Friday, March 30, 2007

Jalan Ampas Dahulu dan Kini


Papan tanda ke Jalan Ampas dari Ballestier Road

Lawatan ke Singapura kali ini membawa saya mengamit kembali memori di Jalan Ampas. Alhamdulillah, tuhan memberi kesempatan pada diri saya ke tempat ini setelah berkali-kali tidak berkesempatan menyinggah kawasan berkenaan. Barangkali mungkin kerana hotel yang ditempah abang saya kali ini di Ballestier Road, maka jika tidak mengambil peluang menjenguk kawasan sekitar, alangkah ruginya.

Jalan Ampas adalah salah satu lorong di sebuah jalan besar, Ballestier Road. Jalan Ampas masih lagi digelar jalan (walaupun kebanyakan nama jalan di Singapura ini sudah di inggeris kan). Besar kemungkinan ini terjadi kerana memori yang terpalit pada nama jalan itu sendiri.

Batu Peringatan di Hadapan Studio Jalan Ampas

Sudah tiada apa-apa lagi yang istimewa di Jalan Ampas kini. Jika dahulu jalan ini sangat sibuk dengan kenderaan keluar masuk menghantar pelakon-pelakon, lori berisi peralatan studio atau basikal yang ditunggang pekerja-pekerja Shaw Brothers, kini jalan ini senyap dan sepi. Bangunan di No 8, Jalan Ampas sudah sunyi. Hanya di hadapan bangunan terletak sebuah batu peringatan menceritakan sejarah tempat berkenaan. Kawasan studio pula sudah ditutup dan tidak dibenarkan masuk. Bangunannya sudah usang dan tidak berpenghuni lagi.

Studio Jalan Ampas dari luar

Hati saya digamit kenangan dalam filem Seniman Bujang Lapok. Lewat filem berkenaan kita dapat lihat studio tersebut begitu gah. Namun kini cuba lihat sendiri, seperti sudah hilang taringnya. Malah seperti tiada usaha menjadikan tempat ini salah sebuah muzium untuk kita banggakan kenangan yang dipunyanya. Lalu, tinggallah bangunan yang banyak mengeluarkan filem bermutu, layu dalam ketuaannya sendiri.

Saya (dan abang saya) merasa agak hampa juga apabila melihat kawasan studio yang sudah berpagar dan tidak dapat kami masuk dan merasakan auranya dari dekat. Abang saya bagaimanapun dapat memperoleh gambar kawasan dalam studio. Turut saya sertakan gambar tempat yang serupa sedutan dari Seniman Bujang Lapok.
Studio Jalan Ampas dari dalam dahulu dan kini

Selain dari gambar-gambar studio, saya juga sempat bergambar di beberapa lokasi pengambaran dalam adegan P Ramlee dikejar isteri-isterinya dalam Madu Tiga. Sempat juga duduk mencangkung di tempat Apek (Madu tiga), berlakon ala-ala Sarimah ketika P Ramlee terjun dari jambatan. Selepas bergambar, saya tergelak sendiri kerana begitu asyik dibuai kenangan.
Untuk informasi anda, jambatan inilah jambatan yang digunakan oleh para pelakon di studio Jalan Ampas untuk pulang ke rumah mereka di Boon Teck Road. Boon Teck Road terletak selang dua jalan dari Jalan Ampas.

Jambatan tempat P Ramlee cuba lari daripada isteri-isterinya dalam Madu Tiga dan tempat saya sedang mencangkung, tempat Apek (dalam Madu Tiga) mencangkung menantikan "seksa kubur"


Berlakon ala-ala Sarimah dalam Madu Tiga...



Sampai dicoretan yang lain.