Monday, April 10, 2017

Bukan Travelog Haji di Bumi Anbia


Tapi pertanyaan cepu-emas Pak Pin kepada saya menjangkau jangkaan; 
"Sudah jumpa cinta Allah?" (halaman 132)



Saya kutip langsung dari Ada Apa Dengan Cinta 2 (2016) seperti kata Rangga:

"Travelling itu perlu lebih spontan. Yang dinikmati itu justeru prosesnya dan kejutan-kejutan yang mungkin muncul"

Ini bukanlah kembara lagi tetapi, sebuah penghijrahan. Dari sebuah kawasan paling indah di Malaysia terus ke kawasan tandus di bumi Anbia. Peralihan ini semestinya bukan spontan tetapi, kejutan-kejutan dan jangkaan yang ditempuhi meski dihidangkan melucukan pembaca, tetapi sangat mengesankan penulis. Imaginasi-imaginsi yang sedikit hiperbola malah membuat pembaca tersenyum sendiri. Ada pada bahagian-bahagian tertentu pembaca tertawa lepas. Kita turut sama larut dengan rasa geram, bengang, sinikal, nakal, gembira, sedih, hiba dan sepi penulis. Saling bergaul bersama dalam tulisan-tulisan dalam buku ini. Buku apa? Buku inilah, Bukan Travelog di Bumi Anbia  (2017) terbitan Studio Anai-Anai karya terbaharu Dr Ramzah Dambul, atau di dunia siber lebih dikenali sebagai Dr Rem Dambul.

Saya mengambil masa yang agak lama untuk mengusaikan buku setebal 152 halaman ini. Tidak tebal mana pun sebenarnya. Selain memang saya pembaca lambat, saya sengaja mengambil masa dan bertukar-tukar tempat membaca. Dari Cyberjaya-Kajang menyeberang Laut China Selatan ke Kota Kinabalu, kemudian ke Kundasang kembali ke Kota Kinabalu dan berakhir di Kajang. Sejujurnya, sebelum ini saya telah pun membaca catatan-catatan dalam buku ini menerusi laman Facebook, (FB: Rem Dambul). Namun, harus saya akui membaca semula dengan bentuk yang berlainan memberi kesan sentuh yang berlainan. Jika di laman Facebook tulisan-tulisan ini dibeberkan satu-satu pada waktu tertentu tetapi, buku "menyatukan" semua tulisan berkenaan dalam sekali baca. Selain turut adanya komentar pembaca dan gambar berwarna-warni yang turut disertakan bersekali. Buku memberi teks sepenuhnya dan beberapa keping gambar di antaranya. 

Apa yang lain?

Bukan Travelog Haji di Bumi Anbia (2017), seperti tajuknya bukanlah kisah seputar pengalaman mengerjakan haji, umrah mahupun ibadah secara umumnya di tanah suci Mekah dan Madinah semata-mata. Ini pengamatan penulisnya dari pengalaman sepanjang berada 2 tahun bekerja di King Abdul Aziz University, Jeddah. Tentang bagaimana berhadapan dengan kesepian, kebosanan mahupun cara hidup dan sosialisasi masyarakat yang berbeza jauh daripada pengalaman-pengalaman yang banyak kita baca tentang tanah Arab sebelum ini.


Halaman 7

Ada pada banyak bahagian menerusi buku ini, saya terhenti dan merefleksi diri sendiri. Yang awalnya pastilah tentang Sabah. Jika anda pernah ke Sabah anda akan tahu kenapa pada awal hijrahnya, Dr Rem rindu pada setiap satunya di Rumah Pangi (rumahnya di Kampung Sabandar, Tuaran) malah Sabah itu sendiri. Kebetulan saya membaca bahagian ini dalam perjalanan ke Sabah. Well, I have to agree. Saya sendiri pun kerapkali harus kembali kerana rindu pada laut, gunung malah semuanya yang ada di Sabah. Diasingkan dari kawasan ini pastilah tidak sama sekali mudah.



