Sunday, May 31, 2015

Berenang Dalam Segara Kehidupan: Setelah Membaca Segara Lazuardi



Tajuk:        Kumpulan Cerpen Segara Lazuardi
Pengarang: Tiras Raduan
Harga       : Semenanjung Malaysia (RM 25.00) / Sabah & Sarawak (RM 30.00)
Tahun Terbitan: 2015
Anugerah Yang Diraih : Hadiah Saguhati (Kategori Kumpulan Cerpen)
                                        Sayembara Penulisan ITBM-PENA-BH 2
Penerbit    : Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) & Persatuan Penulis Nasional Malaysia
                   (PENA)
Halaman   : 156 halaman


Saat ini anda baru sahaja membeli tiket untuk menikmati percutian anda dengan kapal persiaran ke sebuah detinasi. Kemudian masuk ke perut kapal dengan teruja untuk memulakan sebuah kembara yang destinasinya pastilah selama ini hanya ada dalam bayangan tetapi, belum pernah anda jejaki. Keindahan dalam kapal itu walau bagaimanapun tidak mengekalkan anda untuk berlama-lama di dalamnya. Keseronokkannya pastilah pada keindahan luaran (jika tidak anda tidak menempah tiket kapal persiaran!). Anda menyingkap langsir dan melihat birunya laut, riak-riak kecilnya pecah seribu di permukaan air. Anda sudah tidak sabar untuk berlepas. Menikmati alam yang terbentang luas, mempelajari seluruh ilmu yang terkembang menjadi guru.

Segara Lazuardi dimulakan dengan prakata penulisnya, Tiras Raduan yang membicarakan inspirasi keseluruhan kumpulan cerpen ini mendatanginya dalam bentuk kata-kata dari teks lama yang rapat dengan alam dari adat Minangkabau "Nan satitiek jadikan lawik (yang setitik jadikan laut), nan sekapa jadikan gunung (yang sekepal jadikan gunung) dan alam takambang jadikan guru (alam terkembang jadikan guru). Maka, mengambil inspirasi itu, penulis menyatukan kesemua 12 cerpennya dalam sebuah kesatuan laut dan semua yang berkait dengannya. Lalu, barangkali imaginasi saya sewaktu menyingkap halaman pemula Segara Lazuardi bahawa kumpulan cerpen ini akan membawa saya menikmati sebuah ekspedisi yang tidak pasti. Namun, perjalanan itu menongkah segara yang luas, tidak bertepi dan di sepanjangnya sejumlah cerita terselit minta diperhatikan dengan semua mata, mata fikir dan mata hati.

Sauh pun dibongkar. Kapal menjauh tebing. Perjalanan setelah itu dimulai. Perlahan-lahan dan kemudian semakin lama semakin deras. Anda duduk di buritan kapal sambil melihat air laut membentuk gelombang-gelombang kecil dan kemudian tinggal di belakang kapal menjadi buih-buih kecil, putih dan tercium hamis masin. Seperti itu jugalah Laut: Naratif Seorang Perempuan bercerita pada pembacanya. Ia soal kenangan dan kehidupan di masa lalu. Bagaimana laut disimbolkan sebagai seisi kehidupan seorang perempuan muda bersama seorang rakan menempuhi usia-usia remajanya dalam bersahabat, menikmati persekolahan dan yang penting menghargai perbezaan yang dimiliki seseorang individu.

Perjalanan di teruskan. Daratan masih kelihatan. Kapal masih belum amat jauh dari pesisir. Anda yang masih belum beralih dari buritan terlihat ke arah darat dengan bangunan putih tinggi menghadap ke laut. Kata seorang pelancong lain kepada anaknya, itulah rumah api. Di bina di tepi laut di sebuah tanjung yang terbentuk lebih panjang sedikit ke hadapan dan meninggalkan daratan lebih ke dalam. Cerpen kedua bermula dengan penemuan seorang tukang bersih rumah api yang menemui seorang wanita hamil yang mahu membunuh diri. Kebijaksanaan hikmah seorang lelaki Melayu Islam tukang pembersih rumah api itu telah menyelamatkan wanita berkenaan. Memperisterikan dan mengasihaninya. Lalu, cinta datang kemudiannya. Begitulah cinta sememangnya. Hadir tanpa isyarat tetapi, meninggalkan kesan paling abadi.

Lama kelamaan kapal yang bergerak menuju destinasinya, meninggalkan pantai sayup-sayup jauh lalu hilang. Pantai: Naratif Seorang Sahabat adalah kisah masa lalu. Kenangan. seperti pantai yang jauh ditinggalkan kapal yang bergerak, begitu juga pantai yang telah tidak kelihatan tetapi, tidak bererti tidak hidup dalam sebuah memori. Pantai adalah kisah sahabat yang bertemu dan berpisah kerana takdir. Kenangan-kenangan ini diukir pada karang yang diberikan sebagai hadiah oleh seorang sahabat kepada sahabatnya. Namun, takdir juga menemui mereka kembali. Karang terakhir masih belum diberi kepada pemiliknya dan pemiliknya sudah tidak mampu bangkit dari komanya. Lalu, yang tinggal masih kenangan.

Segara Lazuardi kemudian ditimpa gelombang seperti juga kapal yang anda naiki. Setelah daratan hilang terus dari pandangan, anda kembali ke bilik namun disapa mabuk membuat anda muntah berulang-ulang. Gelombang: Kisah Seorang Isteri adalah kisah lara. Duka yang sekian lama dihimpun pada juring hati seorang isteri. Namun, longgokan itu sudah tidak mampu lain ditutup lalu, menjadi gelombang yang turut memabukkan mangsanya. Kemudian turut juga hampir mengakibatkan seluruh anak kapal hilang pertimbangan dan terus hanyut ke laut. Mujur, gelombang ditahan dengan kekuatan yang masih ada pada hati. Kisah Siput: Kisah Seorang Anak yang datang setelah itu adalah simbolik kepada kisah anak-anak kapal yang merasai gelombang besar sebelumnya. Namun, menjadi anak kapal dalam gelombang besar mereka hanya mampu berpaut pada kekuatan dan keputusan juragan kapal. Cuma, pada akhirnya mereka adalah pemerhati yang turut serta menerima tempias tetapi, tidak mampu berbuat apa-apa tanpa arahan ketuanya.

Setelah gelombang besar yang memintal perut semua yang ada di kapal yang sedang menuju destinasi, datang ribut dan angin kencang. Anak-anak kapal bekerja keras untuk memastikan kapal tidak binasa. Begitu juga dengan kisah Ribut: Kisah Seorang Adik yang bertahan untuk menjaga harta pusaka yang diberikan oleh orangtuanya. Namun, ada adik beradik yang berasa iri dan mahu menyusahkan keadaan adik. Seperti ribut, pasti ada yang terkorban, kisah ini ditamatkan dengan kemenangan kepada mereka yang sabar dan petunjuk kepada yang sebaliknya.

Kapal: Naratif Seorang Darwis pula mengisahkan seorang pencari yang mencari di mana dia boleh bergantung harap. Oleh kerana itu, dia belayar menuju pulau-pulau jauh dengan kapalnya untuk mencari dirinya. Di sepanjangnya di ketemui kegagalan dan jalan yang meletakkannya di persimpangan terhadap keyakinannya pada Tuhan. Namun, akhirnya, pelayaran juga menemukannya pada kasih sayang Allah dan berhenti belayar dan menikmati pandangan kapal dari tepi admiralti yang sedang dia bekerja. Kisah ini dapat disamakan dengan Kelasi:Naratif Seorang Pengembara. Namun, dalam kisah Kelasi ini apa yang menarik adalah peralatan pelayaran yang moden juga tidak terbanding pengalaman yang mengajar bagaimana untuk menempuh gelombang dan ribut dengan lebih selamat dalam kehidupan ini. Watak-watak ini akan anda temui setelah beberapa hari belayar dan berkenal mesra di kafe.

Perjalanan dilanda gelombang dan ribut menemukan anda pada jeti di mana kapal itu akhirnya berhenti. Anda turun dan seperti mahu mencium tanah kerana akhirnya perjalanan panjang yang penat itu menemui penghujung. Namun, di situ anda menemui seorang tua duduk seperti menanti. Tiras Raduan memasukkan ini dalam Jeti: Naratif Seorang Ibu. Kisah seorang tua yang duduk seakan menanti seseorang di jeti. Hakikatnya, tiada siapa lagi yang dia nantikan kerana semua yang ada padanya telah hilang. Penantiannya saban pagi dan petang di jeti itu untuk bisa meletakkan waras pada fikirannya dan kemampuannya untuk meneruskan kehidupannya setelah kematian suami, anak dan 'kehilangan' anak-anaknya.

Setelah itu, anda pulang ke tempat penginapan. Mahupun menuju pulang ke sarang anda kembali. Anda dihimpit memori dalam perjalanan anda dalam kapal yang disapa gelombang dan ribut serta berkenalan dengan manusia yang turut menumpangi kapal berkenaan. Anda teringatkan muara di hujung perjalanan anda yang tenang. Muara: Naratif Terakhir dalam Segara Lazuardi adalah kisah di mana akhirnya dalam sebuah perjalanan kita hanya mahu pulang ke destinasi terakhir iaitu ke pangkuan Tuhan dengan rasa tenang. Kisah ini mengenai seorang anak yang berkorban serba serbi hidupnya untuk kesenangan orangtuanya. Sehingga menafikan kebahagiaan diri sendiri. Malah pernah melakukan banyak kesilapan dalam kehidupannya. Namun, akhirnya Tuhan memulangkannya sebagai seorang yang 'telah berpulang' ke pangkal jalan. Begitulah juga sebuah perjalanan sepatutnya. Berpulang ke tempat awal perjalanan dimulai.

Secara sedar atau tidak, saya merasakan penulis sebenarnya membawa kita kepada beberapa kali kepada watak yang sama yang pada hemat saya seakan-akan berkesinambungan. Kelasi dalam Kelasi: Naratif Seorang Pengembaran dan watak anak seorang wanita tua dalam Jeti: Naratif Seorang Ibu seakan-akan adalah watak yang sama. Kedua-dua watak ini mahu mencari hidup dengan mengembara seperti juga harapan anak wanita tua yang 'hilang' menjadi kelasi kerana mahu mencari sebuah kehidupan.

Segara Lazuardi adalah kisah manusia biasa yang mencari kebahagiaan, sekadar untuk menegakkan kewarasan fikiran disebabkan permasalahan-permasalahan kehidupan mahupun kenangan yang tidak mampu dibuang dari fikiran seorang manusia. Namun, inilah kelainan sebenarnya. Ketika penulis lain sudah beralih untuk menulis mengenai falsafah, sejarah dan sesuatu yang nampak besar dan hebat, mereka sering melupakan bahawa menjadi manusia kita masih terikat kepada hal-hal kecil seperti ini untuk terus menongkah arus ke hadapan. Ketakutan ini barangkali timbul kerana ketakutan bahawa karya seumpama ini tidak dapat meraih pembaca. Sepatutnya, sesebuah karya yang molek mampu memilin kedua-dua elemen ini secara bersekali supaya karya yang dihasilkan tidak sahaja dianggap baik tetapi, mampu menyentuh hati pembacanya. Itulah sebuah kemenangan sejati untuk seorang penulis.

Penulis Tiras Raduan saya kira cuba bereksperimen dalam penulisannya. Cerpennya panjang sedikit jika dibandingkan dengan cerpen-cerpen yang biasa. Penceritaannya tidak linear malah seseorang pembaca perlu memberi perhatian terhadap tulisannya. Pada awal cerpennya boleh sahaja beliau memerihalkan mengenai latar sesebuah cerpen seterusnya masuk ke kehidupan watak dan kemudian kembali kepada hal lain. Ini eksperimen yang tiadalah cacatnya cuma, barangkali masih belum begitu kemas dan kadangkala dilihat seperti memberitahu bukan memerlihalkan. Pembaca muda mungkin akan cepat jemu pada penulisan gaya ini. Namun, kecantikan karya ini mungkin pada rentaknya yang laju lalu secara tidak langsung menutup kesilapan berkenaan.

Pujian perlu diberikan kepada Tiras Raduan. Kumpulan cerpen ini memilih satu tema iaitu laut dan sesuatu berkait dengannya. Lalu, kesatuan inilah pada akhirnya yang menjadikan kumpulan ini berjaya dalam sayembara ITBM-PENA-BH 2. Kesatuan ini meskipun tidaklah memberi kesinambungan sebuah cerita kepada sebuah cerita setelah itu, namun hal inilah yang menimbulkan sebuah penyatuan yang secara 'ghaib'nya memberi nilai tambah kepada kumpulan ini.

Meskipun pembaca dapat disimbolkan sebagai 'penumpang' dalam kapal yang menuju sebuah destinasi jauh, kumpulan cerpen ini menyentuh kehidupan semua yang ada di dalam kapal secara amnya untuk bertemuNYA di penghujung cerita kita.

"Aku seorang kelasi di dalam kapal-Mu yang meredah samudera luas sebelum kembali ke pelabuhan-Mu" (Kelasi: Naratif Seorang Pengembara)


*Ulasan ini ditulis untuk menyertai Peraduan Ulas Buku ITBM sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2015.

Friday, May 22, 2015

Membakar Kerinduan





Pada penjuru petang
menghadap bias matahari jatuh
aku cuba membakar kerinduan
semoga cair, tersejat dan naik ke permukaan langit
kembali kepada pemiliknya.

Justeru, sejurus tersejat
tidak ia kembali padaNYA
tapi meresap tubuhku
memesrai jiwaku
kemudian tenang
memilih kembali kasurnya
di penjuru dadaku.

Putrajaya
22 Mei 2015

Thursday, May 21, 2015

Cinta Yang Datang Kemudian: Secangkir Seduhan Hujan



Ini kisah cinta yang datang kemudian (setelah cinta-cinta lain yang datang, pergi, mati ataupun tidak mahu datang-datang lagi). Amboi bunyinya macam semacam sahajakan?


Alhamdulilah. 'Anak' saya yang kedua telah selamat 'dilahirkan' pada April 2015 sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2015. Saya secara jujurnya perlu menyatakan ini: karya ini bukanlah yang terbaik. Saya masih belajar menyulam kata-kata dengan lebih baik. Menuntut ilmu itu bukan hal sepele dan bukan hal yang mampu dihabiskan dalam jangka masa tertentu. Doakan saya menjadi lebih baik di masa hadapan.


Untuk setakat ini, terimalah buah tangan terbaharu saya ini. Saya budak baru belajar, kalau salah tolong tunjukkan (bukan menghentam tanpa hikmah atau rasa negatif yang membuak-buak). Setiap penyair/penulis besar itu bermula dengan langkah pertama, kemudian jatuh, berjalan, berlari, kadang terjatuh kembali dan bangun lalu terus berlari tanpa berhenti. Begitu juga saya. Mohon tunjuk ajar.