Sunday, February 24, 2008

Perhimpunan Alumni Minggu Penulis Remaja (MPR)

Satu sumber terbaharu yang boleh diperoleh dari laman web Dewan Bahasa & Pustaka


Perhimpunan Alumni Minggu Penulis Remaja (MPR)
Dewan Bahasa & Pustaka dengan kerjasama Kelab Alumni MPR akan merancang untuk menganjurkan satu Perhimpunan Alumni MPR pada tahun ini. Sehubungan dengan itu, kami ingin memohon semua mantan MPR (1985-2006) untuk menghubungi kami melalui telefon, surat, faksimile ataupun emelkan maklumat diri supaya memudahkan kami menghubungi saudara. Kerjasama pihak tuan/puan amatlah dihargai.

Alamat surat menyurat:

Urus Setia Perhimpunan Alumni Minggu Penulis Remaja (MPR),
Bahagian Pergembangan Sastera Kebangsaan,
Tingkat 22, Menara DBP, Jalan Dewan Bahasa,
50460 Kuala Lumpur.

u.p: Puan Malissa Ab Malik
Telefon: 03-21481240
Faksimile: 03-21414109
Emel: malissa@dbp.gov.my


***Diminta jasa baik semua Mantan MPR untuk memberi kerjasama dalam mempermudahkan pihak Dewan Bahasa & Pustaka menghubungi anda bagi urusan Perhimpunan Alumni MPR ini. Semoga dengan kerjasama yang diberi perhimpunan ini akan dapat dijalankan seperti yang dirancang. Insyallah.

Wednesday, February 20, 2008

Buku Melayu...Sorry I Tak Baca!

Suatu hari sedang saya leka dan sibuk menguliti, mencari dan terjengket-jengket (almaklum tinggi tidak seberapa) mencari bahan rujukan di hadapan sebuah rak buku perpustakan, tiba-tiba saya jadi loya tidak keruan. Punca ke"loya"an ini bukanlah disebabkan saya ditimpa penyakit kebanyakan angin atau migrain tetapi, kerana mendengar pengakuan ikhlas seorang pelajar kepada sahabatnya. Untuk memudahkan cerita, mari beri nama pelajar ini sebagai si A dan kawannya sebagai si B.

Si B menunjukkan rak buku-buku sastera melayu kepada Si A.

Si B kata "Banyaknya buku melayu. Jom kita pinjam dan baca nak?,"

Dengan wajah berkerut dan mulut sedikit herot si A menjawab, "Apa buku melayu? Sorry I Tak Baca buku-buku ni. Dah bertahun-tahun I tinggalkan buku-buku melayu ni....eee,"

Saya yang mendengar perbualan si A dan si B ditimpa pelbagai perasaan. Loya, menyampah, kesian, sedih, pilu dan berbagai-bagai aneka rasa. Tidak tahu apakah perasaan terbaik yang boleh saya gambarkan waktu itu.

Pertama, saya sedih. Sedih kerana ada juga masyarakat yang memandangkan rendah pada buku-buku didalam bahasa melayu. Ya, saya akui ada juga buku didalam bahasa melayu yang layak "dibakul bulatkan" kerana isi, jalan cerita dan tatabahasa yang serba carca marba. Namun, adalah tidak layak seseorang yang memahami buku-buku berbahasa melayu beranggapan bahawa semua buku melayu sebegitu. Masih terdapat buku-buku dalam bahasa kita yang baik contohnya buku-buku sasterawan negara dan penulis-penulis tempatan yang lain. Barangkali mereka yang membuat tanggapan sebegini tidak pernah terdedah ataupun tidak faham karya penulis-penulis hebat negara kerana beranggapan karya-karya ini berat dan golongan ini juga mengambil jalan mudah menjadikan buku-buku bernuansa "serba carca marba" tersebut untuk dijadikan teks KOMSAS 2010. Lalu akan jadi apakah bangsa kita nanti kalau dalam pendidikan mereka nanti telah dimomokan sastera "carca marba" ini kelak?