Halaman 55

Ya, pastilah buku ini juga turut memuatkan pengalaman mengerjakan ibadah di 2M (Mekah dan Madinah) tetapi, gambaran dan pandangan yang berbeza memberi kelainan kepada pembaca. Penulis cuba mengetengahkan bahagian lain seperti bagaimana pemisahan antara elemen spiritual dan dunia kapitalis adalah seperti senipis kulit bawang. Ini digambarkan dengan pemisahan pusat membeli-belah Al-Bayt dengan kawasan halaman Baitullah yang begitu dekat. Begitu juga tentang jemaah haji luar yang datang menunaikan haji secara bebas tanpa pengendali tertentu. Bagaimana golongan ini digambarkan bergelandangan di kawasan Padang Arafah. Juga bahagian-bahagian lain yang amat menyentuh seperti bagaimana kamera sebenarnya hanya dapat merakam bahagian tertentu tetapi tidak semua pengalaman yang diraih sepanjang mengerjakan ibadah haji. Umpamanya sepasang warga tua yang berpimpin tangan menuju melontar jamrah dan keheningan-keheningan perasaan yang hanya dapat diraih hanya dengan merasai sendiri pengalaman berkenaan.

Saya juga tertarik dengan pengalaman penulis bersahabat dengan imigran Asia Barat yang lain. Lebih menyentuh adalah bagaimana layanan golongan gasar (panggilan Dr Rem kepada orang asal) kepada golongan ini yang secara amnya amat buruk. Begitu juga dengan pengalaman tersalah dimasker yang akhirnya menjadi rutin mingguan menghalau rasa sunyi di tanah Anbia.

Menuju ke hujung, kita diperkenalkan dengan watak-watak orang Malaysia yang lainnya. Yang paling menarik, perkenalan dengan golongan profesional Malaysia seperti Pak Pin dan soalannya tentang "sudah jumpa cinta Allah?".

Secara umumnya, kandungannya amat menarik. Setiap satunya dikupas bersahaja, memberi nilai tambah (terutama dalam bidang klimatologi yang memang kepakaran Dr Rem), lucu dan ada waktunya buat kita merefleksi diri sendiri tentang banyak hal. Jika yang tidak boleh menanggapi setiap lelucon yang diberi secara dewasa mahupun sebagai hiperbola, pasti anda akan menyelar penulisnya yang gemar menggunakan simbolik yang 'agar keterlaluan'.

You just have to read between the lines, Honey. Then you will appreciate it more :)

Lelaki yang menulisnya jika anda jumpa di dunia nyata sangat harmless dan pemalu amat (habislah kena 'ketuk' nanti...larikk).

Cuma, andai buku ini dilengkapi dengan sedikit prakata penulis dalam menerangkan mengenai tulisan ini adalah lebih molek. Bagi pembaca pemula membaca tulisan Dr Rem, barangkali mereka akan "lost" dengan apa yang diperincikan. Menerusi prakata setidak-tidaknya penulis mampu memperkenalkan sedikit sebanyak mengenai tulisannya, jangka masanya ditulis, asal tulisan berkenaan (yang diambil dari pos laman FBnya) dan mungkin sedikit refleksinya kini pada tulisan-tulisan berkenaan. Begitu juga dengan bahagian "Hijrah di Jeddah 2012-2014" pada halaman tajuk, molek juga dialihkan pada permulaan sebelum tulisan awal dimulakan. Tidaklah pembaca terus terkejut masuk ke halaman tulisan secara langsung.

Aturan tulisan yang ditandakan dengan nombor sebenarnya menggangu. Banyak tulisan (terutamanya di bahagian-bahagian akhir) seperti bercampur aduk dengan pengalaman Dr Rem setelah pulang ke Malaysia dan pulang (beberapa kali) untuk urusan di Jeddah. Lebih baik, nombor diubah kepada tarikh. Dengan cara ini, pembaca dapat meneliti tulisan yang dihidangkan dalam suatu jangka masa yang lebih pasti. 


Cukup kot komen kan? Haha...


Lagi? Baca ya. Nanti tak seronok pula kan :) 

Buku mesti milik. Jangan lupa cari kalau ke Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL 2017) di PWTC akhir April nanti ya :)

0 comments: