Monday, December 31, 2007

Tentang 2007 & Diri


Antara koleksi gambar terbaik 2007 simpanan peribadi saya...hehe...dengan Ode & Lan (adik-adik MPR)

Hari ini sudah mencapai "garis mati" untuk tahun 2007. Macam selalu bila tiba sahaja akhir tahun (31 Disember secara lebih terperinci) kita akan mula dilambung kenangan setahun berkenaan. Saya juga tidak terkecuali. Namun, kenangan yang cuba saya panggil semula menjenguk minda kali ini lebih menjurus kepada muhasabah diri sendiri. 2007...apa yang saya telah lakukan dan raih?

2007 saya mulakan dengan perasaan debar debur dalam dada mencari pekerjaan setelah sah menamatkan pengajian sarjana muda saya di UiTM Shah Alam, pada akhir tahun 2006. Memang payah untuk mendapat pekerjaan. Jadi nasihat saya pada adik-adik yang hendak tamat pengajian atau sudah tamat pengajian, rancang masa depan anda dengan lebih realistik. Teringat kembali bagaimana saya membawa diri sehingga ke Johor Bahru gara-gara ingin bekerja. Nasib baik sahaja tidak mendapat tawaran berkenaan, kalau tidak saya pun tidak dapat menduga bagaimana keadaan saya kini.

Menjelang akhir februari, saya secara rasmi dilamar pekerjaan pertama saya. Saya berkhidmat di salah sebuah institusi perbankan di Malaysia. Wah, saat itu macam tidak percaya saya akan bekerja di sebuah bank. Alhamdulillah bila saya kenang kembali kini memang Allah itu menyayangi saya hingga saya "keluar" dari bank berkenaan. Kenapa? Biarlah hanya saya sahaja yang tahu! Setelah keluar dari situ, saya "tercampak" pula ke UPM sebagai pembantu penerbitan alias juruhebah untuk radio mereka. Macam-macam kenangan yang menarik & tidak berapa menarik telah saya raih disini.

2007 juga menyaksikan saya mencari, memulakan, menjalin semula & berjinak-jinak dengan rakan-rakan MPR yang memang sudah dikenali, baru hendak mengenali serta mentor-mentor dan "sifu-sifu" penulisan yang selama ini hanya ikut perkembangan tapi, sudah lama tidak bertegur sapa. Tujuan saya selain mengeratkan ikatan silaturahmi dengan kawan-kawan dalam bidang penulisan ini adalah untuk mendekatkan diri semula dengan penulisan. Syukur, perhubungan ini akhirnya membuat saya kembali menulis. Saya berharap agar api semangat yang semakin terang ini tidaklah pula dipadamkan pula. Teman-teman, terus beri saya semangat, ok?

Konvokesyen adalah sesuatu yang sangat bererti dalam hidup saya. Itu juga berlaku dalam tahun 2007! Saya pernah bercerita mengenainya dalam salah sebuah entri dalam blog ini juga bagaiman gembiranya saya serta harapan untuk bergraduasi lagi. Nampaknya Allah mendengar permintaan saya yang satu itu, saya akan mula meneruskan pengajian di peringkat sarjana pula pada minggu ini. Saya berharap agar saya dapat melakukan sarjana saya dengan lebih baik lagi. AMIN.

2007. Bila saya lihat semula tahun ini, sebenarnya lebih banyak kesedihan yang menyelibungi diri daripada kegembiraan pada suku pertamanya. Mungkin kekuatan yang masih berbaki sahaja yang membuatkan saya bangkit dan merenungi kembali diri. Suku kedua tahun ini nyata lebih membaik dengan pelbagai aktiviti-aktiviti baru yang saya ceburi. Sebenarnya kekecewaan ini banyak mengajar saya meredhai apa yang belum Allah suratkan pada saya lagi. Saya jadi lebih dekat padaNYA dan semakin memahami apa yang saya mahukan dalam hidup.

