel yang dihasilkan dari tahun 1965 sehingga tahun 1995. Bolehlah kajian ini dilanjutkan dengan memasukkan watak wanita hebat seperti dalam Armageddon (Mandala) di mana wanita dicirikan tidak semata sebagai pengurus hal domestik rumah tangga tetapi, perancang dan orang penting dalam sesebuah perusahaan (watak seperti ini juga dilihat sama dengan watak Samira dalam novel Samira dan wanita dalam trilogi Pantai Harapan, Turina dan Citra yang diterbitkan pada tahun 1990) (Mohd Hanafi Ibrahim 2009; Siti Aishah Murad 2009).

Jika pada permulaan pengkaryaannya, Arena Wati membawakan pengisian mengenai pergolakan politik, perang dan perjuangan menutut kemerdekaan yang turut diadun dengan pengalamannya sebagai pelaut, namun setelah berpulang dari luar negara dan banyak sekali mengaut pengalaman yang lebih universal, pengkaryaan Arena Wati nampak lebih mendunia. Pengisiannya kini mengenai permasalahan ekonomi yang dikuasai Yahudi dan Cina, pengeboman dan penganasan, rasisme serta politik dunia. Ini jelas dalam karya-karyanya seperti trilogi Armageddon, trilogi Bunga malah semakin jelas dalam dua karya mutakhir Allahyarham.

Jujur saya katakan, tidak mudah untuk membaca Arena Wati bukan kerana pembicaraannya membosankan tetapi, untuk membaca Arena Wati seseorang pembaca itu seharusnya bersedia daripada aspek fizikal dan juga mental. Fizikal di sini bermaksud novel Arena Wati bukanlah novel untuk seseorang yang berharapkan eskapisme daripada permasalahan semasa mahupun sebagai hiburan memugut kata-kata dan merehatkan minda. Karya-karyanya justeru mengkehendaki seseorang pembaca bersedia untuk dicabar mahupun diberi klu-klu terhadap apa yang akan berlaku dalam plot seterusnya dalam ceritanya (lihat Armageddon: Mandala (2004)). Menerusi novel ini, Arena Wati malah secara bijaknya menyusun klu-klu bertujuan untuk meletopkan bom. Perkara ini seakan-akan terselindung dan pada mulanya kita akan menyangka ia hanya seakan kod kod teka teki. Di akhirnya, kita akan tersedar akan keindahan penyusunan kraf seorang Arena Wati. Kepuasan menelaah karya Arena Wati sebenarnya menjadikan kita penat. Namun, pada setiap penghujung karyanya ada semacam kepuasan yang sukar saya jelaskan bagaimana. Lalu, kita akan mencari lagi dan lagi karyanya untuk dibaca. Umpama ubat yang pahit, kita sukar untuk menelannya pada mulanya tetapi, ubat itulah nanti akan membantu kita untuk melawan sebarang penyakit (dengan izin Tuhan tentunya).


Keluarga ini malah mahu beli koleksi trilogi bunga milik peribadi saya. Alololo...


Saya dan Arena Wati? Saya pernah bertemu dengannya di suatu majlis di Dewan Bahasa dan Pustaka (circa 2008). Seperti penulis pemula yang lainnya, saya menikmati ketokohan beliau hanya dari jauh. Waktu itu saya segan terlalu melihat seorang Arena Wati masuk dengan tongkat dan songkok hitamnya ke ruang seminar. Setelah pertemuan itu, saya mengutuk diri sendiri kerana tidak pernah berani untuk bertegur sapa kerana Arena Wati dimasukkan di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) dan bertemu Kekasihnya setelah itu. Malah kegilaan saya pada keterangan-keterangannya mengenai Makassar dan Pantai Losari secara amnya telah membuatkan saya sampai ke Ujung Pandang, Sulawesi Selatan awal tahun 2014. Ya Allah, saya sampai ke Pantai Losari semata-mata membaca cerita yang ditulisnya. Sesungguhnya, kesan pembacaan terhadap karyanya banyak meninggalkan kesan yang baik untuk diri sebagai manusia amnya dan pengarang khasnya.

Al-fatihah.

RUJUKAN
Arena Wati. 1991. Memoir Arena Wati: Enda Gulingku. Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia.
Siti Aishah Murad. 2009. Wanita Di Tangan Arena Wati: Menafikan Teori Feminist Critique. Kertas Kerja Pemikiran Arena Wati Lambang Kesejagatan Sastera Kebangsaan. Dewan Bahasa dan Pustaka, 9-10 Jun 2009.
Hazami Jhari. 2009. Sandera: Dari Sudut Puitika Melayu. Kertas Kerja Pemikiran Arena Wati Lambang Kesejagatan Sastera Kebangsaan. Dewan Bahasa dan Pustaka, 9-10 Jun 2009.
Kamaruddin Mohd Said. 2009. Kertas Ucap Tama. Kertas Kerja Pemikiran Arena Wati Lambang Kesejagatan Sastera Kebangsaan. Dewan Bahasa dan Pustaka, 9-10 Jun 2009.
A Halim Ali. 2009. Kemudi Perjalanan Hidup Arena Wati Dalam Enda Gulingku. Kertas Kerja Pemikiran Arena Wati Lambang Kesejagatan Sastera Kebangsaan. Dewan Bahasa dan Pustaka, 9-10 Jun 2009.
Nurhayati Rahman. 2009. Arena Wati: Jambatan Tamadun Di Nusantara. Kertas Kerja Pemikiran Arena Wati Lambang Kesejagatan Sastera Kebangsaan. Dewan Bahasa dan Pustaka, 9-10 Jun 2009.
Mohd Hanafi Ibrahim. 2009. Sosialisasi Hubungan Gender Dalam Novel Samira. Kertas Kerja Pemikiran Arena Wati Lambang Kesejagatan Sastera Kebangsaan. Dewan Bahasa dan Pustaka, 9-10 Jun 2009.


***Disediakan untuk Bicara Karya & Sikap Arena Wati Edisi 67 #12 Sasterawan, 31 Mei 2015 di Taman Tasik Titiwangsa oleh Buku Jalanan Titi.