Kedua, menyampah. Aduh si A membuatkan saya menyampah alias mahu muntah. Saya teringatkan tulisan Kak Rai mengenai sindrom "melayu sangat". Saya juga pernah dikatakan melayu sangat ataupun tidak mahu berkembang cabang pemikiran hanya kerana asyik berkepit dengan buku-buku melayu. Saya tidak tahulah apakah yang dimaksudkan dengan "melayu sangat" padanya. Jika interpretasi "melayu sangat" pada pengucapnya dikira sebagai jumud, mundur, ketinggalan (dan kata-kata buruk yang sewaktu dengannya) , saya sendiri ingin mengucapkan takziah yang amat sangat kepada manusia itu. Baca dahulu buku-buku dalam bahasa kita ini (tidak kiralah genre apa sekalipun!) barulah mentafsir. Kadang-kadang buku-buku ini lebih banyak ilmunya daripada buku-buku berbahasa lainnya. Cuma berilah sedikit peluang pada buku berbahasa melayu. Jangan senang melempar tuduhan sebelum sendiri mendalaminya.

Ketiga, pilu. Saya pilu (bukan kerana lagu "Dambaan Pilu" yang memilukan itu-- Encik Mohariz minta ampun!). Kekurangan pembaca buku berbahasa melayu secara tidak langsung mengurangkan permintaan dan juga pengeluran buku-buku terbaik dalam bahasa melayu. Jangan terkejut jika anda tidak dapat mencari dan membeli buku-buku karya sasterawan negara sekalipun anda ke DAWAMA Hulu Kelang ataupun di Kedai Buku Dewan Bahasa kerana perkara ini telah pun terjadi pada saya dan rakan penulis yang lainnya. Kak Nisah Haron dalam komennya pada salah satu entri saya menyatakan sepatutnya buku-buku oleh sasterawan negara ini perlu sentiasa ada agar mudah dicari dan dimiliki. Saya akui buku-buku ini telah lama ditulis tetapi, bagi generasi baru seperti saya yang baru mengenal buku itu mesti tercari-cari akannya. Namun, bila ke kedai naskahnya telah tiada dan tidak akan dicetak ulang. Oh, sedihnya!

Lewat tulisan ini antara anda mungkin akan membuat andaian bahawa saya sangat bias atau berat sebelah kepada buku berbahasa melayu. Saya akui saya baca juga buku dalam bahasa lain (kadang-kadang lebih banyak buku dalam bahasa lain saya baca). Namun, kerana saya adalah seorang melayu dan terbaik yang saya mampu jadi adalah seorang melayu, bahasa terbaik dan masih menguasai jiwa saya adalah bahasa melayu!. Jadi salahkah saya kalau saya mahu memartabatkan bahasa ini sewajarnya, terutama dalam konteks dunia penerbitan buku?


(...dan sesuatu yang tidak berkait dengan kisah diatas. Dibawah ini sedikit dialog sebuah filem bergenre komedi penuh elemen patrotisme yang baru saja saya tonton DVDnya. Kini sedang sibuk menonton filem pertama bertajuk sama produksi 1986 di youtube!)

Bonaga : Pak ketinggalan pesawatnya kita

Naga Bonar: Kau telefon saja mereka suruh menunggu

Bonaga: Manalah bisa. Pesawat terus berangkat sesuai jadual. Apa kata dunia kalau kita ketinggalan pesawat?

Naga Bonar: Apa kata dunia kalau Naga Bonar tidak main bola?

(Filem "Naga Bonar Jadi 2" Lakonan Deddy Mizwar & Tora Sudiro)

Tuesday, February 05, 2008

Apa Kena Dengan Buku

Public Relations??? Reality TV??? Media Ethics???Media Theories???
Writing Up Research???