Saya mahu tinggalkan 2007 dengan baik. Saya tidak mahu menyalahkan dia kerana yang patut menanggung segalanya bukan nombor 2007 itu tetapi, lebih kepada diri sendiri.

2008. Saya berdoa agar saya menjadi insan yang lebih baik tahun tersebut. Berharap permulaannya yang akan saya mulakan dengan kembali menjadi pelajar akan merubah corak kehidupan dan kematangan diri dalam berfikir dan bertindak.

2008, saya mahu yang terbaik!

Friday, December 28, 2007

Buku, Buku & Buku!


Antara koleksi saya yang "Belum Sempat Baca", "Sedang Baca" & "Telah Baca"

Saya terpana mendengar kata-kata dua orang adik. Selama ini saya fikirkan isu buku bukanlah isu besar. Nah, sebagai orang yang gila buku, suka buku, hantu buku dan kadang-kadang digelar orang ulat buku, saya terperanjat!.

Faktor keluarga, persekitaran dan persahabatan saya dengan golongan yang "asyik masyuk" dengan buku, mengandaikan semua orang mendapat peluang sama rata dalam soal pemilikan buku. Tambahan pula jika seseorang itu hendak dipanggil penulis. Pasti mereka perlu banyak membaca sekaligus mempunyai himpunan atau koleksi buku. Namun berbeza dengan dua orang adik ini.

Mereka terkejut apabila saya berkata, emak mengajak saya ke toko buku kerana "bekalan" buku" belum baca dirumah sudah habis. Saya bertuah ujar mereka. Mereka berkata selama ini hendak menghabiskan masa dengan bonda mereka ke kedai buku pun sangat sukar. Apa lagi soal hendak beli buku. Selalulah sahaja ditolak. Alasan ibu bapa mereka, buku abang dan kakak dirumah sudah banyak, baca sahaja yang ada itu. Jadi bergelumanglah mereka dengan buku-buku lama (yang sering di ulang baca) milik abang kakak yang mereka pusakai itu.

Lalu hasrat mereka untuk membeli dan memiliki buku terpendam begitu sahaja sehinggalah mereka sudah menerima wang pinjaman pengajian di IPT. Waktu ini sekian banyak himpunan buku mereka beli, baca dan jadikan koleksi peribadi.

Agaknya kurang dorongan untuk membeli sekaligus memiliki buku dikalangan ibu bapa kepada anak-anak mereka inilah, yang menjadi faktor utama kepada kurangnya kadar pembacaan di kalangan masyarakat kita. Bukanlah juga saya memarahi mereka apabila mengingati isi prosiding semasa berseminar di ASWARA sekitar oktober lalu. Menurut salah satu kertas kerja yang dibentangkan oleh Puan Ainon dari PTS Publications, kajian menunjukkan mereka yang membeli buku adalah mereka yang kaya. Kaya disini adalah mempunyai wang lebih (setelah keperluan utama seperti makanan, perbelanjaan rumah & lain-lain hal mustahak telah dilangsaikan).

Namun membaca blog Kak Nisah mengenai pendapat Pak Samad, saya rasa alasan ini bukan juga patut dijadikan alasan. Menyimpan RM 40 untuk menjadi bodohkah atau dengan pelaburan sebanyak itu sebulan boleh membuat kita lebih pandai sedikit daripada sebelumnya? Jadi, ayuh kita fikirkan!

***Beberapa hari lalu ke DAWAMA Hulu Kelang bersama seorang rakan penulis. Teruja melihat beliau membeli "stok" buku semacam mahu buka kedai buku mini. Katanya, manalah tahu buku-buku ini boleh membantu banyak di masa hadapan. Saya tersenyum namun, dalam senyum itu saya membenarkan kata-katanya.

Saturday, December 15, 2007

Bila Mahu Jadi Penulis...

"Seni adalah halus...jadi orang seni adalah...orang halus ke?"

Salah seorang adik mantan MPR yang rapat dengan saya mengadu satu hal yang memang buat saya berang sebentar. Katanya guru beliau di salah sebuah IPT memberitahu adik saya ini tidak punya bakat menulis. Komen yang diberi gurunya itu sangat keterlaluan pada mata fikir saya.

Didunia ini semua orang dianugerahkan bakat. Si polan A dengan bakat melukis, si polan B pula mungkin dengan kebolehan memasak, si polan C dengan bakat memperbaiki barang-barang elektronik dan yang lain-lainnya dengan bakatnya tersendiri. Kita semua berbakat. Kecenderungan bakat kearah yang mana, itu subjektif pada individu.

Adik saya ini dikatakan tidak berbakat dalam bidang penulisan kerana kerapkali memaparkan idea-idea yang terlalu imaginatif pada fikiran tuan gurunya itu. Kata adik pada saya, dia gemar untuk menggunakan latar tempat dan masa yang tidak terjangkau dengan limitasi akal.

Bukankah berfikir secara kreatif itu penting untuk mereka yang mahu memakai gelar "penulis"? Jika cepu minda ini hanya dimomokkan dengan sesuatu yang tidak kreatif, sudah tentu tidak timbul karya-karya bermutu dan sebaik Sakura Mengorak Kelopak karya SN Arenawati contohnya? Juga dalam kes berfikiran secara imaginatif mengenai latar tempat dan masa maka tidak timbullah karya-karya hebat seperti 1515 karya Faisal Tehrani umpamanya. Jadi adakah kerana sebab-sebab ini sahaja beliau sudah tidak boleh memegang pena dan meneruskan perjuangan penulisan beliau?

Adik yang mengambil krusus penulisan ini berkata, guru beliau gemar membanding-bandingkan karya teman sekelas yang katanya bagus. Karya rakan-rakan sekelas dia ini rata-ratanya berbaur cara penulisan "ke tanah seberang". Maka dengan itu, si guru dengan mudah mengangkat karya kawan-kawan sekelas adik ini sebagai yang terbaik lalu,melempar karya adik yang dikatakan tidak semurni dan tidak sebaik karya yang lainnya.

Hancur luluh kaca hati adik ini. Semangatnya yang pada mula berkobar-kobar hendak menulis, bagai disentap. Ditambah dengan kata-kata yang sesungguhnya mengarit perasaan, aduh hati mana yang tidak sakit. Jika saya sendiri dalam situasinya, mungkin sudah pecah airmata dalam kelas guru terbabit.

Seingat saya (yang sudah semakin berusia ini), tidak pernah saya mendengar penulis-penulis mapan memberi gelar yang sebegitu hodoh pada penulis-penulis muda lagi hijau seperti saya ini setiap kali bersua muka, mendengar ceramah atau diperkenalkan sebagai penulis oleh rakan-rakan yang lain. Paling mereka tekankan adalah teruskanlah menulis tidak kira hanya menulis catatan pada lembar jurnal setiap hari. Yang penting nasihat mereka setiap kali itu adalah perbanyakkan pembacaan dalam apa jua disiplin, menulis...menulis dan menulis.

Jadi kalau penulis mapan pun nasihatnya sebegitu, guru adik saya yang tidak pernah membuktikan menang apa-apa lomba penulisan ini, layakkah ingin menarik gelar seseorang berbakat atau tidak?

Thursday, December 13, 2007

Setelah 12 Tahun...

Muka Ceria Rakan-Rakan

Angka 12 pada saya tahun ini membawa banyak sekali erti dalam kehidupan saya. Pertama adalah kerana setelah 12 tahun tidak mempunyai antologi cerpen terbaharu, karya saya dipilih oleh pihak panitia untuk dimuatkan dalam antologi bersama dengan rakan-rakan mantan MPR yang juga diberi judul 12!. Namun yang paling mencuit rasa menyentuh hati adalah pertemuan semula dengan teman-teman disekolah rendah setelah 12 tahun menamatkan pengajian rendah saya sekitar tahun 1995. Yang lucunya, pertemuan ini diadakan juga pada bulan 12 (nasib saja tarikhnya tidak 12/12...hehe!)

Jejaka Idaman Malaya...sampai saya juga disuruh pilih salah seorang...haha!
(Dari Kiri; Farid,Rafyiq,Razuq,Azwan,Atan,Izni & Ozee
Depan;Bismi)

Emak dan ayah tertawa besar dengan cerita saya apabila teman-teman yang bersama ketika disekolah rendah bercadang mengadakan pertemuan (reunion) pada minggu lalu. Selalunya kita akan lebih bersungguh mengumpul teman ketika disekolah menengah ataupun sekampus tapi, lain pula dengan acara yang satu ini, acara mengumpul semula teman-teman ketika disekolah rendah. Satu kelainan bukan. Terima kasih saya pada kecanggihan teknologi yang membantu kami semua ini untuk bertemu kembali!

Sambil Menantikan Makanan Pun Sempat Bersembang

Sesungguhnya saya amat terkejut (juga teruja) apabila saya adalah antara "manusia-manusia" terawal yang mendapat undangan pertemuan ini. Sungguh saya tidak menduga mereka masih lagi mengenal saya kerana saya bukanlah pelajar yang popular ketika bersekolah rendah dahulu.
Kata salah seorang teman wanita saya, Nurin Wahidah, dia hanya ingin bertemu dengan rakan-rakan sahaja pada awalnya. Tidaklah berhasrat untuk mengadakan acara semeriah yang diduga. Jadi reunion hebat ini adalah datangnya dari buah fikir dua teman sekelas saya yang lain iaitu Rafyiq dan juga Shahrul Nizam aka Atan yang diandalkan kami kini sebagai ketua-ketua juga bertindak sebagai orang kuat.

Antara Teman-Teman Yang Hadir

Wanita-Wanita Yang "Vogue"
(Dari belakang; Suriana & Saya...
Dari Kanan Depan;Nurin Wahidah, Hajar & Yanti)

Setelah 12 tahun tidak bertemu ini semua sudah nampak lain. Yang sudah bertunang, datang bersama tunang. Yang sudah bersuami atau isteri bukan sahaja datang berdua, malah sekeluarga. Namun, ramai juga yang masih solo...datang bersama diri sendiri sahaja! hehe...

Kan Saya Dah Kata...Anak Kecil pun Ada...

Acara petang ahad ini bermula dengan sesi suai kenal. Mereka ini bukan mereka yang sama seperti 12 tahun lampau. Ada yang sudah bekerja hebat-hebat, serdahana malah ada yang sudah menjinakkan diri dalam bidang perniagaan seperti kawan saya Yanti yang khabarkan akan membuka stall menjual aksesori wanita di Alamanda, Putrajaya. Bila tiba giliran sendiri, rasa kecut juga kerana tidak tahu mahu cerita apa mengenai diri sendiri. Tetapi, teman yang lain pula sibuk memperkenalkan saya sebagai itu ini pula pada kawan-kawan yang lain. Yang mengetahui mengenai antologi 12! pula sibuk menjualnya bagi pihak saya. Ahh...pecah berderai ketawa sendiri disuakan melihat kelatah kawan-kawan ini.

Nurin Wahidah & Hafiz Zainal

Seusai itu, acara seterusnya adalah acara main bowling. Saya yang tidak pandai main selalu sahaja ditertawakan. Memang saya tidak pandai main bowling hingga kadang-kadang diberi gelar J.Lo (bukan Jennifer Lopez tau tapi Juara Longkang)...hehe. Hafiz berkata menantikan bola yang saya lontar untuk sampai ke pin terlalu lama kerana balingan saya yang disifatkannya "lemah lembut". Iyalah...mereka memang pandai bermain tengok jatuhan pin mereka dilayar markah sahaja buat siapa sahaja takut.

Semua Menganga Melihat Tim Yang Hebat Petang Itu...

Selain aturan acara yang baik oleh pengurus acara kami Rafyiq dan Atan, kami dikejutkan lagi dengan pemberian cenderamata oleh mereka. Lihat cara bungkusan sahaja sudah buat kami teruja, isinya wah!!!. Acara kali ini memang sudah well prepared! Siap dengan kain rentang...aduh...macam hendak disambut pak menteri sahaja mereka berdua ini. Agaknya tanpa kehadiran merekja berdua, entah ada entah tidak acara tersebut.

Azwan (Baju Hitam), Ozee & Suriana

Sedang makan malam bersama dengan rakan-rakan lain, kami sempat berbual untuk mengadakan acara seumpama ini pada masa hadapan. Kemungkinan besar acara pada masa akan datang diharap akan lebih baik dari acara kali ini. Insyallah!

Sempat "Pose" dengan Kain Rentang Yang dibuat Rafyiq

Wednesday, December 05, 2007

Kisah Tiga Hari



12!

12! Kepunyaan Saya Yang Sudah Di"Autograf"

1) Hari Satu


Kisah ini bermula pada hari jumaat lepas (30 November 2007). Malam hari itu saya dan gerombolan adik-adik Mantan MPR yang manja dijemput untuk menghadiri Majlis Penutupan MPR 2007 sekaligus Pelancaran Antologi Gabungan Mantan-Mantan MPR Siri 2 iaitu Antologi 12!. Tema pakaian yang diberi Kak Rai adalah hitam! Ode kata malam itu adalah malam mambang hitam. Mambang hitam pun mambang hitam lah. Janji rock!

Seawal jam 5.30 petang saya dan Ode, telah bersama-sama "memungut" adik-adik saya yang manja ini. Bermula dengan Yana di Pekan Kajang kemudian ke UPM mengambil Zulfazlan dan akhirnya ke Bandar Sri Permaisuri mengambil Fieda. Sepatutnya dari rumah Fieda menuju ke Dewan Bahasa perjalanan itu tidaklah mengambil masa yang lama. Namun, kerana hari jumaat maka kami tersekat hampir 30 minit dalam kesesakan lalu lintas. Kesesakan ini bukannya membuatkan kami tertekan malah, didalam kereta merah saya yang comel itu, mereka sempat bergurau senda, gelak ketawa sambil mengenakan saya dengan gosip-gosip yang mereka ada-adakan sendiri (hahahaha!)

Dalam gosip-gosipan, bercanda dan riang ketawa, adik-adik ini sempat mencari tema pula untuk puisi. Tidak semena-mena tajuk yang menarik timbul dan Ode bersemangat hendak menuliskan puisinya. Aduh, kalau sekereta penuh penulis macam-macam idea datang menyinggah! Dalam sesak, ketawa dan belum menunaikan waktu maghrib, adik-adik ini masih prolifik!

SMS dari mantan lain pun menyinggah. Sorang tanyakan mana lokasi yang sorang lagi suruh get ready untuk pelancaran. Yang penting, semua sudah teruja untuk bersama-sama. Bukan mudah hendak berjumpa, bergembira dan yang penting bergambar!

Saya dan adik-adik fikirkan kami sudah telat tiba dan masing-masing tergocoh- gocoh menyudahkan maghrib yang masih tersisa. Namun setelah tiba ke destinasi, kami rupanya antara yang terawal. Peserta MPR 2007 pun masih sibuk berlatih untuk persembahan dan mantan senior yang sudah tiba hanya Abang Saharil & Nasriah. Hanya beberapa ketika selepas ketibaan kami, semakin ramai mantan-mantan lain tiba.
Puteri-puteri MPR yang Cute-cute Gitu

Geng Klasik Saya

Meriah acara malam itu. Bergambar dan bergambar. Kadang-kadang saya fikir kami ini berada dalam majlis anugerah Grammy sebab disana sini ada flash kamera. Lebih meriah geng lagu klasik lah. Peluang berjumpa sekali-sekala tujuannya adalah berkongsi lagu klasik. Paling saya tidak sangka, ramai juga mantan yang layan lagu lama. Jadi kiranya saya berada dalam lingkungan manusia yang betul...hehe.
Nasib Si Tukang Pemotret...Selalu Takde Dalam Gambar

Setelah meeting serba ringkas, hampir 12 malam baru kami bertolak pulang. Dalam perjalananpulang boleh singgah minum-minum di Bandar Sri Permaisuri dan setelah itu kerja saya seperti petang itu menghantar semua pulang dengan selamat ke rumah masing-masing.

2) Hari Dua

Awal pagi, saya sudah bersiap-siap ke rumah Fieda. Hari ini saya diajak menonton Opera Cina dalam bahasa Malaysia di Panggung Eksperimen, ASWARA. Adik-adik ini dan saya pun pergilah menonton opera berkenaan.Wah saya teruja juga menonton persembahan ini. Barangkali sudah lama tidak ada kesempatan menonton persembahan sebegini, rasa puas itu menguasai diri.

Urusetia MASKARA...Saya Nak High Heel Yang Kaler Silver Tu Boleh?

Pada malam harinya pula, kami berlima (saya, yana, fieda, fatin & ode) ke rumah PENA menyaksikan MASKARA (Malam Perempuan-Perempuan). Sebenarnya saya telah diundang khas untuk membaca naskah. Namun kerana keterlambatan saya membuka jemputan pada emel, maka saya hanya datang sekadar untuk menonton baca naskah tersebut sambil menyokong tiga orang mantan MPR yang dijemput baca naskah juga.

Farahana & Selendang Hijaunya

Ummu & Fragmen Novelnya

Antara mantan yang membaca karya mereka malam itu adalah Farahana Husin dengan cerpennya "Mahkota Diatas Jemala" dan Ummu Hani pula membaca fragmen novel "Ladang Hati Mustika"nya. Kak Salina yang membaca naskah selepas rehat minum membaca cerpen yang pernah tersiar di Dewan Sastera dengan kisah "Balik Kampung".

Seusai acara (yang tamat hampir jam 12), kami meneruskan langkah ke Tupai-Tupai pula. Kali ini hanya minum-minum sambil sembang iseng dengan adik-adik untuk beberapa ketika. Secara tidak sengaja, saya mempertemukan tautan antara dua hati. (Siapa mahu tahu kisah selanjutnya...boleh tanya langsung pada saya).


3) Hari Tiga
Kenduri Dirumah Azree Ariffin...Lan macam tak nampak jer...

Untuk hari ketiga ini, saya dan adik-adik telah dijemput ke Bandar Utama menghadiri kenduri mama dan papa Azree Ariffin ke Mekah. Rombongan kali ini adalah rombongan yang sama dengan hari pertama. Jadi kalau lima sekepala ini sudah dipertemukan, nasib baik tidak pecah kereta comel saya dengan gosip liar dan ketawa yang tidak terkawal. Rumah Azree tidaklah susah mana tapi, minda saya yang kadang-kadang tidak berapa fokus suka cari jalan yang susah hendak sampai kesana (saya ni kaki sesat kalau memandu!).

Hani & Fieda

Selepas ke rumah Azree, tujuan hendak ke Taman Tasik Permaisuri akhirnya kesasar ke Muzium Negara (kan saya dah kata, saya kaki sesat). Jadi akibat terlalu lama tidak melawat muzium, saya dan adik-adik ini umpama rombongan melihat kebesaran bangunan muzium (muzium je besar, barang pameran macam sedikit sahaja).

Practice Make Purfect...Eh,Tak Kose Mak!

Setelah berlama-lama sambil menghirup udara dalam bahan-bahan sejarah, adik-adik merancang untuk ke Tasik Permaisuri semula. Azree yang baik hati telah menyiapkan kek yang sedap untuk kami bawa berkelah. Sambil borak (macam tidak habis-habis) sempat sebuah puisi terlahir ditepi tasik yang damai. Insyallah, kalau sudah siap edit...akan saya lekat disini.

Puisi...ooo...puisi