Tuesday, July 17, 2007

Memandu, Dipandu atau...


Saya akui walaupun sudah banyak tahun memiliki lesen memandu cuma tahun ini benar-benar pegang "stereng". Apa hendak dikata kerana sebelum ini keluarga malah diri sendiri tidak mampu menyediakan "kenderaan" untuk saya pandu. Jadi sekian lama ini saya hanya "dipandu" kemana-mana sahaja saya ingin tuju. Bertuah juga badan namun, selalunya merana diri.

Oleh kerana sudah lama benar tidak memandu, perasaan kekok dan takut-takut itu mestilah bersarang juga dihati saya ini (Biasalah...tak biasa memandu pula katanya kan!). Seperti pernah saya katakan dalam sebuah entri (disebuah lagi blog saya), emak adalah orang yang paling takut mula-mula lihat saya memandu. Hehe. Namun bila sudah lihat saya sudah "biasa" memandu mengharung kesesakan di Jalan Tun Razak (ketika saya berkhidmat disalah sebuah bank di Jalan Raja Chulan), dia sudah semakin berani melepaskan saya memandu seorang diri ke mana sahaja destinasi yang mahu saya pergi. Kata ayah pula, saya sudah pandai membawa kereta lebih laju daripada biasa (sekali lagi ini bukan promo stesen radio swasta). Waktu ayah dan emak sudah beri "lampu hijau" saya senyum puas.

Namun entri kali ini bukanlah hendak bercerita mengenai kepuasan saya memandu tetapi mengenai gelagat pemandu-pemandu di Malaysia. Jom kita lihat situasi-situasi dibawah...

Situasi 1

Sekiranya anda pemandu seperti saya(atau biasa jadi "Co-pilot"), saya rasa anda sangat biasa melihat gelagat pemandu yang tidak pernah pandai hendak menggunakan "signal" ketika mahu menukar lorong. Kemungkinan ini adalah penyakit epidemik yang sedang menular di Malaysia dan menjangkiti semua pemandu negara ini.

Saya tidak kisah sekiranya anda enggan beri signal atas alasan kereta di lorong yang anda hendak tukar lorong tersebut berada jauh (walaupun sebenarnya itu pun tidak selamat), ini tidak. Rata-rata pemandu yang tidak suka atau lebih manis kalau saya catitkan disini kurang gemar memberi "signal" berada sangat rapat dengan kereta di lorong yang hendak dimasuknya itu.

Tidakkah pernah anda dan saya terfikir perbuatan tersebut sangat yang merbahaya dan sekiranya pemandu kereta belakang anda pula memang sedang membawa kereta lebih laju daripada kenderaan anda? Dan jika kesalahan ini dibawa ke pihak polis pun yang akan disaman tetaplah kenderaan dibelakang kerana walaubagaimanapun kes kemalangan itu berlaku, pemandu yang melanggar daripada belakang akan dikenakan saman. Sedang kejadian ini bukan salahnya.


Situasi 2

Saya merasa agak terkilan dengan sikap sebahagian masyarakat Malaysia yang masih lagi ada pembahagian dalam konsep gender pemandu. Dalam bahasa "sekolah"nya stereotaip pada golongan pemandu dari golongan saya. Saya fikir setelah kita bertukar abad, beralih ke zaman ICT dan sekolah "bertingkat-tingkat", label dan stereotaip ini sudah tiada. Namun sebaliknya yang berlaku teman-teman. Pemandu dari golongan satu lagi ini masih ada label dan perasaan gender dalam diri ketika memandu.

Sebelum saya teruskan baik saya kata saya tak "generalize" kan semua pemandu daripada golongan tersebut semuanya begitu tetapi, kebanyakan (fuhh...ayat selamatkan diri je bunyi).
Mereka ini semacam iri melihat kami dari golongan ini memandu. Kalau memandu kereta yang "lebih" sedikit daripada mereka...sah sahlah akan dipotong dengan megahnya. Walhal,kereta kancil mereka naik semput nak mengejar.

Itupun masih baik lagi. Terdapat satu kes saya sedang memandu dan dibelakang saya sebuah lori besar. Saya memandu di laluan tengah dan yang pasti lori memang tidak boleh mengikut jalan tengah kecuali untuk memotong. Apa yang buat saya naik menyampah ialah pemandu lori berkenaan dengan sengaja memandu rapat-rapat dengan kereta saya. Tujuannya untuk menakut-nakutkan saya. Sorry sikit. Saya tidak takut bila diugut sebegitu. Malah saya terus memandu mengikut had laju. Bagi saya, jika pemandu lori tersebut ingin memotong kereta saya, ada jalan lagi disebelah kiri dan disebelah kanan. Hanya beri "signal", pastikan jalan kosong dan tukarlah haluan anda.


Situasi 3

Pemandu kenderaan berat kini semakin merasakan kenderaan mereka "ringan". Seperti kes diatas...mereka sudah tidak hirau lorong mana yang harus kenderaan mereka berada. Habis semua lorong kini disapu bersih mereka.

Yang bestnya, diantara kenderaan berat dengan kenderaan berat yang lain pun sudah pandai berlawan-lawan dan bersaing antara satu sama lain di atas jalanan. Apa nak jadi ni? Alih-alih nanti...Gajah dengan gajah bergaduh, pelanduk mati ditengah-tengah...


Situasi 4

Keluarga dan kawan-kawan sering mengadu pada saya banyak pemandu kini memandu dengan perlahan pada lorong laju. Apa kena ye? Mungkin pemandu kini fikir semua lorong sama kot...

Permintaan saya hanya satu kepada anda yang membaca entri ini (nak dikhabar pada semua rakyat...tak mampulah saya), cubalah pandu pada lorong yang betul dengan kelajuan kenderaan anda. Sekiranya anda ingin memandu dengan kadar lebih perlahan...ke kiri. Memandu dengan lebih laju ataupun hendak memotong...ke kanan. Tidak susah kan?

Selain mengelakkan kesesakan di jalan raya, anda juga menyumbang mengurangkan kadar kemalangan yang semakin meningkat setiap tahun di negara kesayangan kita ini.


Kesimpulannya,

Memandu di bandar-bandar besar ini kata salah seorang teman saya, kalau kita tidak melanggar orang, kita pula akan dilanggar. Kemalangan jalan raya ini memang tidak berbau (kalau berbau kita bolehla mengelakkannya). Apa yang terbau hanya bau minyak dan darah, kenderaan dan mangsa yang terkorban.

Jika masyarkat kita masih lagi mengamalkan konsep pemanduan seperti yang saya katakan tadi, tidak ada gunanya kempen-kempen keselamatan jalan raya yang sering diwar-war kerajaan kita. Tidak ada gunanya juga saman berlori-lori yang dikeluarkan kepada pesalah jalan raya...jika kadar kemalangan dan kehilangan jiwa sama juga banyaknya.

Malah, saya juga tercuit rasa dengan salah seorang teman saya diseberang tambak sana yang berkata, "Jika anda boleh memandu di Kuala Lumpur, bermakna anda boleh memandu dimana-mana sahaja,". Gambaran yang diberi teman saya itu menunjukkan betapa teruknya sistem pemanduan di Malaysia ini.

Jadi teman-teman semua, entri ini bukan nadanya menyindir atau mengherdik pemandu di Malaysia. Cuma saya berharap dengan entri kali ini, kita lebih berfikir tentang keselamatan orang lain dan keselamatan diri sendiri ketika memandu...

Fikir-fikirkanlah...