Sejak sebulan lepas saya mengalami masalah kronik mencari buku-buku seputar pembelajaran saya. Kadang-kadang untuk mencari sebuah sahaja buku, saya terpaksa "melancong" ke setiap kampus universiti (disekitar lembah kelang) yang turut menawarkan krusus yang saya ambil ini. Aduh, kerja "melancong" ini kadang-kadang buat masa saya terbuang sia-sia sahaja. Sedangkan jika masa yang terbuang ini saya gunakan untuk membaca, tentu sahaja lebih berharga. Namun, kerana kembara mencari buku ini saya lakukan juga.

Bukan saya tidak suka dengan kembara mencari buku ini. Saya gemar dan perkara ini memang selalu saya lakukan dengan teman-teman (khususnya dengan teman-teman penulis yang lain). Tetapi, dengan batasan masa yang semakin sedikit, saya bagaikan terhimpit dan menghimpit diri sendiri. Sebahagian waktu siang saya kini saya gunakan untuk melihat (pelajaran) dan membaca, sebahagian lagi saya gunakan untuk "travel" ke Shah Alam dan sebahagian malam saya pula untuk ke kuliah dan juga "travel" kembali ke rumah.

Seharusnya sebagai seorang pelajar (kata anda) saya boleh mendapatkan buku-buku seumpama ini di koperasi buku di kampus. Wah, betul juga kata anda itu jika koperasi yang dikatakan wujud itu masih sebaik dan efisen seperti saya menuntut diploma dan sarjana muda dahulu. Koperasi buku ini kata pekerjanya mengalami perubahan dasar organisasi. Teruja saya mendengarnya. Telahan saya mestilah koperasi yang ada kini akan menawarkan lebih banyak judul buku bagi setiap krusus yang ditawarkan pihak universiti.

Namun sangkaan saya hanya tinggal sangkaan. Indah khabar dari rupa. Beberapa kali ke koperasi ini saya hanya mampu urut dada, tahan sabar. Wajah pekerja koperasi akan tambah berkerut dengan judul-judul yang sering saya serahkan pada mereka. Kata mereka judul-judul berkenaan kedengaran terlalu asing dan pelik. Berkali-kali itu jugalah saya terpaksa isi borang pohon mereka "carikan" buku-buku yang saya mahu itu. Tetapi, bila saya datang semula reaksi mereka masih serupa dan akhirnya apa yang mereka lakukan hanya menyuruh saya cari sendiri di kedai-kedai utama di Lembah Kelang dan tidak langsung mereka mahu menolong saya. Aduh!
Inilah salah satu kedai yang tidak mahu untung!

Saya hairan buku-buku dalam bidang yang saya ambil ini terlalu terhad (saya kira) dari buku-buku dalam bidang pengkhususan lain (seperti Kejuruteraan, Undang-Undang dan sebagainya) di kedai-kedai buku utama. Jika ada sekalipun, judulnya sudah bercampur aduk dengan seni persembahan dan filem. Kadang-kadang, terpaksa ditempah dan perlu menunggu sekitar sebulan dua untuk diterima. Aduh!

Ada juga teman-teman yang bertanya kenapa saya tidak mahu membuat salinan foto buku-buku berkenaan. Terus terang saya katakan, saya ada juga membuat salinan foto untuk buku-buku yang memang sudah tiada di pasaran. Namun buku-buku yang masih dijual dan masih dapat dipastikan kewujudannya juga penting untuk saya, saya akan pastikan saya akan membelinya. Bagi saya dengan membaca buku asal, rasanya lebih puas dan boleh disimpan lama. Manalah tahu buku berkenaan akan kita gunakan lagi dimasa hadapan!.

Kepada pembaca yang tahu dimana saya boleh mendapatkan buku-buku berkaitan media, filem dan sewaktu dengannya (dengan banyaknya), bolehlah bantu saya!


p/s: Buku warna hijau dalam gambar atas (depan sekali), "Writing Up Research: Experimental Research Report Writing For Students Of English" oleh Robert Weissberg & Suzanne Buker adalah sebuah buku yang mengajar anda menulis tesis dengan lebih berkesan kata pensyarah saya. Jika anda mempunyai buku-buku lain yang baik untuk tatacara penulisan tesis...bolehlah kongsikan dengan saya!